Monday, May 13, 2013

Putus asa tiada dalam kamus mendidik anak2 autisma

Wajar dikongsi bersama pengalaman mendidik anak2 autisma sebagaimana ditulis oleh Ar Rizqy dalam laman FBnya. Cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan ibubapa anak2 autisma ialah untuk melihat anak2 autisma berubah kepada yang lebih baik. Hayati bait2 coretan dibawah sebagai panduan.


ANAK AUTISM3 : Anak Tiada Perubahan..? Jangan Biarkan Semangat Perjuangan Jatuh Merudum...

by Ar Rizqy (Notes) on Thursday, June 23, 2011 at 1:11pm


Assalamualaikum WBT

Salam untuk semua.. Alhamdulillah masih diberi rezeki, kesempatan dan ilham oleh Allah untuk berkongsi lagi... sebelum itu, ilham menulis kali ini saya nukilkan disebabkan saya menerima banyak feedback menerusi inbox msg tentang penulisan saya yang terdahulu. Terima kasih pada yang memberi komen, berkongsi rasa, dan meniup semangat. Walau kita tidak pernah kenal, tak pernah bertentang mata, tetapi saya rasa kita cukup dekat... cukup hampir... seolah pernah sama-sama berpelukan dan menangis di bahu masing-masing dek kerana kita mempunyai pengalaman yang sama, perjuangan yang sama. Ya, semestinya misi yang sama untuk melihat si comel kita normal seperti orang lain sebelum kita menutup mata.

Dalam kebanyakan komen pembaca, rata-rata menyatakan rasa kagum terhadap kesedaran, tindakan, dan perjuangan saya mendidik anak autism saya.. ibu-ibu.. perjalanan kita masih jauh lagi... dan percayalah saya tidak sesempurna itu. Saya juga pernah jatuh bangun dalam perjuangan. Hati ini kadang-kadang tidak kuat juga meneruskan perjuangan tatkala melihat usaha tiada membuahkan hasil. Hati ini merintih dan menangis kesedihan juga bila usaha menemui jalan buntu... benar, "perjuangan itu melelahkan... tapi bila mengigatkan dan mengharapkan hujungnya manis, kita perlu bangkit semula"

Cabaran mendidik mereka bukan sedikit dan menuntut pengorbanan yang bukan kepalang. Belum lagi dikira cabaran menghadapi pandangan dan penerimaan masyarakat serta keluarga sendiri terhadap anak kita yang kadangkala boleh meruntuhkan tembok kesabaran yang kita pertahankan.

perhatian penuh untuk mereka kadangkala menimbulkan rasa bersalah terhadap anak-anak lain yang perlu perhatian juga. sekiranya ada salah satu dari anak-anak kita yang sudah mula pandai merungut tentang ketidakadilan kita (walau hakikatnya kita sehabis daya cuba menjadi adil) ambil pedulilah dengan rungutan mereka... takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula akan jatuh keciciran...

Dalam mendidik mereka, saya yakin ibu-ibu yang melalui pengalaman ini akan sedaya upaya mencari ilmu dan segala macam pengetahuan tentang apa yang boleh merubah keadaan anak-anak kita kearah yang lebih baik.dan pastinya kita akan teruja untuk mengaplikasikan ilmu yang dibaca, didengar, dan dipelajari kepada anak-anak kita secepat mungkin supaya perubahan itu kita dapat lihat dengan kadar yang segera bukan...? Tetapi setelah sedaya upaya ilmu itu diaplikasikan kepada mereka, hasilnya sangat minima atau tiada langsung. Pada saat ini sekiranya kita tidak ada kekuatan yang luar biasa, semangat perjuangan boleh jatuh merudum menjunam dengan hebatnya.

Saya juga melalui pengalaman yang sama... benarlah pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. dan kerana tidak mahu melalui pengalaman sentiasa mendapat hasil yang minima setiap kali mencuba aktiviti yang baru untuk anak saya, saya telah mempelbagaikan kaedah mengikut kreativiti dan kesesuaian/kecenderungan anak saya. Dulu saya sering terikut-ikut dengan apa yang ibu bapa lain buat sehingga anak mereka berjaya di'normal' kan, dan bila saya cuba aplikasikan cara yang sama pada anak, hasilnya sangat minima atau tiada hingga saya yang akan emosi dan stress. Akhirnya saya akui minat dan kecenderungan anak tidak sama antara satu dengan yang lain. Mungkin cara yang dipraktikkan sesuai untuk orang lain tetapi tidak kepada anak saya dan sebaliknya.Jadi pesan saya, sebagai ibu kita perlu:

a. Tahu minat dan kecenderungan mereka
b. Kreatif dalam mencipta aktiviti untuk anak kita mengikut minat mereka.
c. Boleh mengikut aktiviti yang dilakukan oleh orang lain asal saja anak kita boleh 'enjoy dan happy' mengikutinya.
d. Tiada had dalam mencipta aktiviti untuk mereka setiap hari.

Percayalah, dengan mengetahui minat mereka, proses menghadirkan semangat untuk mereka memulakan langkah pertama dalam aktiviti tersebut menjadi lebih mudah. Ini kerana kekuatan "SEMANGAT" ini sangat penting kerana ia akan bertindak seumpama magnet yang membolehkan mereka teruja melakukan setiap aktiviti yang disuruh.

Apa itu semangat sebenarnya...? ada yang mendifinasikannya sebagai nafsu dan keinginan. Allah menciptakan ruh kita dengan semangat dan nafsu supaya kita dapat 'survive' dengan normal di dunia ini... orang yang tiada semangat memandang kehidupan ini sebagai sesuatu yang membosankan dan tidak menyeronokkan. tidak ada keterujaan dalam melakukan apa-apa.

Dan sepanjang jangka hayat kehidupan kita akan melalui 2 fasa dimana semangat kita berganda-ganda berbanding fasa lain. Fasa tersebut ialah fasa bayi dan fasa remaja. Semestinya semangat kita perlu diarahkan kepada yang positif. Kenapa masalah sosial, akhlak dan banyak cabaran-cabaran lain dipelopori golongan remaja..? kerana zaman mereka penuh dengan semangat dan tetapi disebabkan semangat itu diarahkan ke tempat yang salah, maka kesan negatiflah yang akan terjadi dan sebaliknya.

Begitu juga halnya semasa bayi sehingga umur 6 tahun. Bagi anak-anak yang normal, semangat mereka sangat kuat, tidak peduli walau apapun halangan jatuh, luka, lebam dan bengkak tetapi mereka semangat untuk mencari sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Ini sangat penting kerana semangat yang kuat semasa bayi inilah yang menyebabkan mereka dapat menjalani sistem pembangunan yang baik di dalam diri mereka... lihat anak kambing, baru 3 hari dilahirkan sudah boleh berjalan... tetapi mengapa manusia sekurang-kurangnya perlu 10-11 bulan untuk berjalan..? ini kerana dalam tempoh itu Allah mahu mereka membina semangat untuk pembangunan diri dalam diri mereka. semangat untuk sentiasa mencari sesuatu yang baru. Tidak seperti binatang yang pembangunan otaknya setakat terhad kepada untuk survive, makan dan membiak sahaja.

Sebagai yang kita maklum, anak-anak autism memang semangatnya tidak seperti anak-anak normal yang lahir...Semangat teruja mereka untuk mencuba sesuatu yang baru juga kurang. Mereka kurang sensitif, kurang mahu bergaul dan hanya sensitif terhadap apa yang mereka mahu. Bak kata ibu saya, semangat mereka ni "JAUH" dari diri mereka. Dan kita sebagai ibu perlu sangat faham keadaan mereka dan sedaya upaya bantu untuk kembalikan semangat supaya dekat berada di dalam dirinya supaya ada rasa ingin belajar, ada rasa ingin bergaul, ada rasa ingin mencuba dan segala rasa yang membolehkan dia kembali normal. Tetapi ingat, kita sebagai ibu juga perlu ada semangat berkobar-kobar untuk mendidik mereka. Bagaimana kita hendak memulihkan semangatnya kalau semangat kita sendiri bak air embun dihujung daun... luaskan semangat kita seluas air di lautan tidak kan surut hingga ke akhirnya.

Apabila semangat mereka telah pulih, mereka akan teruja untuk memulakan langkah pertama mereka dalam semua aktiviti yang dapat meningkatkan kecerdasan mereka. Ya, langkah langkah pertama itu penting..! semua kejayaan yang di cipta oleh manusia di muka bumi ini segalanya bermula dengan langkah PERTAMA mereka. Apabila langkah pertama telah diarah, kita akan mara dengan langkah seterusnya... sebaik mana perancangan, tetapi jika tidak dimulakan dengan langkah pertama, ia akan tinggal sebagai angan-angan kosong... dan itu adalah fitrah. kerana jika kita melihat kepada keajaiban penciptaan otak, Allah menciptakan berjuta-juta sel otak kepada manusia tetapi dalam keadaan terputus-putus dan ianya hanya akan bersambung bilamana kita mencuba sesuatu ilmu yang baru (langkah pertama) dalam hidup kita. Kerana itulah saya pernah nyatakan dahulu, buatlah apa sahaja aktiviti untuk anak hingga dia dapat mulakan langkah pertamanya dalam mempelajari sesuatu, sebagai contoh:
Buatlah apa aktiviti yang dapat menyebabkan anak dapat mengeluarkan walau satu perkataan dari mulutnya, kerana itulah langkah awal baginya untuk dapat mengucapkan lebih banyak perkataan kerana sel otaknya telah berhubung dan selebihnya kita hanya perlu merancang untuk dia boleh bercakap dengan normal.

Jadi mulakan langkah pertama kita dalam membantu anak kita memulakan langkah pertamanya sebelum sel-sel itu hilang terus, cepatlah kita bertindak... Ini kerana sel otak akan berkurangan dan hilang sekiranya tidak digunakan secara optimum. Antara pendekatan yang saya gunakan untuk menghadirkan semangat memulakan langkah pertama anak-anak ialah:

a) Gunakan Pembakar semangat
Anak saya masih menyusu botol. Dia akan menangis jika dia sangat ingin menghisap botol. Jadi, setiap kali dia hendak tidur, botol itu umpama candu yang boleh melelapkan matanya. Saya jadikan susu sebagai pembakar semangat untuknya memulakan langkah pertamanya berkomunikasi dengan saya. Setiap kali saya membuatkannya susu, saya akan merayu kepadanya dengan penuh kasih sayang supaya dia mengucapkan "terima kasih" ... selagi ungkapan itu tidak diucap, saya tidak akan memberi susu tersebut kepadanya. pada awal percubaan dia hanya memandang saya tanpa makna.. pada percubaan seterusnya dia menangis kerana dia tahu saya akan merayu kepada nya supaya mengucapkan terima kasih dahulu sebelum dia mendapatkan susunya. Hari demi hari saya melatihnya sehingga suami ada menegur saya supaya jangan dipaksa anak dengan cara begitu kerana dia tidak sampai hati melihat anaknya menangis sebelum mendapatkan susu. Saya sendiri tidak sampai hati sebenarnya melakukan anak sebegitu, tetapi demi Allah saya berkata di dalam hati, saya bukan menderanya, saya ingin merangsangnya untuk berkomunikasi dengan saya. saya nak dia memulakan langkah pertamanya! dan saya pasti tanpa susu sebagai pembakar semangat, dia tidak akan berminat untukmencuba melakukan proses komunikasi itu. Masuk minggu ketiga, alangkah terkejutnya saya apabila sebelum tidur seusai saya membuatkan susunya, tanpa disuruh dia mengungkapkan ucapan "terima kasih" pada saya sehingga saya minta dia mengulangkanya beberapa kali lagi...Walaupun dengan agak pelat, namun saya bersyukur, dia berjaya memulakan langkah pertamanya untuk berkomunikasi dengan saya. Semangat saya pula yang membara melihat bukti yang dia mampu melakukannya dan saya terus-terus membakar semangatnya untuk menambah perbendaharaan katanya. Sehingga hari ini, bukan sahaja susu, tetapi setiap kali saya memberi makanan kepadanya, dia akan mengucapkan "terima kasih mama" dan terus membaca bismillah dengan nada pelatnya.Percayalah mereka boleh lakukan! Gunakanlah segala apa yang mereka sukai sebagai pembakar semangatnya!

b) Dapatkan fokus yang optimum
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah cabaran terhadap fokus mereka ketika belajar. Disebabkan fokus mereka yang minima, memang kadangkala kita agak letih untuk mengajak mereka belajar sedang fikiran dan fizikal mereka mengarah kepada perkara lain. Lebih mencabar lagi sekiranya ada gangguan seperti tv atau adik beradik lain yang meminta perhatian dari kita, alamatnya semua entah kemana. Untuk cabaran ini, cara yang sering saya gunakan ialah saya sering mengajarnya di tempat yang ruangannya agak kecil dan terhad. Lebih kecil lebih bagus (tapi perlu selesa). ruang yang besar seperti ruang tamu menyukarkan mereka untuk mendapatkan fokus. Percaya atau tidak, saya sangat suka mengajarnya didalam kereta. Ruang kereta yang kecil menyebabkan dia tidak dapat bergerak banyak dan akhirnya terpaksa fokus terhadap apa yang saya ajar. Banyak lagu-lagu, aktiviti dan perbendaharaan kata yang saya ajar kepadanya di dalam kereta. Kadangkala saya dan suami hanya keluar bertiga sahaja semata-mata ingin fokus mengajarnya di dalam kereta. Selain kereta, saya juga suka membuat ulangkaji bersamanya di dalam bilik tidur. Ruang bilik tidur yang agak terhad juga agak mudah untuk mendapatkan fokus mereka. Kita juga dapat meluangkan masa dengan anak-anak yang lain...(lagipun ini je masa kualiti saya yang ada untuk anak-anak kerana seharian mengajar)

c) Pilihlah permainan yang dapat menaikkan semangat dan meningkatkan fokus
Berbasikal sebenarnya dapat meningkatkan fokus. dari mula duduk dengan seimbang sehinggalah mengarahkan ke tempat yang betul dan akhirnya memulakan kayuhan benar-benar memerlukan fokus yang tinggi. Pertama kali saya membelikannya basikal, anak saya hanya duduk dan tidak ada semangat teruja untuk mengayuh basikal tersebut. Dengan saranan yang kerap akhirnya dia berjaya mengayuh tetapi ke belakang, sehinggalah akhirnya hari ini dia telah berjaya mengayuh basikal dengan kawalan yang baik. saya lihat, selepas dia pandai berbasikal dengan baik, tahap fokusnya juga meningkat.Banyak lagi permainan yang boleh meningkatkan fokus yang saya rasa ibu bapa boleh fikirkan untuk anak-anak.

d) Gunakan pendekatan emosi
Dalam menjalankan aktiviti dengan mereka, banyakkanlah pendekatan emosi berbanding pendekatan fizikal dan intelek. Pujian, rayuan, pujukan dan saranan yang disampaikan dengan kasih sayang memudahkan mereka mengikut apa yang kita arahkan berbanding pendekatan yang berbentuk arahan dan paksaan.

e) Beri mereka tanggungjawab
Saya suka berinya tanggungjawab. seperti membuang pampersnya sendiri, membuang dan mengutip sampah serta memasukkan baju kotornya ke bakul. Tanggungjawab dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang dirinya sendiri.Saya juga gemar membuat aktiviti memberi makanan, minuman dan apa sahaja dengan memanggil nama anak-anak seorang demi seorang mengikut turutan. Jadi, bila sudah terbiasa, dia akan tertunggu-tunggu namanya disebut untuk mengambil bahagiannya. Kadangkala turutan itu sengaja saya ubah untuk menguji tahap kesedarannya dan sememangnya dia amat menyukai aktiviti ini.

Saya tidak mengatakan cara saya ini betul dan berkesan 100%. Ini cuma sebahagian dari percubaan saya untuk mengatasi cabaran-cabaran yang sering kita hadapi dalam mendidik mereka. Mungkin ibu bapa lain dapat mengolahkan cara tersebut mengikut kesesuaian dan keserasian anak-anak sehingga mereka mendapat kesan yang optimum.

Jatuh dalam perjuangan itu biasa, tetapi bangkit dari kejatuhan dalam perjuangan itu luar biasa. Nabi-nabi terdahulu termasuklah junjungan hebat kita Nabi Muhammad SAW juga pernah lelah dalam perjuangan. Tetapi mereka jadikan kelelahan itu satu peluang untuk bangkit lebih kuat. Untuk mendapatkan lebih banyak peluang merayu pada Allah dan menambah keimanan mereka pada yang maha kuasa.

Allah banyak memujuk kita melalui ayat-ayatNya supaya terus berusaha dan meminta hanya pada Nya. Jika kelelahan datang menyapa, saya cukup termotivasi bila mengigatkan terjemahan ayat Seribu Dinar:
"Barangsiapa bertawakkal pada Allah, Nescaya Allah akan mengurniakan jalan keluar..."

Benar... kita dilahirkan bukan untuk menyelesaikan masalah. Kita dilahirkan hanya untuk berusaha bertawakkal pada Allah.Hanya dcengan tawakkal dan iman yang kuat, maka Allah akan memberi jalan keluar dan rezeki dari sumber yang tidak disangka- sangka. Akal kita yang dangkal, tidak mampu menyelesaikan segala-galanya, Allah lah sebaik-baik penyelesai. Setelah kita yakini hal ini, kalaupun kita tetap tidak menemui kesembuhan yang optimum pada anak-anak, sekurangnya kita telah bedrusaha sehabis baik dan itulah yang terbaik untuk kita pada pandangan Allah. Ingatlah, dalam mendapatkan satu cita-cita, Allah bukan memandang keputusan akhir terhadap cita-cita itu, yang Allah nilai hanyalah niat dan usaha kita.

Berkongsi tentang kejayaan sepasang suami isteri yang memiliki anak autism dalam memulihkan anaknya... airmata saya mengalir tanpa henti tatkala membaca kecekalan mereka. mereka bertindak sewaktu anak mereka berusia 4 tahun sebaik sahaja anaknya disahkan autism. Anaknya sangat hyper tidak boleh duduk diam (sentiasa memanjat) tiada fokus dan tidak boleh bercakap. Menyedari dia tidak punya banyak masa untuk mendidik anaknya, sementelah lagi anaknya hanya tinggal 2 tahun (sebelum melepasi umur 6 tahun) dia dan isteri telah mengambil keputusan berhenti kerja dan menjual beberapa asetnya bagi menampung sara hidup keluarganya cukup setakat 2 tahun. Dia juga banyak mencatu perbelanjaan keluarga. Mereka meletak target akan bekerja semula sebaik sahaja anaknya sembuh. Bila ditanya mengapa dia sanggup berbuat begitu, jawapan yang menyentuh hati saya, harta boleh mereka cari bila-bila masa, tetapi kesembuhan untuk anak mereka adalah yang paling penting. Tambahan masa semakin suntuk dan anaknya tidak boleh menunggu lebih lama untruk dapatkan didikan mereka. Dan apa yang berlaku, anaknya berjaya 'dinormalkan' lebih awal dari yang dijangkakan. sebelum usia 7 tahun, anaknya bukan sahaja sudah boleh bercakap malah membaca dalam 2 bahasa, bahasa melayu dan inggeris. Tidak hyper dan boleh menjalani proses pembelajaran seperti anak-anak normal lain. Kini, bapanya telah meninggal dunia. Anak autism nya telah berjaya mendapatkan diploma dalam bidang kejuruteraan dari salah satu universiti tempatan. Saya merasa begitu kerdil bila memandang usaha mereka yang besar, usaha yang benar-benar membakar semangat saya.

Cukuplah setakat ini dahulu perkongsian saya kali ini. Ampunkan saya sekiranya ada bahasa yang menyinggung rasa atau ada bahasa yang nampak seolah-olah saya bijak dalam segala hal. demi Allah, saya hanya berkongsi rasa dan tidak lebih hanya mengharapkan penulisan ini dapat memberi manfaat kepada yang lain...

Sempena "HARI BAPA" juga saya ingin mengucapkan selamat hari bapa kepada suami tercinta dan semua bapa-bapa yang sama berjuang untuk kesembuhan anak-anak.Terima kasih kerana menjadi penyokong setia dan utama, pendengar yang sangat terhadap setiap keluh kesah... kawan yang sentiasa memahami, penasihat yang telus, peniup semangat yang tidak pernah putus meniupkan kasih sayang... tiada teman sebaik kalian, suami dan bapa yang sanggup bersama dalam mengharungi perjalanan ini... Walau kita pasti terpisah disuatu hari nanti, tapi dengan secebis bekalan yang kita kumpul didunia ini... harapnya kita dapat berkumpul semula di SyurgaNya bersama zuriat-zuriat yang menjadi pembela kita nanti... Amin...

No comments:

Post a Comment