Wednesday, June 27, 2018

Cara elak gangguan XXX


Elak Gangguan Seksual, Ini 9 Perkara Ibubapa Perlu Ajar Sejak Kecil

Posted on June 6, 2016
21
SHARES

“Seramnya tengok macam-macam kes pedofilia yang menakutkan. Ada tu memperkosa saudara terdekat dan anak sendiri. Kita bukannya boleh ada bersama anak setiap masa. Bagaimana nak ajarkan supaya mereka pandai melindungi diri daripada jadi mangsa gangguan seksual kanak-kanak ini ya?”
Sekali lagi, seluruh Malaysia digemparkan dengan berita seorang pedofil warga Britain yang berhadapan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak daripada usia 6 bulan, di mana sebahagian daripadanya datang dari keluarga miskin di Malaysia.
Sebenarnya, ini hanyalah salah satu daripada beribu-ribu kes rogol dan gangguan seksual kanak-kanak yang dapat dikesan. Menakutkan!

Foto Kredit: ullica.ru
ELAK GANGGUAN SEKSUAL KANAK-KANAK, INI 9 PERKARA IBUBAPA PERLU AJAR SEJAK KECIL
Pesanan supaya ‘jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali’ tidak lagi relevan dalam masalah peadofilia atau pemangsa seks ini.
Buktinya, sebanyak 73% daripada mangsa ini telah diliwat, diperkosa, atau dirogol oleh seseorang yang mereka kenali.
Tidak kiralah lelaki atau perempuan, ibu bapa perlu berjaga-jaga dan melengkapkan mereka dengan kefahaman terhadap pendidikan seks dan agama yang sesuai dengan umur mereka.

Foto Kredit: psychologytoday.com
1. KENAL ANGGOTA SULIT MASING-MASING
Tidak ada malunya untuk kita memberitahu mereka tentang anggota sulit ini tanpa perlu berselindung dengan nama gelaran seperti ‘burung’, ‘punai’, ‘karipap’, atau apa sajalah. Nama-nama ini akan menjadikan mereka keliru dan kurang berasa perlu melindungi anggoa tersebut.
Beritahu mereka istilah yang sebenar yang lebih serius seperti buah dada, dubur, penis, atau vagina.
Ini akan membantu mereka menghargai tubuh badan sendiri dan mempunyai hak ke atasnya.

Foto Kredit: mumcentral.com.au
2. BERPAKAIAN SOPAN
Kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan aurat dan sebab mereka perlu menjaga tubuh badan mereka daripada dipertontonkan kepada orang ramai.
Mereka juga perlu faham bahawa alat sulit mereka merupakan sebahagian daripada aurat dan tidak boleh disentuh oleh orang lain kecuali ibu ayah, itu pun hanya dalam keadaan tertentu seperti membersihkannya.
Jangan biasakan anak-anak berpakaian terdedah dan tidak sopan walaupun di dalam rumah.

Foto Kredit: hijabstyletrends.com
3. ASINGKAN TEMPAT TIDUR
Memang ada hikmahnya umat Islam disarankan agar mengasingkan tempat tidur anak-anak daripada ibu bapanya atau adik-beradik berlainan jantina seawal usia 4-5 tahun.
Hal ini adalah untuk mengelakkan sumbang mahram atau berlakunya rangsangan seksual sekiranya mereka ‘terpandang’ aurat atau aksi ghairah ibu bapa di malam hari.
Walaupun sukar pada awalnya, namun inilah tanggungjawab ibu bapa yang perlu kita lakukan.
Foto Kredit: adilmavis.com
4. TIDAK BEBAS DISENTUH SESUKA HATI
Apabila bercakap dengan anak kecil mungkin susah sedikit kerana mereka ini biasanya comel dan mesti akan dicium dan dipeluk oleh orang lain.
Namun, seelok-seeloknya anak kecil tidak perlu digalakkan untuk berpelukan atau dicium secara berlebihan oleh orang lain, walaupun ahli keluarga terdekat atau keluarga pengasuh.
Bagi kanak-kanak yang sudah besar sedikit, terangkan tentang muhrim mereka serta sentuhan yang ‘dibolehkan’ seperti bersalaman, bukannya belaian yang menimbulkan rangsangan.
Ada kanak-kanak malang yang tidak mengetahui apa yang diperlakukan terhadap mereka adalah sejenis gangguan seksual kerana mereka tidak pernah diberitahu tentangnya. Mereka menyangka bahawa sentuhan ini adalah sejenis rasa sayang yang tidak patut ditepis.

Foto Kredit: slate.com
5. BERKAWAN SECARA SIHAT
Gangguan seksual kanak-kanak boleh berlaku di mana-mana. Sentiasa bertanyakan guru dan ambil tahu cara anak bergaul di sekolah.
Pastikan mereka tidak selalu keseorangan dan terlalu berani bercakap dengan orang yang tidak dikenali.
Jika mereka terlalu pendiam, pastikan anda selalu berhubung dan berbual dengannya untuk memastikan anak tiada masalah tertentu.
Anne Barry yang telah mengkaji kecenderungan pemangsa seks ini selama 20 tahun berkata: “Mangsa yang paling mudah untuk diperdayakan adalah kanak-kanak yang keseorangan, agak terpinggir daripada teman-temannya, tidak akan menjerit, dan tidak akan mengadu kepada ibu atau bapa mereka.”

Foto Kredit: huffingtonpost.com
6. PERCAYAKAN IBU BAPA
Ibu bapa perlu menjadi seseorang yang boleh dipercayai. Maka, amat penting untuk kita menunjukkan kasih sayang dengan melayan mereka sepenuh perhatian.
Jika jarang dapat bertemu, luangkan masa berkualiti dan praktikkan juga cara 
berkomunikasi dengan anak secara berkesan.
Janganlah menjadi seseorang yang garang, mudah menghukum sehingga anak-anak berasa takut untuk memberitahu kita sebarang kejadian buruk. Tentu mereka ingatkan mereka yang bersalah dan ingin menyembunyikan hal tersebut.

Foto Kredit: modernmom.com
7. TIDAK SALAH BERKATA “TIDAK!”
Anak-anak biasanya jujur dan akan mengekspresikan perasaan mereka. Namun ada kalanya mereka tidak mahu berbuat demikian kerana ingin menggembirakan ibu bapanya atau orang sekeliling.
Oleh itu, galakkan mereka memberitahu kita serta-merta jika berlakunya sesuatu yang tidak selesa atau luar daripada kebiasaan. Bantu mereka buat keputusan sendiri dan bertindak sewajarnya.
Contohnya, jika anak kecil tidak suka seseorang membelai pipinya, katakan “Kalau adik tak mahu orang belai pipi, adik cuba beritahu orang tu sendiri tau! Nanti Mama tolong tengokkan juga”. Memupuk tabiat ini akan membantu mereka lebih berani.

Foto Kredit: kidspot.com.au
8. JANGAN MENYIMPAN RAHSIA
Jika mereka cuba memberitahu sesuatu kepada anda berkaitan gangguan seksual, dengar.
Ada kalanya kita sukar mempercayainya lebih-lebih lagi jika ia melibatkan seseorang yang anda percaya seperti keluarga pengasuh mahupun anak lelaki anda sendiri.
Mungkin sukar untuk kita percaya, tetapi selain daripada orang dewasa, salah satu daripada golongan paedofilia yang sukar dikesan adalah mereka yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.
Malangnya, banyak kes telah melaporkan bahawa seseorang yang rapat dengan anda atau keluarga boleh menjadi pemangsa seks yang paling merbahaya.
Sebelum membuat sebarang tuduhan, pastikan anda memantau anak anda dengan lebih berhati-hati.
Sekalipun ianya tidak dapat disahkan, pastikan anda tidak memarahi atau menganggap mereka menipu supaya anak-anak rasa selamat apabila memberitahu anda tentang hal seperti ini lagi.

Foto Kredit: techpluto.com
9. MEMATUHI PERATURAN JIKA MEMILIKI GAJET
Sebagai salah satu langkah pencegahan, mungkin tidak semua ibu bapa dapat menepispenangan gajet atau telefon bimbit kepada anak mereka, terutamanya yang telah meningkat remaja.
Oleh itu, pastikan mereka mematuhi beberapa syarat terlebih dahulu sebelum dibenarkan menggunakan atau memiliki gajet.
Pastikan anda tahu kata laluan dan ‘setting’ tertentu supaya mereka tidak cenderung terjebak ke jerat pedofil.
Walaupun memberi ruang untuk mereka berhubung, pastikan anda kenal siapa yang mereka hubungi dan laman web yang biasa mereka layari

Sumber: Sirap Limau


No comments:

Post a Comment