Wednesday, December 3, 2014

Hikmah Anak Syurga


KEHADIRAN Muhammad Habib Azfar (dua dari kiri) tidak pernah menjadi beban bagi pasangan suami isteri Mohd. Hasbullah Mohd. Hassim (kiri) dan Nor Azura Othman (kanan).


IBU bapa mana menginginkan anak yang dilahirkan dalam keadaan tidak normal. Apatah lagi menghidap penyakit yang membabitkan perkembangan mental, namun itulah yang terpaksa dilalui oleh pasangan suami isteri Mohd. Hasbullah Mohd. Hassim dan Nor Azura Othman.
Enam tahun lalu, saat mendapat tahu cahaya mata pertama yang dilahirkan menghidap penyakit cerebral palsy (CP), pasangan tersebut sama sekali tidak menyangka akan diuji dengan permulaan hidup berkeluarga yang berat.
Walaupun dirasakan agak pilu menerima takdir tersebut, namun bagi mereka itulah keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan menganugerahkan ‘anak syurga’ sebagai amanah untuk dibesarkan.
Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, sekali pun tidak pernah mematahkan semangat pasangan tersebut dalam memberi didikan terbaik bagi proses perkembangan anak istimewa mereka, Muhammad Habib Azfar, 6.
Bagi Hasbullah, anak merupakan anugerah Allah SWT kepada setiap ibu bapa dan turut menyakini pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.
“Pada awal kelahirannya, Muhammad Habib kelihatan normal seperti bayi lain, dia tidak menunjukkan sebarang keganjilan, fizikalnya juga sempurna. Tetapi, tidak disangka selepas 7 bulan kami mendapati perkembangan fizikalnya lemah.
“Tidak seperti bayi lain yang boleh meniarap dan merangkak pada usia tersebut, Muhammad Habib hanya terlantar dan tidak boleh meniarap mahupun mengangkat kepalanya.
“Melihat keadaan tersebut, kami menghantar Muhammad Habib berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan. Sejurus itu, doktor mengesahkan bahawa Habib menghidap penyakit CP yang membabitkan perkembangan mental," katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal - ‘Ibu Ratu Hatiku’ anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama IKIMfm di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Baru-baru ini.
Acara yang dimeriahkan dengan persembahan artis terkemuka tanah air Hafiz Hamidun dan Pencetus Ummah Rahmat dan juga penampilan istimewa penyanyi nasyid antarabangsa, Saif Adam itu bertujuan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada keluarga yang mempunyai anak CP yang telah dikenalpasti.
Penyakit CP merupakan gangguan pergerakan, otot, atau postur yang disebabkan oleh kecederaan atau perkembangan abnormal pada bahagian otak. Secara umum, CP menyebabkan gangguan gerakan yang berkait dengan refleks berlebihan atau kekakuan, postur tubuh yang abnormal serta pergerakan tidak terkawal.
Penghidap CP adalah berlainan daripada masyarakat normal lain iaitu perbezaan perkembangan otak, seperti cacat intelektual, masalah penglihatan dan pendengaran, atau kejang.
Tidak membandingkan dengan kanak-kanak normal lain, Hasbullah sentiasa berusaha untuk memberikan rawatan kepada anaknya agar mampu menjalani hidup normal.
“Sejak mendapat tahu anak menghidap penyakit ini, kami tidak pernah berhenti berusaha memberikan rawatan dan terapi di hospital kerajaan dan juga pusat rawatan swasta lain.
“Apa yang saya titikberatkan adalah masa depan dia apabila dewasa nanti, biarpun tidak seperti rakan sebaya normal yang lain, sekurang-kurangnya dia dapat berdikari sendiri. Oleh itu, saya memfokuskan untuk mengajarnya berjalan, bercakap dan melakukan serba sedikit aktiviti seperti orang lain," ujarnya.
Lebih lincah
Berkongsi cabaran mempunyai anak CP, Azura berkata, membesarkan anak yang menghidap CP bukan mudah kerana perbuatannya yang agak lincah dan mempunyai perasaan tidak menentu.
“Berbanding kanak-kanak normal, anak CP agak lincah dan sukar untuk diuruskan. Cabaran yang dihadapi adalah untuk menguruskan dirinya. Mujur saya tidak bekerja, jadi boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada Muhammad Habib.
“Walaupun melihat anggota fizikalnya seperti kanak-kanak normal, tetapi perkembangan otaknya lemah yang seakan-akan kanak-kanak dan tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling," katanya.
Disebabkan itu tambahnya, Azura sekeluarga memberi perhatian lebih kepada Muhammad Habib dan banyak bermuhasabah diri supaya sentiasa bersabar menghadapi kerenahnya.
“Namun bagaimanapun bagi saya, tidak susah membesarkan anak CP ini, kerana dia juga seperti kanak-kanak lain. Saya juga tidak pernah terbeban ataupun sedih mempunyai anak istimewa seperti ini.
“Sebaliknya saya bersyukur kerana Allah SWT memilih kami untuk diuji dengan dikurniakan anak ini. Bagi saya ini amanah yang selagi mampu, saya akan cuba membesarkan dia sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat saya," luahnya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140522/ke_02/Hikmah-anak-syurga#ixzz3KnrO3sgE 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment