Permatang
Pauh: Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), penghidap autisme, Khairul
Aiman Hashim, 22, membuktikan dia juga mampu berjaya dalam pelajaran sama
seperti orang lain yang normal.
Khairul
Aiman yang menghidap kecacatan perkembangan membabitkan fungsi otak sejak lahir
dianugerahkan Diploma Kesihatan Persekitaran pada Istiadat Konvokesyen Ke-81
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini, semalam.
Tiga
tahun lalu, Aiman membuktikan dia mampu meraih keputusan baik dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menjadikannya pelajar pertama menghidap
penyakit itu diterima masuk melanjutkan pengajian di universiti.
Katanya,
walaupun menyedari dirinya tidak normal seperti orang lain, itu bukan halangan
untuk dia mencapai impian dan berjaya dalam pelajaran.
Menurutnya,
dia tidak mengalami sebarang masalah sepanjang tiga tahun belajar dan menetap
di asrama, malah mengakui teruja dapat hidup berdikari selain mampu
menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sebaya.
“Saya
belajar seperti orang lain dan rakan-rakan serta pensyarah banyak memberi
bantuan dan sokongan sehingga saya berjaya mencatatkan Purata Gred Nilai
Keseluruhan (CGPA) 3.07.
“Saya
sentiasa fokus ketika pensyarah mengajar dan membuat latihan ulang kaji serta
tidak malu untuk bertanya jika sukar memahami subjek yang diajar,” katanya.
Anak
ketiga daripada empat adik-beradik itu menyimpan hasrat untuk melanjutkan
pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sains sukan kerana dia lebih
meminati bidang berkenaan.
Selain
itu, Aiman turut menasihati ibu bapa mempunyai anak senasib dengannya agar
memberi peluang kepada kanak-kanak itu untuk hidup berdikari.
Sementara
itu, bapanya, Hashim Samsuddin, 60, berkata dia bangga dengan kejayaan anaknya
itu dan berharap kejayaan serta semangat Aiman mampu menjadi pendorong kepada
golongan yang senasib dengannya.
“Saya
bangga dengan pencapaian Aiman dan sentiasa memberi sokongan terhadapnya selain
memberi kebebasan untuknya memilih bidang yang diminati,” katanya.
Sumber - Harian Metro
No comments:
Post a Comment