Tuesday, December 9, 2014

Anak Istimewa, Anak Syurga




Julina tidak pernah rasa terkilan dikurniakan anak kurang upaya.


Teruk sangat mencari rezeki takkan sampai baju anak dibiarkan koyak rabak, tidak berseluar, bilik bernajis kering tidak dicuci dan anak dibiarkan sampai kurus kering tidak diberi makan secukupnya?
Itu antara persoalan masyarakat apabila melihat remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui terbiar dalam keadaan yang menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan ketika operasi bersepadu Ops 6p di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, ketika ditemui remaja itu bukan hanya kurus kering, malah persekitaran bilik di rumah pangsa itu didapati dipenuhi dengan tanah dan najis.
“Tidak boleh letak kesalahan sepenuhnya kepada ibu remaja tersebut. Apabila mengetahui realiti hidup yang terpaksa ditanggung ibu remaja terbabit, saya mampu menilai situasinya kerana saya juga ada anak penghidap Cerebral Palsy (CP).
“Bayangkan hanya dengan pendapatan kecil serta hidup dengan seorang lagi anak dan tanpa sokongan suami, sudah pasti kehidupan harian yang dilalui sangat sukar," kata Julina Yob, 29, yang mesra disapa Mama.
Dia merupakan ibu kepada seorang anak istimewa, Ibnu Amirul Syamil Ibnu Mohd. Zaki, pesakit CP atau perkembangan otak tidak normal yang menyebabkan ketiadaan koordinasi pada anggota tubuh, sama seperti penyakit yang dialami Muhammad Firdaus.
Begitupun, dengan linangan air mata ibu muda itu mengakui tidak akan sesekali melihat anak istimewanya itu dalam keadaan kotor.
“Kalau air liurnya meleleh saya cepat-cepat lap. Saya tidak mahu orang pandang kotor pada anak saya. Orang luar selalu pandang dia jijik, sebab itu saya sedaya upaya ajar Amirul kawal air liur dan sentiasa bersih supaya orang suka dia," katanya.
Banyak hikmah
Julina berkata, anak istimewa mungkin dilihat sebagai beban, namun daripada pengalamannya, banyak hikmah diperoleh hingga benar-benar dirasakan sebagai satu anugerah.
Katanya, sebagai ibu bapa apa juga bentuk dugaan dan cabaran, harus diterima dengan hati terbuka dan belajar untuk menghargai serta berbahagia dengan apa saja yang ada.
“Apabila kita bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan dapat lebih banyak kenikmatan dan kesenangan. Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu kuat.
“Suami isteri perlu menerima kenyataan, tahu di mana hendak mula dan tahu apa yang kita ada," katanya penuh makna.
Ibu tiga anak ini memang tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa dalam memulihkan anak istimewanya, selain sentiasa berfikiran positif dengan menganggap Amirul satu anugerah daripada Allah.
Baginya, pengalaman hidup tidak akan diperoleh jika seseorang itu tidak menempuhi ranjau dan onak.
Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, tidak pernah mematahkan semangat Julina dalam memberi didikan terbaik bagi proses perkembangan Amirul.
Pada awal kelahirannya, dia kelihatan normal seperti bayi lain dan tidak menunjukkan sebarang keganjilan. Fizikalnya juga sempurna, tetapi, tidak disangka selepas tujuh bulan perkembangan fizikal Amirul mula merosot.
Tidak seperti bayi lain yang boleh meniarap dan merangkak pada usia tersebut, dia hanya terlantar dan tidak boleh meniarap mahupun mengangkat kepalanya.
Apabila membuat pemeriksaan di sebuah hospital, doktor mengesahkan Amirul menghidap CP akibat lemas dalam perut ketika dilahirkan dahulu.
Julina diberitahu, penyakit CP merupakan gangguan pergerakan, otot, atau postur yang disebabkan oleh kecederaan atau perkembangan abnormal pada bahagian otak.
Secara umum, CP menyebabkan gangguan gerakan yang berkait dengan refleks berlebihan atau kekakuan, postur tubuh yang abnormal serta pergerakan tidak terkawal.
Penghidap CP adalah berlainan daripada masyarakat normal lain iaitu perbezaan perkembangan otak, seperti cacat intelektual, masalah penglihatan dan pendengaran, dan kejang anggota.
“Menjaga Amirul seperti menjaga bayi. Semua kita buat, mandi, makan, minum susu dan pakaikan lampin. Bezanya, makin anak itu membesar makin sukar kerana dia pun semakin berat.
“Sebagai perempuan, banyak mana sangat tenaga dan kudrat yang saya ada untuk angkat dia. Namun, mahu tak mahu, itu anak saya yang lahir dari rahim saya dan perlu dijaga dengan baik," katanya.
Sekolah
Amirul yang kini berusia 10 tahun telah lima tahun bersekolah di Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Hulu Langat, Kajang, Selangor.
Menurut Julina, sebelum dimasukkan ke sekolah tersebut, puas dia mencari tempat yang sesuai kerana kerana bukan semua tempat mahu terima anak OKU.
“Alhamdulillah saya jumpa sekolah yang sesuai untuk Amirul, itupun terpaksa tunggu selama dua tahun sebelum boleh masuk.
“Lima tahun belajar di situ, dia menunjukkan perkembangan yang positif. Dahulu dia lembik, asyik baring dan langsung tidak mahu bergerak, tetapi selepas masuk sekolah dan dapat latihan fisioterapi, terapi bercakap dan terapi cara kerja, dia sudah banyak kemajuan," katanya.
Julina tidak sanggup untuk membiarkan sesiapa menjaga Amirul kerana dia tahu bagaimana sukarnya menjaga anak CP.
Disebabkan itu tambahnya, Julina sekeluarga memberi perhatian lebih kepada Amirul dan banyak bermuhasabah diri supaya sentiasa bersabar menghadapi kerenahnya.
“Syukur adik-adiknya semua sayangkan abangnya. Kadang-kala saya nak keluar pergi ke kedai sebentar, saya boleh harapkan adiknya untuk jaga dia.
“Ikut pengalaman, anak CP ni dia tak boleh panas dan kurang air. Sebab itu dia tidak boleh ditinggalkan berseorangan. Makan pun kena ikut jadual, ada masa main dan masa tidur. Semua memang kena disiplin dan anak-anak yang lain sudah faham macam mana cara jaga abangnya," katanya.
Pandangan masyarakat
Julina yang memang tidak sanggup membiarkan orang luar memandang jijik pada anaknya dan mahu masyarakat mengubah persepsi terhadap anak-anak OKU.
Katanya, berada dalam rumah sendiri langsung tiada masalah kerana semua memahami keadaan Amirul. Berbeza apabila keluar dari rumah dan berada dalam kalangan masyarakat luar.
Malah dia pernah hampir ‘naik gila’ apabila Amirul menjadi tontonan manusia dengan pandangan simpati, kasihan, jijik, jelek, hairan atau pandangan kosong.
“Mungkin saya terlalu emosi atau mudah terasa hati dengan kata-kata dan jelingan orang ramai. Namun, hati seorang ibu tidak sanggup melihat anak-anak dipandang kecil biar bagaimana sekalipun keadaan anak itu," katanya.
Apa jua pandangan masyarakat, dia dan suaminya langsung tidak patah semangat untuk memberikan penjagaan dan didikan yang sempurna.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140704/ke_02/Anak-istimewa-anak-syurga#ixzz3Knqnp9sN 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment