Pusingan Anticlockwise Asas kepada HUKUM ALAM
“Dan dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya, 21:33)
Ayat Al-Quran di atas menerangkan kepada kita secara saintifik berkenaan dengan sistem yang berada di angkasa lepas yang mana semuanya bergerak di atas orbit dan landasan masing-masing. Semua planet, bulan dan bintang tidak akan berlanggar di antara satu sama lain selagi mana Allah mengkehendakinya tetap di situ dan semua pergerakan ini adalah pergerakan Sunnatullah atau pergerakan fitrah. Bumi beredar mengelilingi matahari selama setahun pada satu arah, bulan beredar mengelilingi bumi selama satu bulan pada satu arah dan semua planet yang berada di angkasa mengelilingi matahari dalam satu arah pusingan yang dikenali sebagai pusingan Tawaf (Anticlockwise).
Sebenarnya hukum pergerakan alam semesta atau hukum pusingan Tawaf ini bukan sahaja melibatkan objek di angkasa lepas malah ia juga melibatkan ciptaan Allah yang hanya sekecil zarah atom dan hanya mampu dilihat di bawah mikroskop. Elektron di dalam atom berpusing di atas paksinya sendiri kemudian berpusing mengelilingi nucleus atom pada arah Tawaf. Benda-benda yang konkrit, cair dan bergas juga terbina daripada jutaan gabungan zarah atom dan ini bermakna hukum pusingan Tawaf di aplikasikan hampir kepada semua benda yang ada di alam semesta ini; planet-planet, tumbuh-tumbuhan, bulan-bulan yang berada pada setiap planet, binatang, tanah, air dan sebagainya. Kerusi yang kita duduk dan mouse computer yang kita pegang juga mengandungi zarah-zarah atom.
Hal ini tidak terkecuali juga dengan sel tubuh badan kita kerana tubuh badan manusia itu sendiri terdiri daripada banyak sel. Sitoplasma (cytoplasm) yang berada di dalam sel, beredar mengelilingi nucleus pada arah Tawaf (Anticlockwise/Counterclockwise) juga.
Begitulah ciptaan Allah S.W.T daripada yang sekecil-kecil atom sehinggalah kepada yang sebesar-besar matahari masing-masing melakukan pusingan pada arah TAWAF. Masing-masing dengan rendah dirinya mengikut pusingan apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T tetapi kenapa kita manusia yang mampu berfikir tidak pernah merenungkannya. Semua ciptaan Allah S.W.T melakukan pusingan mengikut arah TAWAF dan pasti mempunyai hikmahnya tersendiri tetapi kita dengan ego sekali mencipta dan memakai jam yang bertentangan dengan Sunnatullah/Fitrah alam.
Apabila melakukan tawaf di kaabah, bahu kiri akan sentiasa dikiri dan hati akan menjadi lebih dekat dengan kaabah berbanding pada pusingan clockwise. Kita tawaf seiring dengan pergerakan semua benda yang ada di alam semesta; planet, bulan, matahari, sel-sel, atom dan darah dalam tubuh badan sekaligus menjadikan kita lebih tenang selepas daripada itu. Pusingan Tawaf di kaabah yang berlaku sejak berkurun-kurun lamanya sebenarnya sekira dikaji secara saintifik menghasilkan satu gelombang elektromagnetik yang menuju ke atas. Prinsip yang digunakan adalah sama seperti prinsip di dalam kelas sains fizik iaitu prinsip tangan kanan.
Mengikut prinsip tangan kanan, medan magnetik ini secara tidak langsung mampu menghasilkan tenaga yang menuju ke atas. Kemungkinan besar daya tenaga inilah yang menyebabkan doa seseorang di Masjidil Haram mudah dimakbulkan kerana hasil daripada pusingan tawaf yang kerap disana sejak berkurun lamanya menghasilkan satu gelombang tenaga atau gelombang doa yang menuju ke atas.
Hakikatnya, hanya Allah sahaja yang benar-benar mengetahui hikmah di sebalik pusingan pada arah Tawaf. Sebagai seorang muslim, adalah lebih baik sekiranya kita mengikut apa yang Fitrah atau Sunnatullah kerana kita tahu pasti ada banyak kebaikan di sebalik ciptaanNya itu. Allah tuhan semesta alam mencipta benda dari yang sekecil-kecil atom sehinggalah kepada galaksi, semuanya berputar pada arah yang satu, arah Tawaf dan tidak patutlah kita sebagai hambanya memilih arah yang bertentangan dengan Fitrah atau Sunnatullah. Marilah kita berhijrah, hijrah dengan mengikut sesuatu yang Fitrah, hijrah cara kita berfikir, hijrah dari keburukan kepada kebaikan dan hijrah dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment