Thursday, November 21, 2013

Pusat Permata Kurnia khusus bagi kanak-kanak autisme

Pusat Permata Kurnia khusus bagi kanak-kanak autisme - Rosmah
ISTERI Perdana Menteri yang juga Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) menekan butang sebagai simbolik merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Permata Kurnia di sini, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pusat Permata Kurnia di sini akan menyediakan tiga jenis perkhidmatan khusus bagi kanak-kanak autisme dan keluarga mereka apabila ia beroperasi pertengahan 2015. 
Penaung Permata yang juga isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pusat itu akan memperkenalkan pendekatan dan kaedah alternatif di dalam intervensi awal kepada kanak-kanak autisme berumur antara dua dan enam tahun.

Pertama, pusat itu menyediakan perkhidmatan sepenuh masa bagi kanak-kanak empat hingga enam tahun sebagai transisi persediaan sebelum memulakan pendidikan di arus perdana dan kedua perkhidmatan rawatan khas secara mingguan bagi yang berumur dua hingga empat tahun, katanya. 


Berucap di Majlis Pecah Tanah Pusat Permata Kurnia di Sentul, di sini, hari ini, Rosmah berkata perkhidmatan ketiga ialah pendidikan komuniti serta khidmat sokongan kepada ibu bapa dan keluarga bagi memastikan kesinambungan intervensi di rumah.

"Dijangkakan 300 orang kanak-kanak akan menerima manfaat dari pusat itu di mana reka bentuknya juga mesra pengguna serta mengambil kira keperluan dan kesesuaian anak-anak autisme termasuk pemilihan warna cat," katanya.

Pusat bernilai RM28 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan dijangka siap Februari 2015. Ia terletak di Jalan Pasar, Kampung Batu Muda Tambahan, Sentul.

Rosmah berkata kadar prevalen autisme di Malaysia pada 2004 adalah satu bagi 600 kelahiran dan bilangan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun yang mengalami ciri-ciri autisme ialah kira-kira 13,000 orang dengan majoritinya lelaki. 
Dalam pada itu, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, hanya 2,782 orang atau 20.86 peratus daripada 13,000 kanak-kanak autisme menerima pendidikan di sekolah aliran perdana.

Bakinya di pusat pemulihan dalam komuniti kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat-pusat autisme kendalian badan bukan kerajaan dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

Program kendalian pihak swasta pula hanya mampu dihadiri oleh kanak-kanak dari keluarga yang berkemampuan disebabkan kos yang tinggi iaitu antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan bagi setiap kanak-kanak autisme.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment