Wednesday, November 27, 2013

Belajar dari sejarah Andalusia


RAMAI maklum betapa hebatnya kerajaan Islam Andalusia yang menguasai separuh benua Eropah hampir 800 tahun. Penguasaan bermula pada tahun 711 apabila Panglima Islam Tariq bin Ziyad mengepalai 7,000 tentera Islam memasuki daerah Sepanyol, Gibraltar dari Morocco.

Sejak penaklukan itu, kerajaan Islam berjaya membina tamadun yang cukup disegani di Eropah dengan nama-nama besar pelopor pelbagai disiplin ilmu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu al-Khatib, Ibnu al-Firnas, Ibnu Khaldun.

Namun kehebatan tamadun Islam Andalusia akhirnya hancur apabila satu persatu daerah jajahan jatuh ke tangan Kristian sehinggalah daerah terakhir Granada diserahkan secara rasmi pada kerajaan Kristian dikepalai Raja Ferdinand dan Ratu Isabella pada 6 Januari 1492.

Menariknya rakyat di kalangan umat Islam masih dibenarkan tinggal dan mengamalkan agama mereka oleh Raja Ferdinand yang menandatangani perjanjian rahsia dengan Raja Mohammed XII.

Hanya selepas 118 tahun iaitu pada 1609 Raja Philip III menandatangani satu Titah Diraja memberi kata dua kepada 350,000 umat Islam yang masih tinggal di Sepanyol, sama ada menukar agama kepada Kristian atau dihalau dari Sepanyol.

Ramai di kalangan mereka yang dirogol, dihalau dari rumah bahkan dibunuh oleh kerajaan Kristian waktu itu.

Jika diperhalusi sejarah Tamadun Islam Andalusia, kita akan dapati, punca utama kejatuhan kerajaan tidak lain dan tidak bukan lantaran kerakusan umat kepada kuasa dan harta hingga sanggup berkonspirasi dengan bukan Islam untuk jatuhkan satu sama lain.

Lebih menyedihkan apabila pembesar-pembesar daerah yang tergamak berkompromi dengan puak-puak Kristian yang kononnya bersedia membantu mengukuhkan kedudukan masing-masing sehinggalah akhirnya satu persatu daerah dijajah Kristian.
Mereka lupa amaran ALLAH dalam al-Quran: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada ALLAH dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).

Dan ALLAH perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada ALLAH jualah tempat kembali”. (Ali-Imran:28)

Hakikatnya sejarah Andalusia mempunyai seribu satu pengajaran buat kita di Malaysia hari ini. Tampak ketika ini juga umat Islam tidak bersedia berkompromi sesama sendiri sehinggakan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan mereka.

Seribu satu alasan diberikan untuk tidak bersatu dan bermuafakat sesama sendiri, sedangkan cukup hanya satu alasan untuk bersama dengan puak bukan Islam yang masih disangsikan keikhlasan mereka menerima Islam.

Lebih merisaukan bagaimana sesetengah pihak dulunya tegar dan keras dalam mempertahankan prinsip Islam kini dilihat makin lunak dan bersedia kompromi dengan pendirian yang dipegang mereka selama ini.

Teringat hujah yang diberikan oleh pemimpin sebuah parti politik apabila ditanya apakah kelompok yang dulunya terang-terang menolak Islam hari ini sudah bersedia menerima Islam. Dijawabnya, “Oh, mereka sudah mulai jinak kepada Islam dan tidak lagi keras mendukung fahaman menolak konsep negara Islam”.
Persoalannya, benarkah kelompok yang dikenali keras mempertahankan perjuangan untuk mewujudkan negara sekular dan menentang konsep negara Islam sudah berlembut dalam pendirian mereka? Atau apakah yang mulai berkompromi dan berlembut dalam mempertahankan pendirian hari ini adalah di kalangan orang Islam sendiri yang dilihat ghairah untuk berkuasa.

Hakikatnya ALLAH turut menjelaskan dalam Surah Al-Qalam ayat 8 hingga 9:

Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah iaitu di kalangan orang kafir).

Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu).

Menurut Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilaalil Quran, maksud ayat di atas yang ditujukan kepada umat Islam agar mewaspadai kelompok kafir yang sentiasa berusaha menjatuhkan umat Islam walaupun terpaksa menzahirkan kelembutan mereka kepada pendirian asal. Namun hakikatnya mereka adalah pendusta.

Mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan Andalusia.

*Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment