Saturday, July 14, 2012

Terapi mampu bantu anak OKU

MACHANG - Melalui kaedah pengajaran yang tepat dan dengan program sokongan yang betul, kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh belajar sama seperti kanak-kanak normal.

Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, Abd Aziz Ahmad berkata, kaedah itu bukan hanya perlu dipraktikkan oleh guru juga ibu bapa.

Katanya, selaras dengan keperluan­ itu, pihaknya bekerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menganjurkan Program Motivasi Ibu Bapa PPKI SMK Machang-Ceramah Terapi Pertuturan dan Terapi Cara Kerja Bersama Pakar Terapi HUSM.

“Program ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan ibu bapa mengenai terapi pertuturan dan terapi cara kerja yang disediakan oleh HUSM, Kubang Kerian.

“Pada masa sama, memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan menjalani terapi pertuturan, dan terapi cara kerja untuk anak-anak mereka yang bermasalah pertuturan dan yang tidak dapat menguasai kemahiran motor halus,” katanya.

Majlis itu dirasmikan Penolong Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Machang, (Unit Pemulihan Khas/Pendidikan Khas dan Swasta), Lameri Mahamud.

Seorang ibu, Hasimah Ahmad, 45, berkata, program itu banyak memberi manfaat kepada ibu bapa.

“Ini kerana ia memberi peluang kepada saya untuk mengetahui cara yang perlu dilakukan di rumah, bagi mengatasi masalah pertuturan anak yang mengalami sindrom down seperti menggunakan kaedah Makaton (kad gambar),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang bapa, Burhan Samat , 40, berkata, program itu memberi pengetahuan yang berguna kepadanya bagi mengatasi masalah anak autisma contohnya menggunakan teknik memberus keseluruhan badan bagi memberi rangsangan dalaman anak autism itu.

Sumber:
Wartawan Sinar Harian
22 April 2012

2 comments:

  1. Saya guru pendidikan khas.. sya sediakan tuisyen tambahan untuk murid pendidikan khas integrasi. Berminat hubungi saya..

    ReplyDelete