Friday, November 20, 2015

Perjalanan anak autismaku masih jauh


Genab sudah umur anak autism pak yoep, Faqihah 14 tahun pada 17 Nov 2015 yang lepas. Tiada majlis keraian sebagaimana kebanyakan keluarga yang lain buat. Hanya doa sahaja mengiringinya agar dipermudahkan semua urusan yang melibatkan Faqihah. Didoakan agar kami terus diberikan kesihatan yang baik selagi hayat dikandung badan agar dapat terus kami bersama-sama dapat menjaga Faqihah yang masa depan yang belum pasti.

Banyak perubahan yang telah berlaku jika dibandingkan Faqihah semasa kecil. Autism dan Hiperaktif. Banyak kisahnya telah dikongsi bersama dalam blog ini. Perubahan Faqihah? Ianya tidak terjadi secara semula jadi tapi dengan kerja keras kami sekeluarga dan pihak-pihak yang terlibat mendidik Faqihah semasa kecil.

Walaupun Faqihah masih tidak mampu dalam akademik arus perdana...kami bersyukur asas 3M telah dikuasainya dengan bantuan guru-gurunya. Harapan kami agar Faqihah diberi peluang untuk menduduki PT3 pada tahun 2018. Kami akan turut berusaha ke arah itu dengan membuat Home Schooling bermula 2016. 

Dengan adanya Faqihah sijil PT3, peluangnya untuk melanjutkan pelajar akan lebih cerah dalam bidang vokasional anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia kerana PT3 adalah syarat yang ditetapkan buat masa ini. Untuk Faqihah untuk lebih cemerlang dalam akademik arus perdana adalah sukar kerana Faqihah tidak diinklusifkan sejak sekolah rendah. Walaupun ada perancangan, perubahan kepimpinan sekolah merencatkan usaha tersebut. Sebagai ibubapa, kami akur apa jua keputusan pihak sekolah. Mereka lebih tahu tentang Faqihah di sekolah.

Perjalanan kehidupan Faqihah penuh berliku. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kami tempuhi dalam mendidik Faqihah. Kadang-kadang tidak mendapat kerjasama daripada ahli masyarakat.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat mendidik Faqihah semasa kecil sehingga kini. Ingin diwar-warkan kembali pihak yang terlibat mendidik Faqihah. Diantaranya, diharap tiada yang tertingal, ialah:

HOSPITAL RAJA PERMAISURI BAINUN IPOH
PUSAT RAWATAN ATTITUDE THERAPY - Dr Aishah dan staf
TASKA RIANG BESTARI - Cikgu Hanim dan staf
BRIGHTER FUTURE - Teacher Ruby dan Staf
NASOM IPOH - Cikgu Siti dan Staf
YAYASAN SULTAN IDRIS - Semua Staf
SK SERI KEPAYANG - Semua guru dan PPM
SK SERI MUTIARA - En Zaini dan Staf
SK GOPENG - Semua guru dan PPM
SMK SERI INTAN - Pn Roslinda dan Staf

Harapan kami agar pengunjung blog ini dapat terus mendoakan kami diberikan kekuatan untuk mendidik Faqihah.







No comments:

Post a Comment