Friday, November 20, 2015

Ciri-Ciri Kanak-Kanak Autisme


Sumber : http://www.unicef.org/malaysia/health_education_8055.html

Ciri-Ciri Kanak-Kanak Autisme
Masalah autisme di kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan. Antara kemahiran yang mengalami gangguan akibat daripada autisme ialah;
  • Kemahiran pertuturan dan komunikasi
    • Kanak-kanak autisme mengalami kesukaran untuk memahami percakapan, bertutur dan menyatakan kehendak. Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Kebiasaannya mereka membuat bunyi atau perkataan yang tidak bermakna dan tidak boleh difahami (jargon). Kanak-kanak autisme juga boleh mengalami ekolalia, iaitu, pengulangan perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain.
  • Kemahiran interaksi sosial
    • Tidak menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan individu lain merupakan ciri utama kesukaran interaksi sosial kanak-kanak autisme. Mereka sukar untuk bertentangan mata dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak autisme sukar bergaul dengan kanak-kanak lain dan sering bermain sendirian.
  • Tingkah laku dan emosi
    • Tingkah laku tidak wajar serta berulangan seperti mengibas tangan dan melompat tanpa tujuan merupakan antara ciri-ciri yang terdapat pada kanak-kanak autisme. Terdapat juga kanak-kanak autisme yang mencederakan diri sendiri dengan menggigit dan menghantuk kepala ke dinding. Mereka juga boleh menunjukkan emosi seperti ketawa, menangis dan menjerit seorang diri tanpa sebab.
  • Sensori atau sentuhan fizikal
    • Terdapat kanak-kanak autisme yang sensitif kepada bunyi bising, sentuhan dan rasa. Mereka juga mungkin mempunyai tabiat menjilat, memasukkan barang dalam mulut, menggigit atau mencium sesuatu. Kebanyakan kanak-kanak autisme tidak suka disentuh, dipegang atau dipeluk. Ada juga di antara mereka yang memilih makanan kerana masalah sensori badan dan bahagian mulut.
  • Kemahiran kognitif
    • Kanak-kanak autisme sering dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lewat berbanding kanak-kanak usia sebaya. Kebanyakannya mempunyai tahap IQ yang lebih rendah berbanding kanak-kanak normal. Hal ini menyebabkan terdapat kanak-kanak autisme yang sukar memahami konsep-konsep tertentu terutamanya konsep abstrak seperti emosi.
  • Kemahiran bermain
    • Kanak-kanak autisme tidak memahami konsep bermain secara betul. Mereka sering membaling mainan, memasukkan mainan ke dalam mulut dan kadang-kala merosakkannya. Mereka mempunyai minat yang terhad kepada alat mainan dan sering bermain dengan mainan yang sama berulang kali.
Sumber gambar: http://agift.my/charity-partners/57

No comments:

Post a Comment