Tuesday, January 14, 2014

OKU jadi Pegawai Sains


Putrajaya: “Emak, orang (saya) nak beritahu berita gembira ni. Orang (saya) dapat kerja sebagai Pegawai Sains dan akan mula kerja tidak lama lagi. Syukurlah.”
Itu antara ayat pertama yang keluar dari mulut pelajar bijak orang kelainan upaya (OKU) Kamalru Azman Daud, 26, ketika menghubungi ibunya di Kelantan sebaik menerima ‘kurniaan’ paling bermakna pagi semalam.
Penantian graduan ijazah Teknologi Sains Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam tahun lalu dengan purata nilai gred terkumpul (CGPA) 3.57 itu berakhir apabila ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Sains Gred 41 di Kementerian Kesihatan, semalam selepas ahli mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sebulat suara bersetuju dengan keputusan temu duga, 8 Januari lalu.
Surat berkenaan disampaikan sendiri Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bilangan 2/2014 semalam, sekali gus menamatkan episod lara hidup Kamalru yang begitu berminat untuk bekerja di dalam sektor awam.
Katanya, dia akan memulakan hidup baru dengan perasaan gembira apatah lagi mengenangkan nasib keluarga yang begitu mengharapkan anak kesembilan daripada 12 adik-beradik itu berjaya memperoleh kerjaya bagi menjamin masa depan.
“Perasaan saya gementar sejak malam tadi (kelmarin) memikirkan untung nasib sendiri. Macam tidak percaya apabila pagi ini (semalam) saya terima surat lantikan sebagai Pegawai Sains daripada Tan Sri sendiri.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya mendapatkan kerja selepas berpuluh kali gagal khususnya SPA, Harian Metro/Metro Ahad dan mereka yang ingin menawarkan pekerjaan sebelum ini. Jasa anda saya akan ingat sampai bila-bila,” katanya. Kamalru berkata, perasaannya ketika ini bercampur baur antara terharu, gembira, tidak percaya dan takut kerana dalam sekelip mata nasibnya bakal berubah hasil bantuan SPA dan Harian Metro/Metro Ahad, sesuatu yang tidak pernah terlintas difikirannya selama ini.
“Insya-Allah jika tidak ada aral melintang saya akan buat kenduri doa selamat di kampung sempena berita gembira ini,” katanya.
Dia tiba di bangunan SPA di Putrajaya jam 10.20 pagi sebelum dibawa masuk ke dalam bilik mesyuarat diiringi tepukan daripada pegawai suruhanjaya yang membuat keputusan itu selepas mengambil kira hasil temu duga minggu lalu.
Kisah sedih Kamalru yang disiarkan Metro Ahad 5 Januari lalu mendapat perhatian Mahmood yang mengarahkan pegawainya menyiasat segera kes itu sebelum menetapkan temu duga pada 8 Januari.
Dalam tempoh itu, dia menerima pelbagai tawaran kerja termasuk daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Universiti Teknologi MARA yang prihatin dengan nasibnya yang sering gagal di dalam temu duga kerana status dirinya seorang OKU.

Sumber - Harian Metro

No comments:

Post a Comment