Muhammad Hazim Ahmad Safawi dipeluk bapanya, Ahmad Safawi Mokhtar dan ibunya, Nur Aini Abd. Rahman selepas menerima sijil Pelajar Cemerlang UPSR 5A di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Johor Bahru, semalam. |
JOHOR BAHRU 17 Nov. – Fizikal Muhammad Hazim Ahmad Safawi sama seperti rakan seusianya, namun siapa menyangka murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1 di sini itu sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang anak bongsu daripada empat beradik itu membuktikan kepada umum bahawa dia juga mampu mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran iaitu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kali ini.
Bagi Muhammad Hazim, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil titik peluh semua pihak terutama guru-guru dan ibu bapanya yang sentiasa bersabar dalam mendidik dan memberi panduan kepadanya.
“Saya gembira dengan kejayaan hari ini dan sebenarnya saya tidak menyangka dapat keputusan sebegini. Saya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk masa depan saya,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi ahli fizik nuklear suatu hari nanti.
Ditanya rahsia kejayaan, anak pasangan Nur Aini Abd. Rahman, 52, dan Dr. Ahmad Safawi Mokhtar, 52, itu berkata, dia menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas selain menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan.
Sementara itu, Nur Aini berkata, Muhammad Hazim mula dikesan mengalami autisme ketika usianya tiga tahun apabila sukar berkomunikasi dan hanya boleh menyebut perkataan ‘mama’.
“Saya gembira sangat dan tidak menyangka Hazim mampu berjaya sebegini. Terima kasih kepada guru-guru kerana mendidik anak ini sehingga berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment