Wednesday, March 4, 2015

Pusat autisme pertama negara 2015


Harap pusat autisme ini dapat direalisasikan pada tahun ini. Setakat ini tiada maklumat diterima mengenai perkembangannya. Mungkin juga pusat ini akan dirasmikan sempena sambutan Hari Autisma sedunia pada bulan April 2015. Segalanya mungkin... Semua ibubapa yang mempunyai anak-anak autisma amat mengharapkan terutama yang berhampiran dengan lokasi pusat autisma ini.

ROSMAH Mansor (tengah, depan ) menyertai senamrobik bersama orang ramai ketika menghadiri majlis sidang akhbar Larian Autisme 2014 Light Up Autism! di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali (depan, kiri).


KUALA LUMPUR 6 April - Malaysia bakal mempunyai sebuah pusat autisme menjelang tahun hadapan, sekali gus menjadi yang pertama di negara ini.
Pusat autisme itu kini dalam proses pembinaan di Sentul dan dijangka beroperasi pada April atau Mei 2015.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, penubuhan pusat tersebut bertujuan membimbing golongan autisme, terutamanya kanak-kanak untuk menjalani kehidupan secara normal.
Beliau berkata, kanak-kanak autisme juga mampu berdikari dan melakar kejayaan sama seperti kanak-kanak normal jika diberi pendedahan secara khusus dan konsisten.
"Kanak-kanak yang menghidap autisme mempunyai keistimewaan tersendiri dan kebolehan mereka boleh diasah menerusi pelbagai program khas.
"Antara program bimbingan yang akan dijalankan di pusat tersebut merangkumi aspek sosial, komunikasi dan pendidikan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri acara Larian Autisme 2014, anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Permata Kurnia, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood.
Rosmah yang juga penaung program Permata berkata, pusat tersebut akan menerima seramai 300 kanak-kanak autisme pada peringkat awal dan jumlah itu dijangka meningkat pada masa akan datang.
Selain itu, beliau menyatakan satu seminar antarabangsa berkaitan autisme akan diadakan pada 22 dan 23 April ini di Putrajaya.
Katanya, seminar yang bertemakan Autisme: Keprihatinan Mengelakkan Tragedi merupakan program intervensi untuk kanak-kanak autisme.
"Seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai autisme yang menimbulkan masalah dalam sosial, komunikasi dan kehidupan kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut.
"Seminar itu juga memberi peluang kepada para peserta dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam aspek pendidikan kanak-kanak autisme," ujarnya.
Tambah Rosmah, seminar selama dua hari itu turut akan disertai oleh lima isteri pemimpin dunia termasuk dari Albania, Sudan, Maghribi, Kyrgyztan dan Sri Lanka.
Beliau berkata, satu sesi khas yang dinamakan Suara Wanita Pertama akan diadakan untuk isteri-isteri pemimpin tersebut bagi berkongsi pengalaman, perspektif dan idea mengenai autisme di negara masing-masing.

Sumber - Utusan

No comments:

Post a Comment