Monday, March 16, 2015

Kepentingan kad OKU


Mengapa perlu mendaftar kad OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Pertama-tamanya, pendaftaran adalah untuk memudahkan Kerajaan mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU bagi merancang program berkaitan dengan pendidikan, rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan. Dengan peningkatan pendaftaran anak-anak autisme di bawah kategori Learning Disability (masalah pembelajaran), ia akan membolehkan pihak berwajib mengambil kira peningkatan keperluan untuk terapi, penambahan pusat terapi, penambahan bilangan terapis dsb. Diskusi Menteri Kesihatan dengan ibu bapa Autisme baru-baru ini menunjukkan kerajaan memberikan perhatian khusus untuk autism dan diharapkan ia akan membawa impak dan keberhasilan yang positif untuk golongan autisme di Malaysia.

Kedua - pendaftaran OKU membolehkan anak-anak kita mendapat perkhidmatan yang bersesuaian mengikut keperluan mereka.

Misalnya - membolehkan mereka mendapat pendidikan di PDK/PPKI. Manakala bagi anak autisme di aliran perdana yang mempunyai kad OKU, mereka boleh mendapatkan khidmat guru pengiring (bergantung kepada budi bicara sekolah/PPD).

Anak-anak di PDK/PPKI layak menerima elaun bulanan sebanyak RM150 sebulan. RM1800 setahun. Ia boleh membantu mengurangkan beban ibu bapa. Jika ibu bapa berhasrat menyimpan wang tersebut sebagai tabungan anak - bayangkan, selepas 10 tahun di sekolah, atau 12 tahun (anak autisme dibenarkan bersekolah di PPKI sehingga usia 19 tahun), tabungan boleh menjangkau RM18,000 - 21,600. Ini ialah hak anak tersebut yang telah disediakan oleh kerajaan.

Selain daripada Elaun Murid Berkeperluan Khas, anak dengan kad OKU di PPKI juga layak mendapat Rancangan Makanan Tambahan (tanpa mengira pendapatan ibu bapa) dan Skim Susu 1Malaysia.

Ibu bapa dengan anak yang berdaftar OKU layak mendapat potongan cukai pendapatan sebanyak RM6000 setahun. Bukankah itu juga hak untuk anak kita?

Kelebihan kad OKU lain? 

Antaranya:

Pasport antarabangsa percuma untuk pemegang kad OKU.
Rawatan percuma di hospital kerajaan - termasuk terapi carakerja, terapi pertuturan, operation full anesthetic untuk khatan

Pelbagai diskaun - potongan 50% tiket MAS, 50% tiket KTM, 50% tiket Transnasional, 50% tiket LEGOLAND, 50% tiket Kidzania (serta kemasukan percuma untuk seorang Penjaga), masuk percuma ke Petrosains, masuk percuma ke pelbagai Zoo dan Taman.

Anak-anak autisme yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian awam layak mendapat elaun RM300.00 sebulan. Malah boleh berbincang dengan pihak IPTA sekiranya memerlukan masa lanjutan/tambahan bagi menghabiskan program yang sedang diikuti.

Kad OKU datang dengan hak untuk anak-anak kita.
Mendaftar untuk mendapatkan kad OKU bukanlah untuk melabelkan anak kita sebagai kurang upaya, malah sebaliknya untuk memberikan anak kita hak yang selayaknya untuknya, insya Allah.

Sumber - Azra Haida

No comments:

Post a Comment