Monday, March 23, 2015

Kongsi rahsia kanak-kanak autisme


Menimang cahaya mata merupakan detik yang sangat dinanti-nantikan semua pasangan suami isteri. Namun, bagaimana jika anak yang dilahirkan itu disahkan menghidap sindrom autisme?
Inilah yang dialami Ainizal Abdul Latif, 36, sewaktu membesarkan anak ketiganya, Mohamad Haikal Arrizqy Mahamad Hisham.
Pada awalnya, Mohamad Haikal Arrizqy yang lebih mesra dipanggil Rizqy membesar seperti bayi-bayi normal yang lain.
Namun, apabila usianya menjangkau dua tahun, Ainizal dan Mahamad Hisham, 36, mula melihat perbezaan tingkah-laku yang ketara.
Dua orang doktor pediatrik yang ditemui mereka mengesahkan Rizqy menghidap sindrom autisme yang ketara.
Sewaktu berkomunikasi dengan orang lain, Rizqy tiada eye contact dan tidak boleh bertutur.
Ketika berada di tempat awam, Rizqy pantang berjumpa kawasan yang luas kerana dia akan berlari laju dan kadang-kadang tidak perasan risiko bahaya di sekitarnya.
Terima kenyataan
Berdepan kenyataan itu, Ainizal diselubungi perasaan panik dan ketakutan sehingga tiada kekuatan untuk menghadapi dunia luar.
Dia kerap mempersoal bila Rizqy boleh menjadi normal seperti kanak-kanak lain.
Ainizal turut keliru tentang tindakan yang perlu diambil selanjutnya.
Perlukah dia membuat pemberitahuan terbuka tentang keadaan anaknya? Siapakah yang boleh ditemui untuk membantu mengubah keadaan Rizqy?
“Saya mula mendapatkan maklumat tentang autisme dan teknik mengatasinya dengan pelbagai cara.
“Sama ada membaca sendiri, merujuk doktor atau memperoleh petua daripada ibu bapa yang mempunyai anak autisme,” katanya.
Bagaimanapun, dia masih tidak tahu cara paling sesuai untuk merawat Rizqy, sekali gus menyebabkannya mengambil pendekatan trial and error.
Pelbagai aktiviti digunakan untuk merangsang perkembangan otak anak itu.
Beberapa jenis terapi yang dicadangkan pakar turut diusahakan untuk membantu Rizqy menuturkan perkataan pertama dalam hidupnya.
Ubat-ubatan, suplemen, ubat homeopati, perubatan alternatif sehinggalah ke air penawar memenuhi ruangan bilik dan peti sejuk di rumahnya.
Tidak kira berapa susah atau mahal sekalipun, Ainizal akan berusaha mendapatkannya.
“Dalam erti kata mudah, Rizqy dijadikan seperti bahan percubaan.
“Sampai satu tahap, Rizqy menjadi takut kepada saya dan melarikan diri setiap kali melihat saya kerana tertekan dengan segala usaha yang dilakukan,” katanya.
Pakar psikiatri kanak-kanak pada tahun 1943, Dr. Leo Kanner mentakrifkan autisme sebagai kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri atau individu yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran secara normal akibat gangguan pada sistem saraf sejak lahir.
Situasi itu mencetuskan idea kepada Ainizal untuk menghasilkan buku berjudul Genius Dari Syurga: Kisah Benar Seorang Ibu Yang Mendidik Anak Autistik bagi berkongsi beberapa simptom yang menunjukkan kemungkinan seseorang kanak-kanak itu mengalami autistik.
Kurang atau tiada eye contact sewaktu berkomunikasi, tidak menyahut bila nama dipanggil dan sukar bergaul dengan rakan-rakan sebaya antara gejala yang ketara dapat dikesan.
Mereka juga gemarkan objek yang berkilauan seperti cermin, cakera padat dan kaca.

Dalam masa yang sama, mereka sangat sensitif terhadap bunyi dan cenderung menutup telinga sambil menjerit apabila tidak suka bunyi yang didengar.
Lambat bertutur, tidak suka dipeluk dan gagal menilai situasi bahaya antara simptom lain yang perlu diperhatikan.
Buku yang sedang diulang cetak itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk golongan bukan Islam walaupun pengisiannya banyak menyentuh aspek kerohanian daripada perspektif Islam.
Masyarakat sering memandang serong kepada ibu bapa yang mempunyai anak seperti itu, sekali gus menjadikan mereka lebih tertekan.
Kata-kata kesat
Sudah menjadi lumrah apabila anak yang mengalami sindrom autisme tidak boleh duduk diam. Bila ada peluang, mereka memanjat, melompat dan berlari.
Bagi kebanyakan masyarakat yang tidak selesa dengan keadaan itu, mudah sahaja kata-kata kesat dilemparkan tanpa usul periksa. Ainizal mempunyai reputasi mendidik beratus-ratus orang pelajar tetapi ada yang mempersoal kemampuannya mendidik anak sendiri.
Ainizal mencadangkan agar ibu bapa tidak bersikap emosional atau cuba berlawan kata dalam keadaan tidak rasional. Perasaan mahu membela diri pasti akan ada tetapi jika situasi itu tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengundang salah faham.
Memahami cabaran yang dihadapi ibu bapa untuk membesarkan anak autisme, Ainizal membuka kelas khas mengendali anak autistik, disleksia dan masalah pembelajaran di Pusat Akademik Genius World Station miliknya di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.
“Ada ibu bapa yang datang ke pusat, bertanyakan berapa banyak yang perlu dibayar untuk memulihkan anak mereka. Saya katakan, usaha ini bukan terletak semata-mata kepada jumlah wang ringgit yang dikeluarkan.
“Sebenarnya apa yang lebih utama ialah peranan yang dimainkan ibu bapa dalam proses pemulihan anak. Ia memerlukan kerjasama rapat kedua-dua pihak,” kata Ainizal.
Dia bakal menerbitkan buku keduanya, Didik Anak ‘Connect’ Dengan Allah’ yang kini dalam proses ulang cetak selepas sebulan dipasarkan.
Dalam buku itu, Ainizal berkongsi pengalamannya menghadapi soalan-soalan yang sukar dijawab berkaitan ketuhanan seperti ‘siapa Allah?’, ‘di mana Allah’ dan ‘kenapa perlu bersolat?’ untuk membantu ibu bapa memberi penjelasan mudah kepada soalan-soalan rumit. – Bernama

No comments:

Post a Comment