Saturday, February 23, 2013

Mendidik anak autisme

 

Kanak-kanak yang menghidap penyakit autisme berhadapan dengan masalah pembelajaran kerana pemikiran mereka lewat berkembang.



PRAKTIKKAN pembelajaran berasaskan visual kepada kanak-kanak yang menghidap autisme. - Gambar hiasan




KANAK-KANAK yang menghidap autisme biasanya mengalami masalah dalam pembelajaran. Ia meliputi kesukaran untuk belajar melihat, memerhati, menilai dan melaksanakan tugasan yang diberi.

Oleh itu, ibu bapa atau guru-guru perlu mempraktikkan cara didikan yang bersesuaian bagi merangsang minat mereka menerima pembelajaran. Berikut merupakan himpunan tip didikan yang boleh dilaksanakan:

Gunakan gambar

Kebanyakan penghidap autisme berfikir dengan gambaran bukan dengan perkataan. Gambar merupakan bahasa utama dan perkataan bahasa kedua mereka. Pemikiran mereka umpama perakam video yang merakam berdasarkan imaginasi mereka.

Kata nama merupakan perkataan yang paling mudah untuk mereka pelajari kerana dengan kata nama mereka boleh menggambarkan perkataan tersebut.

Untuk mengajar mereka kata kerja seperti 'duduk' dan 'berdiri', guru seharusnya mendemonstrasikan perbuatan duduk dan berdiri.

Bagaimanapun, lebih baik sekiranya guru menunjukkan perkataan kad imbas 'duduk' semasa duduk dan 'berdiri' semasa berdiri.

Mudahkan arahan

Kanak-kanak autisme memiliki masalah dalam mengingat semula arahan yang panjang. Sekiranya mereka boleh membaca, tuliskan arahan tersebut di atas kertas.

Kanak-kanak autisme juga sukar untuk mengingati nombor telefon kerana mereka sukar menggambarkannya di dalam minda.

Bakat melukis

Kebanyakan kanak-kanak autisme berbakat dalam melukis, seni dan program komputer. Ini mungkin kerana mereka mempunyai kecenderungan terhadap perkara visual.

Bakat ini perlu diasah dan digalakkan untuk persediaan kerjaya masa depan mereka.

Menggunakan bakat mereka dalam proses pembelajaran mungkin lebih meningkatkan tumpuan mereka untuk belajar.

Kereta mainan

Selain daripada melukis, kebanyakan kanak-kanak autisme juga gemar kepada perkara seperti bermain dengan kereta mainan atau membaca peta.

Ibu bapa dan guru boleh menggunakan minat mereka itu sebagai alat untuk memotivasikan mereka menyiapkan kerja sekolah.

Sekiranya mereka berminat terhadap kereta mainan, gunakan kereta mainan semasa mengajar mereka membaca atau mengira. Baca buku yang berkaitan dengan kereta dan selesaikan masalah kira-kira dengan kereta mainan.



PENGGUNAAN komputer akan memudahkan dan menarik minat kanak-kanak autisme untuk mengingati perkara yang diajar. - Gambar hiasan




Pendekatan visual

Gunakan pendekatan visual dalam mengajar konsep nombor seperti mainan nombor. Contohnya set blok nombor yang pelbagai warna dan saiz.

Masalah tulisan tangan

Kebanyakan kanak-kanak autisme memiliki tulisan tangan yang sangat buruk. Ini kerana mereka mengalami masalah untuk mengawal tangan mereka.

Untuk menghasilkan tulisan yang cantik dan kemas adalah sukar. Hal itu mengakibatkan kanak-kanak tersebut rasa kecewa.

Bagi mengurangkan kekecewaan itu. bantu mereka untuk rasa seronok menulis. Mungkin guru atau ibu bapa boleh menggalakkan mereka menaip di komputer.

Mengingat keseluruhan perkataan

Sesetengah kanak-kanak autisme lebih mudah belajar membaca dengan mengingat keseluruhan perkataan. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini sesuai menggunakan kad imbas dan buku bergambar.

Perkataan tersebut perlu disamakan dengan gambar. Penting juga perkataan dicetak di muka surat yang sama dengan gambar.

Apabila mengajar kata nama, kanak-kanak tersebut perlu mendengar dan melihat secara keseluruhan iaitu perkataan dan gambar berkenaan.

Contohnya anda menyebut 'pisang', perlu juga diperlihatkan gambar kad pisang.

Begitu juga apabila mengajar kata kerja 'lompat', anda mesti melakukan perbuatan melompat dan menyebut 'lompat'.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1023&pub=kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2LmopAs2W

No comments:

Post a Comment