Sunday, February 10, 2013

Teroka dunia baru anak istimewa

LATIHAN menggunakan bola kesihatan menguatkan fizikal dan daya tahan kanak-kanak OKU.


BERIADAH dan bersukan mempunyai banyak manfaat termasuklah untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kajian juga telah membuktikan bahawa sukan membina sahsiah kanak-kanak OKU menerusi semangat setiakawan serta menjadikan mereka insan yang mempunyai matlamat dalam hidup.

Hakikat ini disokong Nagoor Meera Abdullah, seorang pendidik yang berpengalaman lebih 15 tahun melatih atlet-atlet di kalangan OKU.

Kata Nagoor, kanak-kanak istimewa yang melibatkan diri dengan sukan dapat meningkatkan keupayaan fizikal dan kemahiran motor, selain memupuk sifat keyakinan diri yang tinggi dan imej kendiri yang lebih positif.

"Mereka bukan sahaja berkembang dari segi mental, sosial dan spiritual melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti, malah golongan ini turut mempamer keberanian dan semangat kental serta semangat setiakawan yang tinggi," katanya pada bengkel bertajuk The Power of Sports di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bengkel anjuran Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Sukan Olimpik Istimewa Malaysia.

Beliau yang juga pensyarah dan koordinator Program Sains Sukan di UiTM, menambah, menerusi sukan golongan OKU muda ini akhirnya bukan sahaja mampu mengembangkan bakat, malah suara mereka mulai didengari umum.

Sementara itu seorang lagi panel, Mohd. Shukry Hussain yang merupakan seorang guru di kelas kanak-kanak khas pembelajaran berkata, kelebihan sukan adalah dalam memacu dan menaiktaraf kehidupan seseorang.

Beliau yang juga seorang jurulatih sukan di Sukan Olimpik Istimewa, telah banyak membantu kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan mental sehingga berjaya.

"Saya pernah melatih seorang kanak-kanak OKU. Saya diberitahu oleh ibu bapanya bahawa kanak-kanak ini tidak mampu untuk duduk, berdiri, berjalan mahupun bercaka.

"Namun kesan daripada penglibatan dalam aktiviti sukan, kanak-kanak ini telah jauh berubah. Bukan setakat mampu berjalan, bahkan dia telah menjadi seorang atlet yang berkeyakinan tinggi dan menempa nama dalam Sukan Olimpik Istimewa negara.

" Ibu bapa kanak-kanak ini pernah memaklumkan pada saya bahawa saya merupakan inspirasi kepada anak mereka, tetapi sejujurnya dia yang menjadi sumber inspirasi saya.

"Kegigihan dan semangat kentalnya menjadi pemangkin untuk saya terus membantu kanak-kanak istimewa lain," jelasnya yang turut terlibat dalam banyak persatuan melibatkan OKU seperti Persatuan Para Atlet Malaysia dan Persatuan Boling Tenpin Malaysia.

Menurut Mohd. Shukry, walaupun Sukan Olimpik Istimewa tidak mendapat liputan seperti sukan olimpik biasa ia sebenarnya amat dekat di hati kebanyakan kanak-kanak istimewa.

Bahkan, ia menjadi landasan atau medan untuk kanak-kanak mengambil bahagian dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan.

Selain menganjurkan lebih 50,000 pertandingan setiap tahun - kira-kira 136 pertandingan setiap hari, pertubuhan ini turut menyediakan latihan sukan dan pertandingan dalam pelbagai acara seperti yang dipertandingkan di peringkat Olimpik.

No comments:

Post a Comment