Thursday, December 13, 2012

Peranan ibubapa anak autisma


Ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam memenuhi kehendak kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Antara peranan jelas yang dapat dimainkan oleh mereka adalah seperti berikut:

i. Ibu bapa sebagai penyelaras kehendak.
- Seligman dan Darling (1989) mencatatkan keluarga kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai cabaran dan beban yang tidak diketahui oleh orang lain dalam memenuhi kehendak mereka. Hal-hal berkaitan dengan kewangan yang serius adalah perkara biasa apabila anak itu perlu perlu mendapatkan rawatan, keperluan perubatan, terapi, alatan khusus, pengubahsuaian persekitaran dan pengangkutan khas. Keperluan-keperluan begini jarang sekali ditanggung oleh pihak insurans ataupun disediakan oleh program perkhidmatan sosial.

Pada masa yang sama, ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pembelajaran mudah tersinggung (Murphy, 1982). Menyorot pada kajian yang menggunakan kumpulan pasangan ibu bapa anak istimewa, McGillycuddy-DeLisi (1992) mendapati ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai konsep kendiri yang rendah dan bersedih kerana membesarkan anak yang kurang upaya.

Daripada awal lagi sejak mengesyaki anak mereka bakal menghadapi masalah, ibu bapa mengalami rasa ketidakpastian. Mereka terpaksa memikirkan keperluan perubatan, tahap kemampuan serta kemampuan penyesuaian psikologi dan sosial. Ibu bapa tidak pasti bagaimana menghilangkan keadaan ini. Biasanya perasaan ini tidak hilang walau lima ataupun sepuluh tahun akan datang.

ii. Ibu bapa sebagai pendorong.
- Ada kanak-kanak istimewa mempunyai minat yang tertentu. Minat inilah yang perlu didorong oleh ibu bapa ke peringkat yang termampu oleh kanak-kanak itu. Kalau seorang kanak-kanak menunjukkan bukti mempunyai darjah minat yang tinggi iaitu bakat dalam sesuatu bidang tertentu, maka sesuai kalau dianggap latihan yang bertujuan khas bagi perkembangan bakat itu menghasilkan pencapaian yang tinggi dan kejayaan berikutan dengannya, tanpa sebarang halangan.

iii. Ibu bapa sebagai pemberi maklumat.
- Antara strategi yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak ini adalah
memberi mereka maklumat yang cukup mengenai orang lain supaya ditiru. Kajian Bandura (1971) merumuskan hanya dengan melihat orang lain terutama yang lebih tua ianya dapat mempengaruhi tingkah laku seseorang.

Ibu bapa memang dapat dijadikan sebagai model utama dalam pemupukan minat dan pencapaian kanak-kanak istimewa. Ini memang salah satu fungsi ibu bapa di rumah. Ibu bapa mungkin menjadi model tingkah laku kepada anak-anaknya dan dengan itu menyediakan mereka dengan petunjuk yang konkrit berkenaan apa yang patut mereka buat dan apakah peribadi yang patut ditonjolkan.

. Ibubapa perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Antara tindakan di rumah yang perlu diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pembelajaran adalah mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga. Keluarga yang bahagia adalah syurga bagi anak-anak.

Oleh itu, sebaik-baiknya kita mencipta kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga bagi mewujudkan situasi yang sihat pada diri anak kita. Ibu bapa yang penyayang mewujudkan suasana yang mesra dan penuh kasih sayang. Namun, sikap mesra itu perlu ada hadnya. Bataskan garis-garis tertentu supaya dia dapat dikawal dan tidak melampaui batas. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Memberi didikan agama sebaik-baiknya bermula sejak kecil lagi. Agama dapat membantu anak anda melakukan perkara yang baik dan mengelakkan perkara yang tidak baik. Konsep ini perlu diterangkan pada anak anda sejak kecil supaya dia mengerti dalam kehidupan ini, ada panduan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh setiap manusia. Ibu bapa memainkan peranan penting mambantu anak menyesuaikan diri dengan masalah yang mereka hadapi. Anak-nak istimewa ini memerlukan empati, sokongan dan galakan dalam menangani penyesuaian sosial dan emosi. Ibu bapa tidak perlu mengawal anak dengan berlebih-lebihan dan memandang rendah kebolehannya.

No comments:

Post a Comment