Tuesday, February 17, 2015

Didik anak Autisme menjadi Normal


Terjumpa artikel ini...harap dapat sama-sama pak yoep memanfaatkannya untuk mendidik anak-anak autisma kita menjadi lebih baik daripada sekarang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Teacher Ayu dari Excel Qhalif atas perkongsian ilmu.

Sama-sama kongsikan pengalaman tersebut.

Saban minggu saya menerima panggilan daripada para ibubapa di sekitar lembah klang mahupun negeri lain mengenai teknik terbaik mendidik anak autisme. Panggilan bukan sahaja diterima daripada kalangan ibu malah kalangan bapa juga.

Kebanyakkan lingkungan umur anak mereka sekitar usia 3 tahun dan ke atas. Mereka mula kesan simptom autisme apabila mereka membaca hasil perkongsian saya di ruangan blog pada topik autisme yang dulu.

Saya faham bahawa isu autisme terutamanya selain ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity Disorder) atau Delay Development antara isu hangat di kalangan masyarakat sekarang. Jika boleh disimpulkan mengikut nisbah, saya kira dalam 1 : 50 atau kurang daripada itu.

Mengikut pengalaman sebagai guru playgroup dan pengamal pendidikan awal kanak-kanak, di kelas Excel Qhalif Playgroup sendiri mempunyai beberapa pelajar yang menghidapi Autisme. Tetapi bilangannya tidaklah ramai kerana takut menganggu pelajar yang lain dan saya mudah fokus kepada mereka dan kelas. Ada kanak-kanak perempuan dan ada juga yang lelaki.

Mengikut kajian juga, anak-anak autisme ini akan kembali normal seperti kanak-kanak yang lain apabila mereka mula membesar sekitar usia 8 ke 9 tahun. Cabaran utama ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme ialah apabila ingin mencari tadika yang boleh menerima anak autisme mereka. Amat kurang tadika yang mempunyai tenaga mahir yang mampu mengawal anak autisme dan boleh dikatakan amat sukar bagi kita orang Islam.

permainan akan membantu anak menjadi bijakSejauh mana anak saya seorang autisme ?
Disebabkan kepesatan teknologi masa kini, ilmu dan maklumat mudah tersebar. Tidak dinafikan sebagai ibubapa yang prihatin kita mencari maklumat sebanyak mungkin bagi mengatasi apa yang berlaku pada si manja kita.

Namun, aturan yang pertama perlu saya ingatkan dan tegaskan ialah, jangan mudah panik. Bertenang adalah perkara asas bagi mencari jalan keluar. Semakin kita panik, kita umpama mengiakan perkara yang kita mahu elakkan. Seperti isu autisme ini.

Yang lebih mengejutkan, ada juga saya terima panggilan daripada seorang ibu daripada selatah tanah air mengatakan anaknya seorang autisme. Bila ditanya baru 17 bulan umurnya. Umur itu masih terlalu kecil jika kita ingin kaitkan dengan autisme bagi saya.Ditambah dengan ketakutannya untuk memberitahu kononnya anak mereka itu autisme kepada suami beliau. Beliau terlalu panik sebenarnya.

Ini kerana, apabila saya berpeluang untuk berjumpa sesetengah anak yang autisme selang beberapa minggu saya dapati mereka bukanlah seorang yang autisme. Mereka hanya aktif seperti anak normal yang lain yang hanya kurang pandai memberi tumpuan. Tetapi jika diberikan lebih masa dan kepercayaan kepada mereka, mereka pasti membesar seperti anak normal yang lain.

Langkah untuk mengatasinya…

Membawa mereka bermain ke dunia luar

Sebahagian besar daripada kita akan membuat keputusan untuk berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan keraguan mereka itu. Iya, itu satu tindakan yang betul. Selepas itu atau sebelum itupun kita boleh membawa anak kita keluar bergaul bersama komuniti untuk melihat interaksi anak kita bersama yang lain.

Doktor bertindak sebagai pemberi nasihat dan terapi untuk anak kita, namun praktikal kehidupan seperti membawa mereka bergaul adalah lebih bermanfaat. Kita juga boleh bawa anak kita bersiar ke taman permainan di pusat membeli belah secara rutin bagi memberi peluang kepada mereka untuk belajar dunia luar seperti anak normal yang lain.

Lakukan aktiviti seni bersama anakPerbanyakkan aktiviti seni dan kraf bersama anak autisme kita.

Ada anak autisme mempunyai tenaga yang sangat aktif. Mereka akan berpusing-pusing atau berlari tanpa penat. Cara terbaik untuk mengalirkan tenaga yang banyak di kalangan anak autisme itu ialah melalui aktiviti seni. Kita boleh pelbagaikan aktiviti seni setiap hari atau minggu bagi menarik perhatian mereka.

Berikan mereka ruang itu dan tidak mengapa sehingga mereka bosan. Biar tenaga mereka disalurkan ke arah pembentukkan kreativiti dan imaginasi mereka. Jangan tidak tahu, anak autisme ini adalah sangat bijak dan lebih bijak dibandingkan dengan anak normal yang lain apabila mereka sembuh nanti.

Terapi ayat Al-Quran

Selain kita boleh membaca doa ringkas seperti audzhu billahi minas syaitan nirrajim apabila kita berdepan dengan situasi anak autisme yang tantrum, Surah Taha antara surah yang terbaik untuk melembutkan hati si manja autisme kita.

Amalkan bacaan surah itu dari ayat 1 hingga 5 dan bisikkannya ke telinga sambil diusap ubun-ubun kelapa mereka semasa tidur. Boleh juga dibacakan surah itu hingga habis dan diberikan mereka minum atau dibuat susu. Sedangkan Sayyidina Umar Al-Khattab yang digeruni dengan wajah yang garang tersentuh hatinya tatkala mendengar alunan surah ini dibacakan. Inikan pula anak kita yang dikasihi.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali mati. Dan bagi saya selain bantuan ubat-ubatan dan bantuan pakar dan guru yang mahir dalam menangani anak autisme ini, perkara yang paling penting ialah keyakinan kita. Adakah kita betul-betul yakin dengan apa yang kita lakukan itu mampu menyembuhkan anak autisme kita.

sayyidina umar

Ada juga yang berputus asa di tengah atau awal jalan sekalipun. Mana mungkin kita mampu menyelesaikan sesuatu perkara atau mencari penawar yang terbaik dalam sekelip mata. Kehidupan bukan begitu. Ianya sebuah perjalanan yang setiap satu jika kita lakukan tanpa putus asa, pasti ada hasil di kemudian hari.

Buat semua ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme di Malaysia ini, saya kagum dengan kesabaran anda semua. Ada juga berkorban daripada jauh semata-mata untuk anak autisme yang tersayang. Semoga semua anak-anak autisme sekalian menghadiahkan pahala yang tak terhitung buat semua di akhirat kelak.

Akhir kata, jika kita fikir masalah yang kita hadapi ini sukar, fikirlah mereka yang lain yang lebih sukar masalahnya untuk dihadapi.

Salam sayang,
Teacher Ayu dari Excel Qhalif

No comments:

Post a Comment