Sunday, September 14, 2014

Kepentingan Pengurusan Tingkahlaku


KEPENTINGAN PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN PERKAITANNYA DENGAN TEORI-TEORI TINGKAH LAKU

Pengurusan tingkah laku merupakan satu aspek penting yang harus diketahui dan difahami oleh setiap pendidik. Aspek ini penting kerana ramai guru menghadapi masalah untuk menangani masalah tingkah laku murid-murid bermasalah pembelajaran. Apabila keadaan ini berlaku, guru tidak dapat menyampaikan pengajaran dengan sempurna dan seterusnya boleh mengganggu perasaan dan emosi guru yang akhirnya menyebabkan guru merasa begitu tertekan.

Pengurusan tingkah laku juga merupakan aspek penting yang perlu dijalankan kerana ia dapat menjamin suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan afektif. Persekitaran yang kondusif dan afektif ini akan menjamin pembelajaran yang lebih selesa.

Tingkah laku bermasalah sekiranya tidak diuruskan dengan bijak akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk di masa hadapan. Apabila seseorang murid itu sudah biasa dengan tingkah laku bermasalah, situasi ini akan mengundang masalah dalam perhubungan sosial murid tersebut dengan keluarga, rakan-rakan, guru dan juga masyarakat amnya. Seorang guru perlu bijak merancang dan memilih kaedah yang paling sesuai untuk menguruskan sesuatu masalah tingkah laku yang timbul.

Mengikut pendekatan teori tingkahlaku yang dipolopori oleh Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik pengajaran akan gagal untuk menarik dan meransang minat murid-murid untuk mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Ini akan menimbulkan tingkah laku yang tidak diingini. Ini menunjukkan bahawa teori ini berkait rapat dengan perubahan tingkah laku murid.

Sekinner melalui Teori Pelaziman Operan Skinner (1953) telah menekankan tentang proses pembiasaan dalam membentuk tingkah laku dan mengemukakan beberapa rumusan tentang pembelajaran manusia. Menurut Skinner, pembelajaran berlaku melalui pelaziman dan peneguhan positif pula merupakan rangsangan yang penting dalam menambahkan kebarangkalian gerak balas pelajar. Oleh itu peneguhan positif perlu diberi dari semasa ke semasa untuk mengubah tingkah laku yang tidak diingini sekaligus menjayakan proses pengubahsuaian tingkah lau yang dijalankan. Manakala peneguhan negatif pula membawa kesan yang tidak menyeronokkan dan pelajar akan mengulangi tingkah laku operan yang diingini. Beliau berpendapat bahawa dalam proses pembelajaran, konsep diskriminasi adalah penting untuk mencapai kejayaan.

Melalui teori Skinner ini, pendekatan yang boleh digunakan dalam proses pengubahsuaian tingkah laku ialah dengan memberi ganjaran dan peneguhan kepada murid. Dengan ganjaran dan peneguhan yang bersesuaian, diharapkan dapat menghapuskan tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan. Pendekatan inilah yang telah saya guna pakai semasa saya menjalankan program pengurusan tingkah laku ke atas murid-murid pendidikan khas di sekolah saya.


Sumber - Pelbagai

No comments:

Post a Comment