Monday, September 22, 2014

Ilmu didik anak autisma

  • Ibu bapa yang memiliki anak autisme disaran mengikuti kelas bagi mendapatkan lebih ilmu.
RAMAI ibu bapa yang memiliki anak-anak autisme buntu mengenai bagaimana cara penjagaan anak ini. Hasilnya, ramai kanak-kanak autisme disisihkan dan tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya.

Mereka dilabel cacat, malah di sekolah guru lebih mengenali kanak-kanak ini sebagai murid bermasalah.


Secara ringkasnya autisme adalah sejenis penyakit yang melibatkan kecacatan neurologi iaitu satu kecacatan yang tidak kelihatan. Ia ditakrifkan sebagai kecacatan perkembangan yang melibatkan otak atau dalam bahasa saintifiknya Pervasive Developmental Disorder (gangguan perkembangan menyeluruh).

Secara amnya, kebanyakan pesakit autisme mengalami masalah dari segi komunikasi, emosi, karakter diri dan perhubungan sosial. Autisme jarang dikesan pada peringkat awal oleh ibu bapa. Anak-anak autisme hanya memperlihatkan tanda-tanda seawal 5 hingga 6 bulan dan ia dapat dikesan seawal 3 tahun.

Bermula di Facebook

Pengasas Persatuan Autisme Muslim Malaysia berkata, tidak dinafikan, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan program untuk autisme. Tetapi, lebih menumpukan kepada pembangunan pesakit tersebut. Mereka menyediakan pendidikan dan di akhirnya pesakit autisme mampu menguruskan diri sendiri.

"AM bertindak sebagai kumpulan sokongan. Berdasarkan pengalaman sendiri, apabila anak didiagnosis, ibu bapa tidak tahu apa hendak buat. Mereka tidak tahu ke mana harus dituju. Emosi mereka tidak stabil.

“Itulah yang terjadi pada kami dahulu. Sewaktu anak saya didiagnosis sebagai autisme, saya juga buntu dan hilang arah. Kami rujuk pada doktor dan disuruh melakukan terapi di hospital kerajaan. Tetapi, di hospital, kepakaran dan kemudahan agak terhad dan pesakit pula ramai. Ini menyebabkan pesakit hanya boleh melakukan terapi lebih kurang sekali sebulan sahaja," katanya yang menguruskan AM bersama isterinya, Nora Yusuf.

Menurutnya, pada peringkat permulaan AM mempunyai forum dan hubungan di laman sosial Facebook untuk bertukar pendapat dan tip. Sekitar hujung tahun 2011, AM mula memperoleh banyak respons daripada beberapa ibu bapa yang mengalami masalah sama.

Berikutan itu, akhir Julai 2012 tertubuhlah Persatuan Autisme Muslim Malaysia. Objektif utamanya adalah mendidik ibu bapa pesakit dengan harapan apabila mereka ada ilmu untuk jaga dan didik anak autisme, kebergantungan kepada terapi di hospital itu akan berkurang.

Bina sokongan

Biarpun baru berusia setahun jagung, AM banyak menganjurkan program-program berkaitan. Pendidikan kepada ibu bapa yang menjadi keutamaan AM terus rancak berjalan.

Beliau berkata, sekarang AM banyak melaksanakan program pendidikan keibubapaan dan maklumat berkenaan autisme di sekitar Lembah Klang.

"Di Malaysia, kesedaran agak kurang namun dari masa ke masa ia semakin berkembang. Cuma, ibu bapa kena sabar. Cabarannya memang banyak. Misalnya di sekolah, walaupun ada kelas pendidikan khas, tetapi mereka hendakkan kriteria yang rumit.
Hendak yang pandai mengurus diri dan sebagainya.

“Sedangkan anak saya, meskipun sudah dilatih, pada umur tujuh tahun dia masih pakai lampin pakai buang. Jadi, isteri sayalah yang bersetuju tunggu di sekolah dan bersedia untuk tukar lampinnya selama beberapa bulan," katanya lagi.

Beliau menasihati masyarakat agar tidak memandang negatif kepada pesakit ini. Anak-anak autisme punyai kelainan pada cara berfikir dan melakukan sesuatu. Justeru, sokongan dan kesedaran masyarakat amat penting untuk membantu pesakit autisme menjalani hidup.


Sumber  - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment