Wednesday, July 10, 2013

Permata tubuh Permata Kurnia untuk kanak-kanak autisme


PUTRAJAYA 4 April - — Program Permata memperkenalkan Program Permata Kurnia (Permata Autisme) iaitu program intervensi awal yang komprehensif untuk memenuhi keperluan kanak-kanak penghidap autisme dan keluarga mereka.

Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, untuk itu, sebuah Pusat Permata Kurnia bernilai RM28 juta akan didirikan di atas tanah seluas 1.04 hektar di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, yang dijangka siap Februari 2015.

''Kanak-kanak autisme tidak boleh menjadi kanak-kanak normal dan mereka juga tidak boleh diubati tetapi mereka boleh diuruskan. Di samping itu terdapat sebilangan mereka mempunyai keupayaan kognitif yang tinggi di mana mereka mempunyai kebolehan luar biasa yang tidak dapat dikembangkan disebabkan kecelaruan sosial dan komunikasi mereka.

''Oleh itu adalah penting kanak-kanak autisme diberikan intervensi awal, bertujuan mengajar mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan bergaul sejak awal," katanya pada prapelancaran program itu, di Seri Perdana di sini hari ini. 

Isteri perdana menteri itu berkata program berkenaan bakal mengurangkan beban keluarga yang mempunyai anak autisme kerana kos menghantar mereka ke pusat khas adalah tinggi iaitu antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan.

Beliau berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan itu akan menawarkan tiga jenis perkhidmatan termasuk Intervensi Sepenuh Masa untuk 100 hingga 150 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Perkhidmatan lain ialah Intervensi Sokongan dan Keluarga iaitu program berpakej untuk mereka berusia di bawah empat tahun dan ibu bapa atau penjaga mereka yang berminat untuk  mempelajari teknik intervensi yang boleh diaplikasikan di rumah, serta Program Latihan untuk menyediakan keperluan latihan kepada pendidik, ahli terapi, ibu bapa dan orang ramai dalam pelbagai aspek autisme, katanya.

Rosmah berkata, kira-kira 65 tenaga pengajar tempatan yang berkelayakan dalam bidang berkenaan akan ditempatkan di pusat itu dan mereka akan mengguna pakai modul yang digubal oleh pakar.

Katanya, pemilihan pelajar pula akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan Child Development Centre Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Jika projek perintis ini berjaya, Program Permata Kurnia akan akan diperluas ke negeri-negeri lain, katanya.

Autisme adalah sejenis kecacatan perkembangan fungsi otak yang menyebabkan kecelaruan dan akan menimbulkan masalah perhubungan sosial, berkomunikasi dan hidup seolah-olah  dalam dunia mereka sendiri, dan majoriti daripada mereka tidak mampu berdikari dan perlu bergantung kepada keluarga.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan pada 2004 mendapati kadar prevalens autisme adalah satu kes bagi 600 kelahiran, dengan anggaran terdapat 13,333 kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah menghidap autisme di negara ini pada masa itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment