Anak autisma ke IPT
Kisah pelajar yang dinyatakan dibawah telah mendapat liputan drp pihak akhbar. Artikel tersebut ada dalam laman blog ini. Berikut dinyatakan pengalaman keluarganya mendidik pelajar berkenaan sehingga dapat menjejak kaki ke IPT. Moga ianya akan menjadi dorongan untuk kita mendidik anak2 autisma sehingga mencapai ke tahap berkenaan. Insya-Allah.
Kisahnya seperti berikut:
Mempunyai anak istimewa sememangnya memberi tekanan yang hebat dari
segi fizikal, emosi dan mental kepada ibu bapa. Bagitu juga dengan saya
apabila anak ketiga saya seorang lelaki bernama Khairul Aiman Bin
Hashim yang disahkan menghidap penyakit Autisme, satu sindrom di mana
anak tidak boleh bertutur, tidak boleh berinteraksi dan tidak boleh
memberi tumpuan serta hidup seolah-olah dalam dunianya sendiri.
Sejak Aiman disahkan mempunyai masalah ketika berumur lewat 6 tahun,
saya mengambil tindakan proaktif dalam membantu kehidupannya. Dalam
menghadapi kejutan ini, perkara pertama yang perlu saya terima adalah
hakikat bahawa saya dikurniakan seorang anak istimewa kerana tidak semua
orang dikurniakan anak istimewa oleh Allah S.W.T..
Memberi kasih
sayang yang tidak berbelah bagi di antara Aiman,abang dan kakaknya serta
tumpuan yang lebih menjadi pegangan dan amalan utama saya. Memandangkan
anak-anak istimewa kategori Autisme mempunyai masalah pertuturan, saya
telah menghantar Aiman menjalani terapi pertuturan menggunakan kaedah
berkomputer ‘Doctor Speech’ sekali seminggu selama setahun di Pusat
Perubatan KPJ Selangor ( dulu Selangor Medical Center ). Dalam sesi
tersebut saya juga diajar cara-cara untuk membantu Aiman membuat latihan
pertuturan di rumah. Alhamdulillah selepas setahun Aiman dapat bertutur
dengan lancar seperti kanak-kanak lain.
Oleh kerana Aiman telah
disahkan mengidap Autisme, dia melanjutkan pelajarannya di Kelas
Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 Shah Alam, Selangor
bersama murid-murid lain yang senasib dengannya. Berkat kesabaran dan
komitmen guru-guru pendidikan khas mengajar murid-murid istimewa ini,
Aiman dapat mencapai dan melepasi sukatan tahap tinggi Pendidikan Khas.
Selepas empat tahun di Kelas Pendidikan Khas, Aiman diberi peluang
untuk memasuki aliran perdana di dalam Program Inklusif iaitu satu
program dimana murid-murid Pendidikan Khas dibenarkan belajar bersama
murid-murid normal. Walaupun pada masa itu Aiman sudah berumur 11 tahun,
tetapi kerana pada tahun itu Kementerian Pelajaran Malaysia baru
memperkenalkan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di
tahun 4, jadi pihak sekolah telah meletakkan Aiman dalam kelas tahun 4
supaya dia boleh bermula dari asas.
Selain sokongan yang diberikan
kepada Aiman, faktor pemakanan memainkan peranan penting dalam
pencapaian akedemiknya. Tidak dinafikan saya ada memberi Aiman produk
pemakanan kesihatan yang dikenal pasti dapat membantu proses
pembelajarannya.
Kecemerlangan akademik Aiman bermula apabila
dia berjaya mendapat 5A di Peringkat Kebangsaan UPSR 2005. Paling
membanggakan sekali, Aiman merupakan pelajar istimewa kategori Austisme
pertama Malaysia yang berjaya lulus UPSR dengan cemerlang.
Kecemerlangan ini berterusan apabila Aiman terpilih dalam Program Rintis
Penempatan Pelajar Istimewa di Sekolah Berasrama Penuh ( SBP )
Kementerian Pelajaran Malaysia dimana dia ditawarkan belajar di Sekolah
Menengah Sains Selangor di Cheras, Kuala Lumpur dalam Tingkatan 1. Aiman
membuktikan kemampuannya belajar bersama dengan rakan-rakannya yang
normal dengan mendapat 9A dalam PMR 2008 sekaligus melakar sejarah
menjadi pelajar Autisme pertama yang belajar di Sekolah Berasrama Penuh
dan lulus dengan cemerlang dalam PMR. Selain kejayaan akedemik, Aiman
juga aktif dalam bidang sukan. Dia mewakili sekolah, daerah dan negeri
dalam acara lontar peluru, baling cakera dan lontar lembing. Dia juga
mewakili sukan Rugbi di peringkat zon, negeri dan kebangsaan. Seterusnya
Aiman telah dinobatkan sebagai Olahragawan sekolahnya pada tahun 2009.
Aiman menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2010 sebagai calon istimewa
dan dia ditempatkan di dalam bilik peperiksaan yang berasingan dari
kawan-kawannya dan diawasi oleh dua orang guru pengawas peperiksaan.
Keputusan SPM Aiman yang mendapat 1A+ ( Sejarah ), 3A ( BM,
Pend.Islam, Matematik ), 2B ( Add. Maths, Biology ) 3C+ ( B.I, Physics,
Chemistry ) sangat membanggakan bagi seorang pelajar yang berdaftar
sebagai Pelajar Bermasalah kategori Autisme.
Pencapaian tersebut
membolehkan Aiman melanjutkan pengajiannya ke menara gading. Aiman
ditawarkan ke UiTM P.Pinang dalam Diploma Kesihatan Persekitaran pada
tahun 2011 dan sekarang Aiman berada di semester 4 pengajiannya.
Aiman mencapai CGPA 2.98 dalam peperiksaan akhir Semester 1. Kesibukan
nya sebagai Komandan Unit Kesastria sedikit sebanyak menjejaskan
prestasi akedemiknya yang menurun ke CGPA 2.37 dalam peperiksaan akhir
Semester 2. Sebagai seorang bapa saya mula merasa bimbang dan
menasihatinya supaya mengurangkan keterlibatannya dalam aktiviti serta
mula mencari produk supplemen yang dapat membantu peningkatan otak,
memori dan prestasi akademiknya.
Sumber: Hashim Samsudin
No comments:
Post a Comment