Remaja autisma MEMBUNUH
Keganasan Yang Tidak Diduga
Sebetulnya, sewaktu hebohnya kes seorang remaja yang bertindak menembak
lebih kurang 26 orang di Connecticut, US tidaklah mengejutkan aku
sekiranya insiden itu tidak dilakukan oleh seorang yang dikatakan
memiliki Aspergers Syndrome. Berita yang terpampang di dada akhbar pada
Ahad lepas dah tentu menimbulkan rasa resah di hati ibubapa anak anak
sebegini..., tak terkecuali aku sendiri.Walaupun anakku tidak tergolong
dalam remaja yang memiliki ciri ciri 'high functioning' ini , tetapi di
hati tetap risau.., sebab ianya tetap di bawah satu tajuk ....iaitu
'Autisme'.
Berbagai spekulasi telah keluar setelah kes ini
berlaku.., masing masing menuding jari.., walau apa pun berlaku, pokok
pangkalnya, perkara yang berlaku ini eloklah dijadikan pengajaran supaya
tidak berlaku di tempat kita, Bersyukurlah, kita yang tinggal di bumi
Malaysia ini. Pembelian senjata api dikawal di negara kita dan perlu ada
lesen sekalipun untuk memburu di hutan, Perlu membuat permohonan
terlebih dahulu.
Hari ini aku mengambil cuti kerana ada
temujanji dengan Dr. Yusni di Hospital Sultanah Bahiyah di sini. Hakimi,
sengaja aku tidak bawa sekali kerana faham faham sajalah kalau kita
sedang berbincang dengan doktor.., ada saja benda yang dia nak
menyampuk. Bukannya selalu aku tak bawa, baru hari ini. Kebetulan pula,
ada kes serius juga yang Hakimi telah lakukan bulan lepas....hampir
synonym dengan insiden seperti di atas. Tidaklah sampai kes menembak
ataupun pukul orang. Entah apa yang terlintas di fikirannya, dengan tiba
tiba dia meluru ke kereta ayahku yang terletak di porch, hidupkan enjin
dan tekan minyak sehingga berkepul kepul asap keluar dari ekzos. Masa
tu, bapaku sedang bersolat zohor di surau, Kereta meluru laju ke
belakang, keluar dari rumah, kebetulan pagar terbuka, dengan lajunya
menghentam pagar jiran yang rumahnya bertentangan dengan kami. Masih
tidak ada sesiapa yang datang keluar tengok. Enjin mati.., kemudian
dihidupkan pula enjin dan sekali lagi tekan minyak, pandai pula dia
masukkan gear, dan mengaumlah bunyi enjin kereta dan sekali lagi kereta
menghentam dinding rumah. Hmm.., nasiblah dinding rumah sendiri. Masa
tu, barulah ada jiran yang keluar dan yang selesai solat dah turun dari
surau, Hakimi dengan selambanya, terus keluar dari kereta dan masuk ke
rumah dan terus tidur. Bila ditanya apa yang telah dia lakukan sebelum
tidur, dia seolah tidak tahu apa apa. Sehingga ke hari ini, bila ditanya
dia tidak tahu apa apa.
Itu baru satu kejadian, Ada lagi
beberapa perkara yang dilakukan juga di luar kawalan diri. Boleh
dikatakan semuanya agak ngeri. Setelah diceritakan kisah di atas pada
doktor, aku dimaklumkan yang anakku ini mengalami kes yang berkait
dengan epileptic episode, Epilipsinya tidak berlaku seperti yang biasa
berlaku tetapi terjadi dalam bentuk tingkah laku. Untuk mengenali
epilepsi jenis ini senang saja, lepas apa yang dilakukannya, macam kisah
di atas, dia terus tidur dengan nyenyak, Dan bila ditanya selepas
bangun, dia tidak tahu apa apa, Kes ini kemudian akan dirujuk kepada
Pakar Pediatrik pada temujanji seterusnya, MRI akan dilakukan sekali
lagi dan kemungkinan pengambilan ubat ubatan akan ditukar atau pinda
sukatan dsb,
Bila mengenang kembali insiden yang berlaku ini,
syukurlah tidak ada kemalangan jiwa. Cuma, ayahku kehilangan kereta
Proton Wira kesayangannya yang telah berjasa padanya, Kes ini pula
berlaku ketika aku di pejabat. Terperanjat betul aku bila dikhabarkan
oleh anak sulungku, Syauqi . Tak apalah benda dah berlaku. Jadikan
tauladan sajalah kisah di atas,
Kalau nak dihukumkan kisah di
atas kerana kecuaian ibubapa, aku rasa benda begini boleh berlaku kepada
sesiapa saja, Tak kira samada autistik, budak normal pun berpotensi
untuk melakukan keganasan di atas sebab 'ingin mencuba'. Apa apa pun
kita berbalik kepada Allah, Kita ada doa dan boleh merujuk ke mana mana
surah dan jadikan ianya amalan. Semoga kita semua dilindungiNya.
Sumber: Tidak dikenalpasti
No comments:
Post a Comment