pix_gal0
Bantu tingkatkan emosi, tenaga
Ibarat dua gajah sedang bertarung, sang kancil di tengah-tengah boleh mati tersepit. Begitulah dengan nasib kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan dipastikan keselamatannya terjamin, tetapi dibawa ke tempat yang boleh membahayakan mereka.

Setiap kanak-kanak sebaik-baiknya janganlah diheret ke kancah ‘pertelingkahan’, ‘perjuangan’ antara orang dewasa. Memang kasihan apabila melihat serendah usia lima tahun diheret ke hulu ke hilir, tidur keletihan untuk menyertai aktiviti orang yang dewasa sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa-apa.
Memanglah bagi sesetengah ibu bapa dan penjaga, mereka akan berkata, itu anak mereka, ikut sukalah untuk berbuat apa saja pun.
Cuma bayangkan, bagaimana keadaan dan nasib budak-budak ini apabila sesuatu tidak diingini berlaku? Bagaimana kalau dalam keadaan kelam kabut, mungkin mereka terlepas dan hilang daripada jagaan ibu bapa, terjatuh, terpijak, terhantuk, dihimpit oleh orang dewasa atau dilanggar kenderaan?