Soalan:
Assalamualaikum Tuan Haji. Saya Liyana Abdul Halim dan adik
bongsu saya yang sudah dewasa dan berumur 20 tahun mempunyai penyakit Autisma.
Ibubapa kami sudah tua dan uzur, dan sekarang saya pula yang bertanggungjawab
untuk menjaga adik saya. Dia masih lagi susah untuk bercakap dan berperangai
kebudak-budakan, selalu bersendirian dan tidak boleh mengurus diri sendiri.
Adakah rawatan Al-Quran boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit adik saya
ini? Terima kasih.
Jawapan:
Dewasa ini, semakin ramai ibubapa di Malaysia yang mempunyai
anak-anak yang telah disahkan mempunyai masalah autisma. Malah, hampir setiap
hari pasti ada ibubapa yang membawa anak mereka yang mempunyai masalah autisma
tersebut ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi tujuan mendapatkan rawatan
Perubatan Al-Quran. Menurut Persatuan Kebangsaan Autisma Malaysia (NASOM),
setiap seorang daripada 150 orang kanak-kanak yang dilahirkan pada masa kini di
seluruh dunia memiliki autisma dan dianggarkan kira-kira 47,000 orang
kanak-kanak di Malaysia menghidap penyakit autisma.Ada di antara mereka yang
memiliki tanda-tanda masalah autisma yang kronik dan ada juga yang baru sahaja
di peringkat awal masalah autisma. Umur anak-anak tersebut turut berbeza-beza;
dari mereka yang berumur dari enam bulan sehinggalah kepada mereka yang sudah
berumur lewat dua puluhan. Kadang-kala, bukan sahaja pesakit autisma yang
mendapat rawatan daripada kami tetapi ibubapa & ahli keluarga mereka turut
mendapat rawatan oleh sebab tekanan yang kuat daripada penjagaan pesakit autisma
tersebut.
Maka, sifat sabar daripada ibubapa dan ahli keluarga amat
dituntut dalam memberi penjagaan yang terbaik buat pesakit autisma. Ingatlah
bahawasanya Allah swt sentiasa bersama mereka yang bersabar. Seperti di dalam
firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan
sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.” - Surah
Al-Baqarah ayat 153
Pengenalan; Ciri-ciri Umum
Autisma merupakan satu bentuk kecacatan atau masalah kurang
upaya sistem perkembangan saraf otak & minda yang boleh berlaku sejak di
usia seawal enam bulan lagi dan merupakan satu sindrom ketidakupayaan yang
boleh kekal sepanjang hayat jika tidak mendapat sebarang rawatan. Penyakit
autisma mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang itu
terjejas & menyebabkan pesakit autisma menunjukkan tiga jenis
ketidakupayaan umum, iaitu:
Masalah tidak mampu bersosial. Ini merupakan simptom utama
penyakit autisma. Pesakit-pesakit autisma tidak memiliki keupayaan untuk
bersosial dengan orang sekeliling mereka secara normal dan mereka selalunya
tidak mempunyai mempunyai sifat empati terhadap orang lain. Mereka akan tidak
mengendahkan orang lain dan kelihatan seperti termenung jauh seorang diri. Malah,
ada pesakit autisma yang menunjukkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya
ditunjukkan di depan orang ramai seperti menjerit-jerit sekuat hati atau
membaling-baling barang ke arah orang sekeliling. Malah, pesakit autisma lebih
gemar untuk menyendiri dan bermain seorang diri walaupun dikelilingi oleh
rakan-rakan sebaya yang tengah seronok bermain bersama-sama.
Kesukaran untuk berkomunikasi secara berkesan dengan insan
lain. Mereka selalunya lambat untuk bercakap dan apabila mereka cuba juga untuk
berkomunikasi dengan orang lain, selalunya orang lain sukar untuk memahami apa
yang mereka cuba sampaikan. Mereka turut kadang-kala bercakap dalam nada yang
pelik seperti menyanyi sebagai contoh. Malah, ada di antara pesakit autisma
lebih gemar untuk menggunakan bahasa isyarat tangan untuk menyampaikan hasrat
di hati kepada ibubapa.
Masalah dalam tingkah laku dan pemikiran. Ada di antara
mereka yang gemar untuk melakukan satu-satu perkara berulang-ulang kali
(compulsive behaviour). Ada juga yang mempunyai minat yang pelik dan berlaku
agresif sekiranya ada sesiapa yang cuba menghalang minat tersebut. Sebagai
contoh, ada pesakit kami yang hobinya adalah untuk membawa ranting pokok ke
mana-mana sahaja yang dia pergi sehinggakan akan memarahi sesiapa sahaja yang
cuba untuk mengambil ranting tersebut dari tangan pesakit tersebut.
Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara
beransur-ansur dan terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang
rawatan) sehingga ke umur dewasa.
Punca-punca
Masalah autisma ini berlaku tanpa mengira kira faktor
bangsa, latar belakang pendidikan, kedudukan status sosial ekonomi dan gaya
hidup. Sehingga ke hari ini, dunia perubatan moden masih lagi belum dapat
mengesan secara pasti akan punca sebenar penyakit autisma. Namun, mengikut perubatan
moden, pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat
anak-anak autisma. Selain dari itu, sangat penting buat semua ibubapa yang
mempunyai anak autisma untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca
dari asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak-anak masih bayi.
Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah
merawat anak-anak autisma, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan
makhluk halus terutamanya gangguan saka yang menyebabkan masalah autisma.
Gangguan saka ini selalunya diwarisi melalui keturunan daripada keluarga yang
terdahulu di mana makhluk-makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit
yang menyebabkan berlakunya autisma. Adalah sukar untuk perubatan moden untuk
membuktikan wujudnya pengaruh makhluk halus ini dalam anak-anak autisma ini
tetapi sudah ramai pesakit-pesakit autisma yang menunjukkan perubahan yang
positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh badan mereka.
Tanda-tanda Awal Autisma
Antara tanda-tanda awal masalah autisma yang boleh berlaku
adalah seperti;
Anak-anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang
boleh difahami sehingga umur 16 bulan
Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi
dengan kanak-kanak lain
Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang
objek
Gagal untuk memberi respon apabila nama dipanggil
Suka menyendiri
Suka menyusun objek mengikut susunan yang tersendiri
Tanda-tanda di atas hanyalah sebahagian daripada tanda-tanda
awal masalah autisma & sebarang diagnosis akhir untuk autisma haruslah
dirujuk kepada pakar perubatan kanak-kanak.
Rawatan Moden
Rawatan untuk penyakit autisma pada masa kini melibatkan
banyak aspek terutamanya dari segi pendidikan khas dari usia awal. Objektif
utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan
kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk mampu berdikari dalam hampir
semua aspek kehidupan. Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat
autisma. Rawatan selalunya memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah
mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisma. Contoh rawatan-rawatan yang
selalu digunapakai adalah seperti senaman fisioterapi, terapi kognitif dan
sikap (cognitive-behavioural therapy), terapi pertuturan dan kaunseling
keluarga.
Ahli keluarga terutamanya ibubapa selalunya diberi
kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak-anak autisma mereka.
Selain itu, guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut
memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak autism amendapat
pendidikan mengikut cara yang sesuai dengan keperluan masalah autisma
kanak-kanak tersebut.
Rawatan Penyakit Autisma Dengan Menggunakan Ayat-ayat
Al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, keluarga pesakit autisma
akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai
dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut
adalah:
Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
Surah Yaasin ayat 43 hingga 58
Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55
Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, keluarga
pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali
pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali pada waktu
siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat
minggu. Selepas membaca tiga kali, keluarga pesakit perlu memohon doa kepada
Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga
pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang
berikutnya.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit dan keluarga datang
untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat
kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus seperti gangguan
saka dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat Al-Quran yang lain yang boleh
merawat gangguan tersebut.
Penutup
Kepada semua ibubapa di luar sana yang mempunyai anak-anak
autisma, janganlah berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat
anak masing-masing. Janganlah menganggap anak autisma itu tidak dapat lagi
ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti
akan datang bagi mereka yang mencarinya.
Dalam pengalaman kami merawat anak-anak yang berpenyakit
autism, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif
dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan keupayaan untuk berdikari sendiri.
Ada daripada pesakit kami yang mula mendapat rawatan daripada umur seawal enam
bulan sehinggalah umur mereka 6 hingga 7 tahun. Baru-baru ini, ada daripada
anak-anak autisma yang menyertai pakej rombongan umrah Al-Hidayah. Anak-anak
ini walaupun berumur 6 hingga 7 tahun, mereka boleh menyesuaikan diri apabila
menaiki kapal terbang, suasana asing di Tanah Suci dan boleh dibawa untuk
melakukan ibadah tawaf dan sa’i bersama-sama ibubapa mereka. Ini membuktikan
anak-anak ini walaupun mempunyai kecacatan minda, dengan keizinan Allah, mereka
boleh dididik seperti anak-anak biasa.
Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang
berlaku itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah swt. Kita haruslah redha akan
ketentuan Illahi. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah autisma
anak-anak kita itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa
mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa-apa yang
berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Dan ujian atau dugaan
daripada Allah merupakan tanda kasih sayang-Nya untuk menguji keimanan kita.
Malah, jika kita bersabar dengan dugaan tersebut, ganjaran pasti akan menunggu.
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya
bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum,
maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha
dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa
yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.” (Riwayat al-Tirmidzi)
InshaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha
Penyayang, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu anak-anak yang
mempunyai masalah autisma ini.
Sekian.
Sumber - Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah
Sumber - Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah
No comments:
Post a Comment