Thursday, October 2, 2014

Keperluan Terapi dalam PdP Murid Berkeperluan Khas

Kanak-kanak berkeperluan khas merupakan kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kekuatan dan kelemahan yang ada bersama mereka. Sebagai pendidik, guru-guru seharusnya memikirkan bahawa mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai strategi dan seterusnya kreatif dalam pengajaran bagi membantu kanak-kanak ini melalui pembelajaran mereka serta menjalani kehidupan secara optimum.

Pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak ini perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang bersesuaian berserta penggunaan sumber dengan mengambil kira kemahiran yang ada dan perlu mereka capai (Yasmin, 2000;Khatijah & Yasmin 2006). Ini bertujuan mendidik dan membantu kanak-kanak ini melalui perkembangan mental, kestabilan emosi, integrasi sosial dan kemahiran motor mereka.

Kanak-kanak berkeperluan khas yang datang ke sekolah kadang-kadang mempunyai masalah tingkah laku, masalah pengamatan, masalah motor, sosialisasi dan masalah emosi. Bagi membantu kanak-kanak ini mencapai potensi yang maksimum sesuai dengan keupayaan mereka, antara yang boleh dijalankan oleh guru-guru ialah terapi.

Keperluan Terapi

Terapi merupakan kaedah untuk membantu seseorang pelajar untuk bergerak balas terhadap aktiviti atau kemahiran.

“Rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghadapi sebarang penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan bertujuan menyebabkankefungsian badan secara normal”
(Kamus Perubatan Mosley, 2001)

Dalam konteks Pendidikan Khas, terapi merupakan kaedah bagi membantu individu yang mempunyai pelbagai keperluan khas yang melibatkan kognitif, emosi, sosial dan psikomotor mencapai perkembangan secara maksimum dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Antara kepentingan terapi ialah bagi meningkatkan daya pengamatan murid-murid, meransang murid untuk bergerak balas secara positif terhadap sesuatu kemahiran serta meningkatkan perkembangan fungsi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor mereka. Di samping itu, melalui terapi juga guru-guru dapat melatih murid-murid menguasai kemahiran tertentu yang bersesuaian danberkaitan dengan kehidupan seharian serta mewujudkan suasanapembelajaran yang kondusif lagi menyeronokkan. ( G. Eliana, 2008, S. Pengilly, 2008; Z. Ibrahim, 2009).

Terapi-terapi yang boleh dilaksanakan ialah:

i) terapi fisio
ii) terapi kuda
iii) terapi cara kerja
iv) terapi pertuturan
v) terapi muzik dan pergerakan kreatif
vi) terapi seni
vii) terapi air/hidro
viii) terapi pasir
ix) terapi main
x) terapi alternative

Contoh

Seorang kanak-kanak sindrom down yang mempunyai masalah  pergerakanserta mempunyai masalah pertuturan dan pengamatan.

Aktiviti terapi:

Terapi motor kasar – berjalan, berlari, gallop dan lompat di garisan lurus, di garisan bengkok dan menggunakan alatan seperti bangku.

Terapi pengamatan (visual, auditori dan tactile) – melihat gambar bertindih, mencari benda tersembunyi dalam gambar, membeza bunyi-bunyian dan menyentuh/merasa jenis permukaan

Terapi motor halus – memegang pensel dan menconteng atas kertas

Terapi kuda – menunggang kuda serta membetul postur badan dan perkembangan emosi.

Terapi pasir – meramas pasir, menconteng atas pasir, bermain dengan pasir untuk kemahiran motor halus.

Terapi air – bermain dengan bola dalam air bagi pengukuhan pergerakan dan perkembangan otot.


Pada kesimpulannya, guru-guru perlu didedahkan kepada aktiviti terapi bagi memantapkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran murid-murid berkeperluan khas. Aktiviti-aktiviti terapi boleh dijalankan di sekolah atau di luar premis sekolah secara kumpulan atau individu bagi meningkatkan keupayaan kognitif, efektif, psikomotor dan sosial kanak-kanak berkeperluan khas.

Sumber - DR. HAJJAH YASMIN BINTI HUSSAIN

Dr Yasmin - Pensyarah Pak Yoep di IPPM Melaka 2008

No comments:

Post a Comment