Wednesday, November 12, 2014

Datuk Lee Chong Wei - Gagal ujian doping,


“JIWA CHONG WEI MEMANG BERKECAMUK” 
(Oleh Ahmad Khawari Isa, Ketua Staf Nadi Arena)

JAM 2.15 petang tadi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan dalam sidang akhbar khas bahawa ujian sampel B untuk jaguh badminton negara yang terkait dalam isu gagal ujian doping, juga didapati positif.
Kepada yang mengikuti laporan Nadi Arena secara dekat mengenai isu ini, kami pada edisi jam 7.30 malam Jumaat, telahpun mengumumkan bahawa atlit berkenaan ialah ikon sukan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Keputusan menamakan beliau dibuat setelah Chong Wei akhirnya bersetuju untuk ditemubual sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah penerbangan pulang dari London.
Kesediaan untuk ditemubual itu tidak hadir mudah.
Dua hari di Oslo, Norway, menyaksikan saya dan jurukamera, Nizam Baharuddin, meluangkan banyak masa berbual dengan Chong Wei dan isterinya, Datin Wong Mew Choo. Turut sama di sana ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz dan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.
Chong Wei sendiri mengakui, dia harus berkata sesuatu. Beliau tahu statusnya sebagai jaguh sukan negara; tahu betapa sekurang-kurangnya beliau harus memaklumkan perasaannya dan berkongsi ceritanya bersama-sama peminat dan penyokong-penyokongnya.
Tetapi pada masa sama, Chong Wei bimbang kenyataannya nanti disalah erti atau diputar belitkan. Jadi kesempatan yang ada kami manfaatkan untuk meyakinkan Chong Wei bahawa kami di Astro Arena dan Nadi Arena, akan memastikan mesejnya terus sampai kepada semua warga Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakan bang?” tanya Chong Wei kepada saya setelah akhirnya bersetuju untuk berkongsi reaksinya.
Saya faham betapa berkecamuknya jiwa Chong Wei ketika itu. Saya juga faham bahawa beliau ketika ini mengalami detik paling sukar yang pernah dihadapinya. Kerana itu, tindakan paling tepat ialah bersikap positif dan optimis terhadap masa depannya.
Memang ketika itu, Chong Wei sendiri belum tahu keputusan ujian sampel B. Tetapi paling penting, Chong Wei tahu betapa sokongan daripada segala segi dan sudut sudah dan akan terus diberikan kepadanya.
Kerana itu, beliau kemudiannya tidak teragak-agak untuk meluahkan kepada saya dan jurukamera Nizam untuk dapat dikongsi dengan seluruh warga Malaysia.
Kami telah siarkan temubual eksklusif itu pada edisi Nadi Arena Sabtu dan kami juga akan terus mengupas serta memperhalusi isu ini secara teliti sehinggalah segala proses rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dilengkapkan.
Kerana itulah yang nyata dimahukan oleh Chong Wei, dah sudah tentu juga diharapkan penyokongnya dan peminat badminton negara secara keseluruhannya.

Sumber - Astro Arena FB

No comments:

Post a Comment