DUNIA dikejutkan dengan penggulingan Presiden
Mesir, Mohammed Mursi, awal semalam oleh tentera negara itu. Pengumuman
tentang peristiwa itu dibuat oleh Panglima Tentera dan Menteri
Pertahanan Mesir sendiri, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi melalui
televisyen.
Rampasan kuasa itu berlaku setahun selepas Mursi dipilih sebagai
Presiden Mesir setelah kejatuhan Presiden Hosni Mubarak dalam
kebangkitan rakyat pada 2011.
Imam dari Palestin, SHEIKH WALID SALIM sempat ditemu bual bagi
mengupas tentang kejatuhan Mursi itu dan masalah yang melanda dunia Arab
hari ini.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, ZIININE ABDESSELAM bersama
SHEIKH WALID SALIM ketika beliau melawat pejabat Utusan Malaysia Kudi
ala Lumpur, semalam
.
UTUSAN:
Apa reaksi tuan berhubung rampasan kuasa tentera di Mesir?
SHEIKAH WALID: Saya berasa sedih dan terkejut atas apa yang berlaku
di Mesir kerana ia memperlihatkan sebuah lagi negara Islam bergolak dan
runtuh.
Rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku di negara itu kerana Mursi
merupakan seorang pemimpin yang bagus dan saya percaya beliau mampu
membawa Mesir maju ke hadapan.
Mesir mampu menjadi sebuah negara Islam yang boleh dicontohi di bawah
Mursi, namun rakyat Mesir menolak Islam dan apa yang berlaku ini amat
merugikan.
Mengapa rakyat Mesir menolak kepimpinan Mohammed Mursi?
Rakyat Mesir menolak kepemimpinan Mursi kerana mereka menganggap
demokrasi Islam yang dibawa oleh beliau hanya memberi kelebihan buatnya,
dan bukan untuk rakyat.
Situasi itu diburukkan lagi dengan pengaruh propaganda negatif oleh
negara-negara Barat, media Barat yang sememangnya tidak mahu melihat
Islam menguasai negara-negara Islam dan demokrasi subur di bumi Islam.
Barat takut kepada Islam dan demokrasi di negara Islam mampu memimpin dunia pada masa akan datang.
Apakah krisis di Mesir mempunyai pertalian dengan konflik di dunia Arab sekarang?
Pada pandangan saya, konflik di dunia Arab sedikit sebanyak
mempengaruhi rakyat Mesir untuk menuntut revolusi yang lebih luas yang
disangkakan mampu memajukan negara dan memberi mereka hak yang diingini.
Rakyat Mesir sebenarnya keliru tentang tujuan perjuangan sebenar
mereka dan perkara itu jika tidak dibendung yang boleh meruntuhkan
negara dan akhirnya bakal membawa kesengsaraan kepada rakyat.
Apakah pandangan tuan tentang masa depan Mesir?
Mesir perlu meneliti setiap aspek yang ada untuk membentuk semula
negara itu kerana seperti yang saya katakan tadi, Mesir mampu menjadi
negara contoh kepada negara-negara Islam yang lain.
Mesir mampu bangun semula jika rakyatnya bersatu-padu mengukuhkan pentadbiran, ekonomi dan sosial.
Mereka perlu membuka minda tentang masa depan yang terjamin
berbanding terlampau terikut-ikut untuk menuntut revolusi seperti negara
Arab yang lain.
Adakah Mursi gagal menggalas tanggungjawabnya sebagai Presiden Mesir?
Pada pandangan saya, Mursi tidak gagal dalam perjuangannya kerana
beliau berani memperkenalkan konsep demokrasi Islam untuk kepentingan
rakyatnya, tetapi majoriti rakyat Mesir menolak Mursi semata-mata kerana
mereka menolak Islam.
Percaya atau tidak, negara-negara Barat sebenarnya ‘seronok’ apabila
pentadbiran Mursi digulingkan kerana mereka tidak mahu melihat Mesir
membangun sebagai sebuah negara Islam demokrasi.
Hal ini kerana, demokrasi Islam mampu memimpin dunia pada masa akan datang dan Barat tidak mahu perkara itu berlaku.
Jika Mursi diberi sekali lagi peluang untuk mentadbir Mesir, adakah beliau akan berjaya?
Ya, sudah tentu beliau akan berjaya kerana kejatuhan Mursi hari ini
bukan disebabkan beliau seorang pemimpin yang teruk, namun disebabkan
beliau tidak diberi peluang yang sepatutnya untuk berkhidmat kepada
rakyat Mesir.
Rakyat Mesir semakin banyak dipengaruhi agenda negatif Barat yang sememangnya ingin melihat dunia Islam hancur satu demi satu.