Monday, May 31, 2010

Jaga sistem pertahanan



MANUSIA dan keperluan pemakanan berbeza antara satu sama lain, begitu juga keperluan berlainan daripada segi usia.


CERGAS...pemakanan yang baik sememangnya kritikal untuk sistem pertahanan tubuh yang sihat.
Justeru, sangat mencabar untuk mengetengahkan rumusan khusus yang mengandungi semua bekalan pemakanan sesuai dan dapat memenuhi keperluan sesetengah kumpulan manusia.

Namun, menurut Saintis Utama Jabatan Sains Makanan dan Teknologi, Universiti California, Amerika Syarikat, Profesor Bruce German, perkembangan sains pemakanan membolehkan penghasilan rumusan yang dapat memenuhi keperluan pelbagai peringkat umur kanak-kanak.


Ia direka secara komprehensif dan berupaya menyokong tiga komponen penting untuk perkembangan yang menyeluruh iaitu melindungi kesihatan kanak-kanak, mengaktifkan perkembangan otak dan membantu tumbesaran fizikal mereka.


Beliau menegaskan, pemakanan yang baik sememangnya kritikal untuk sistem pertahanan tubuh yang sihat.


“Ia perlu mencukupi kerana kekurangan hanya satu zat tunggal boleh melemahkan sistem ini, meningkatkan risiko jangkitan, penyakit tenat dan autoimun,” katanya.


Menurutnya, bakteria yang didapati dalam usus terdiri daripada bakteria berfaedah (baik) dan bakteria berbahaya.


Bakteria berfaedah yang dipanggil probiotik membantu melindungi badan daripada bakteria yang berbahaya di samping meningkatkan penyerapan zat makanan dalam saluran penghadaman. Probiotik tertentu juga meningkatkan sistem pertahanan tubuh secara langsung.


“Memelihara keseimbangan antara bakteria berfaedah dan bakteria yang berbahaya dalam usus membantu menjaga kesihatan sistem pertahanan.


“Justeru, cukup penting untuk memastikan pengambilan makanan harian yang mengandungi probiotik dan prebiotik, serabut diet yang menjadi makanan bagi bakteria berfaedah,” katanya.


Katanya, prebiotik buat pertama kali mendapat tumpuan apabila saintis Universiti California, dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Nestlé membuat penemuan yang mengagumkan.


“Kami mendapati komponen ketiga yang paling banyak dalam susu manusia ialah gula kompleks (oligosakarida). Kami hairan terhadap kehadirannya kerana bayi tidak mampu mencernakan bahan terbabit.


“Akhirnya, kami sedar ia sebenarnya makanan untuk bakteria berfaedah dalam usus bayi,” katanya.


Gabungan antara prebiotik dan probiotik yang aktif secara semula jadi ini dibuktikan secara saintifik mengurangkan risiko penjajahan patogen (mikroorganisma berbahaya) dan mengukuhkan sistem pertahanan semula jadi.


“Menerusi pemerhatian ini, kami berjaya menggabungkan prebiotik dan probiotik dalam susu supaya kanak-kanak dan bakteria berfaedah mereka dapat berkembang dengan baik,” katanya yang juga Penasihat Saintifik Kanan di Pusat Penyelidikan NestlĂ© di Switzerland.

Pemakanan sememangnya mempengaruhi simpanan tenaga otak serta kecekapannya memproses maklumat dan bertindak balas terhadap rangsangan. Ia juga mempengaruhi bahan kimia otak serta perubahan dalam fungsi otak untuk jangka pendek dan struktur membran otak untuk jangka panjang.


Namun, penemuan baru-baru ini menunjukkan keperluan pemakanan otak kanak-kanak dan orang dewasa mungkin berbeza. Sesungguhnya, pemakanan yang baik penting untuk perkembangan otak kanak-kanak.


Menurutnya, otak bergantung kepada makanan untuk bekalan tenaga dan nutrien ‘perlu’ (termasuk vitamin, asid amino dan asid lemak) yang tidak berupaya dihasilkan olehnya. Unsur pemakanan ini diperlukan untuk menghasilkan sebatian bagi fungsi otak seperti menumpukan perhatian, berfikir, memproses maklumat, mengingati fakta, menyelesaikan masalah dan menyatakan apa diketahui.


“Semua makanan penting untuk otak namun susu ibu paling baik disebabkan lipid (lemak) yang terkandung di dalamnya. Lipid komponen utama otak. Sebagai contoh, otak penuh dengan asid lemak omega-3, seperti asid dokosahexanoik (DHA).


“Kami mengiktirafnya sebagai nutrien penting kerana ia terkandung dalam otak dan susu ibu. Justeru, mudah difahami mengapa DHA didapati dalam makanan kanak-kanak. Asid arakidonik (ARA), asid sialik (SA) dan Sphingomyelin (SPH), juga komponen penting bagi otak,” katanya.


Menurutnya, kesan pemakanan terhadap pembentukan awal otak kanak-kanak cenderung memberi kesan kekal.


“Saya meminta ibu bapa supaya menyokong perkembangan otak anak mereka dengan pemakanan komprehensif dan mengaktifkan pembelajaran mereka dengan pengalaman dan rangsangan bersesuaian.


“Susu komponen diet berkhasiat kanak-kanak setiap hari untuk membantu memastikan pengambilan tenaga, protein, lemak, vitamin dan mineral yang mencukupi. Ini penting kerana anak muda mempunyai risiko kekurangan nutrien yang disebabkan oleh pemakanan biasa dan kecenderungan pemakanan aneh,” katanya.

2010/05/31
Kosmo

No comments:

Post a Comment