Saturday, September 12, 2015

Tabah besarkan anak autisme


DIKURNIAKAN wajah tampan dengan kulit putih mulus pasti menjadi tarikan ramai gadis. Tambahan pula, dia kini sudah meniti usia 17 tahun dan sedang bersiap-sedia untuk menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada November depan.
Bagaimanapun, anak muda bernama Umar Hasfizal yang mempunyai cita-cita dan impian besar untuk menjadi penghibur itu dilahirkan sebagai anak istimewa apabila disahkan menghidap autisme sejak berusia dua tahun.
Biarpun sedang meniti usia dewasa, perwatakan dan keletahnya masih seperti kanak-kanak. Namun, jiwa dan impiannya sangat besar iaitu selari dengan usia yang bakal meninggalkan alam persekolahan itu.
“Saya suka menyanyi dan mahu menjadi penyanyi,” katanya ringkas sambil menguntum senyuman manis ke arah bapa, Hasfizal Mukhtar, 40.
Meskipun dilahirkan serba kekurangan, bakat dan anugerah yang dikirimkan sang Pencipta kepada Umar tidak boleh dinafikan apabila dia dikurniakan suara merdu sehingga pernah memenangi sebuah pertandingan nyanyian khusus bagi anak-anak istimewa sekitar tahun 2006.
Hafazan al-Quran
Sehingga hari ini, suaranya masih sama dan nyanyian merdu membuai perasaan orang ramai terutama ketika mengalunkan lagu-lagu nasyid daripada kumpulan kegemarannya, In-Team dan penyanyi antarabangsa, Maher Zain.
“Di rumah, saya memang suka menyanyi dan mendengar muzik bersama ayah yang menjadi teman ketika menyanyi.
“Saya juga suka menonton drama dan filem. Banyak masa saya dihabiskan dengan menyanyi dan menonton televisyen apabila berada di rumah,” ujarnya.
Menurut anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, dia memang aktif dalam kegiatan seni di sekolah malah sentiasa memasuki pertandingan nasyid. Terbaru, dia akan menyertai pertandingan di Kelantan pada pertengahan bulan ini.
Selain dikurniakan bakat nyanyian, Umar juga memiliki kelebihan dalam tilawah dan hafazan al-Quran sehingga pernah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam sebuah pertandingan tilawah baru-baru ini.
Umar kini sudah mampu menghafaz surah Yasin. Pada masa sama, dia boleh bertutur sikit dalam bahasa Arab hasil minat dalam bidang agama, mendengar lagu-lagu nasyid dan mengaji.
Menyentuh aspek pelajaran, Umar mengakui, urusan di sekolah sama seperti pelajar-pelajar lain. Pencapaian akademik berada pada tahap sederhana tetapi dia tidak pernah melatah atau berputus asa.
Pencapaian pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu juga baik apabila lulus kesemua lapan subjek dan kini, dia membuat persediaan untuk berjuang dalam sembilan mata pelajaran asas yang ditawarkan pada SPM.
“Saya sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan tetapi perasaan takut tetap ada.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk kepuasan diri dan keluarga,” jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul, Kuala Lumpur itu.

Akuinya, dia meminati subjek Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Untuk itu, dia mengharapkan keputusan baik sebagai hadiah kepada kedua ibu bapa yang begitu tabah membesarkannya.

Ternyata, bakat dan anugerah suara yang dikurniakan kepada anak muda itu menjadi penawar buat keluarga biarpun menyedari kekurangan yang dimiliki Umar.
Sementara itu, Hasfizal yang bekerja sebagai pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta memberitahu, cabaran untuk membesarkan anak yang mempunyai masalah autisme sangat besar sehingga perlu melakukan banyak pengorbanan.
Katanya, tahun 2000 menjadi tempoh yang mencabar buat mereka sekeluarga kerana baharu memulakan kehidupan berumah tangga dan mempunyai anak sulung iaitu Umar.
“Selepas mengetahui Umar mempunyai masalah autisme, isteri mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan dan memantau perkembangan cahaya mata kami.
“Detik itu cukup mencabar kerana saya bekerja seorang. Pada masa sama, saya perlu memberi tumpuan kepada anak untuk mendapatkan nasihat atau pandangan mengenai kaedah berkesan dalam menangani sebarang situasi,” katanya yang tetap bersyukur dengan kehadiran permata sulung itu.
Anak-anak autisme memang berbeza dalam banyak aspek seperti tingkah laku dan paling ketara ialah daya tumpuan. Sehubungan itu, mereka sekeluarga memang tidak boleh mengabaikan dan memantau Umar setiap masa.
Untuk itu, Hasfizal dan isteri, Marina Arif, 40, berusaha keras memastikan Umar tidak ketinggalan dalam banyak perkara dengan menghantarnya menjalani program intervensi awal di Pusat Autisme Kebangsaan.
Luar biasa
Program itu merupakan bimbingan dan ajaran khusus buat anak-anak autisme. Pada masa sama, ia membantu ibu bapa mengambil tindakan tertentu atau lebih awal bagi mengatasi masalah ketidakupayaan.
“Alhamdulillah, program itu banyak membantu Umar untuk belajar dan menguruskan kehidupan dengan baik. Malah, hasilnya berkesan apabila dia sendiri berjaya masuk ke sekolah harian biasa.
“Daripada segi akademik memang agak perlahan tetapi kami sebagai ibu bapa tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Apa yang dihasilkan sudah cukup memuaskan hati,” jelasnya.
Menurutnya, Umar boleh membaca dan dapat belajar atau menerima arahan dengan baik selepas menjalani program itu. Selebihnya ialah ajaran di rumah hasil nasihat dan panduan yang diberikan guru-guru.
Sementara itu, Marina mengakui Umar seorang anak istimewa dan menganggap dia sebagai anugerah Allah.
Tidak dinafikan, pandangan masyarakat terhadap anak-anak autisme agak negatif tetapi naluri keibuan yang dimiliki menjadi pendorong untuk membesar cahaya hati itu dengan kesabaran serta ketabahan.
“Bagi saya, anak autisme ini bukan bebanan sebaliknya, tanggungjawab yang diamanahkan dan sebagai ujian kepada keluarga itu.
“Anak istimewa seperti ini bukan penghalang kepada saya untuk berputus asa tetapi menjadi pendorong bagaimana seseorang wanita itu mahu menjadi ibu terbaik kepada anak-anak,” katanya.
Biarpun terpaksa berkorban untuk berhenti kerja, Umar adalah keutamaan yang perlu dipantau, dijaga dan disayangi kerana memang anak istimewa memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa.
Jelasnya, sebagai ibu, anak adalah permata hati tidak kira ia sempurna atau kekurangan. Kasih sayang terbaik menjadi kunci untuk mewujudkan suasana harmoni dan keceriaan dalam sesebuah keluarga itu.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz3kwR5NUPy 
Hakcipta terpelihara 

1 comment:

  1. sebenarnya paling susah adalah pandangan masyarakat. benda tu paling memberi tekanan pada ibu bapa yang ada anak austisme.

    ReplyDelete