Tuesday, September 8, 2015

Detik istimewa kanak-kanak autisme


AUTISME merupakan satu gangguan perkembangan yang melibatkan kecelaruan neurologi pada otak individu.
Gangguan yang berlaku menyebabkan penghidap autisme mempunyai masalah dalam aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.
Jumlah individu yang mengalami autisme semakin meningkat setiap tahun. Kajian yang dilakukan pada tahun 2008 mendapati satu daripada 625 kanak-kanak di negara ini menderita autisme.
Pemahaman dan sokongan daripada ibu bapa serta komuniti sangat diperlukan dalam mendidik dan menjaga golongan istimewa tersebut mempelajari kemahiran-kemahiran asas supaya mereka boleh hidup berdikari pada masa hadapan.
Atas dasar tersebut, Pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan Khas (Autisme), Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Kurnia dan Standard Chartered Foundation telah mengadakan kelas kemahiran asas keibubapaan buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme sempena Hari Kesedaran Autisme yang diadakan di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Bertempat di Fakulti Pendidikan UKM, pelbagai aktiviti telah diadakan untuk menekankan kesedaran tentang autisme, isu-isu berkaitan dan strategi sokongan untuk pendidikan kanak-kanak autisme.
Bengkel strategi intervensi autisme seperti literasi, numerasi, menulis, sensori serta sokongan visual dan adaptif telah diadakan untuk mendidik kanak-kanak autisme selain pameran dan jualan buku berkaitan autisme.
Bagi kanak-kanak pula, aktiviti mewarna, kolaj, teka suai gambar dan bermain buih diadakan untuk memberi peluang kepada mereka bergembira tatkala ibu bapa sedang khusyuk mendengar bengkel yang disediakan oleh penceramah.
Kolaborasi
Menurut Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Dr. Lilia Halim, program tersebut memberi peluang kepada semua pihak untuk berkolaborasi dan mengambil bahagian dalam pendidikan kanak-kanak autisme termasuklah komuniti.
Katanya, penyertaan komuniti dalam sebarang program dan aktiviti yang dianjurkan menunjukkan kesedaran orang ramai terhadap keperluan kanak-kanak autisme yang sangat tinggi.
“Penglibatan orang ramai khususnya dalam bidang pendidikan telah memberikan peluang kepada anggota masyarakat untuk memenuhi tanggungjawab sosial mereka,” katanya.
Tegasnya, selain memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa dan keluarga berkaitan penjagaan kanak-kanak istimewa tersebut, pendidikan, sokongan serta penglibatan semua pihak dapat membantu anak-anak autisme meningkatkan perkembangan serta kemahiran mereka melalui peluang pendidikan yang disediakan.
Bercerita tentang Hari Kesedaran Autisme yang dianjurkan, Lilia berkata, penganjuran program tersebut dilaksanakan tepat pada masanya dan menunjukkan sokongan Fakulti Pendidikan dalam sambutan Bulan Autisme yang diadakan pada April setiap tahun.
“Diharapkan semua pihak mendapat manfaat daripada penganjuran program khususnya melalui aktiviti dan bengkel yang dijalankan sempena program ini,” ujarnya.
Pengarah Program, Jardian Tay pula memberitahu, program tersebut telah menggabungkan beberapa pihak untuk bekerjasama menjayakannya dalam membantu kanak-kanak autisme sebagai golongan sasaran.
“Keluarga yang mempunyai anak autisme, para pelajar universiti dan guru-guru pendidikan khas turut menjadi sasaran khususnya dalam memberikan pengetahuan dan penyediaan khidmat sokongan kepada kanak-kanak autisme.
“Bertemakan Menyokong, Mendidik, Membela dan Menyayangi, ia diharapkan dapat memberikan perkongsian yang bermanfaat buat masyarakat khususnya ibu bapa dalam mengendalikan anak-anak supaya dapat memperkembangkan potensi diri golongan istimewa ini,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz3kwOA5b1i 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment