Sunday, March 2, 2014

Silap didik anak

Setiap ibu bapa mendidik anak-anak dengan harapan mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, ibu bapa dan masyarakat. - Gambar hiasan

Ramai yang bertanya kepada saya soalan cepu emas ini; "Bagaimana jika selama hari ini saya tersilap cara mendidik anak, bolehkah saya berpatah balik dan memperbaiki keadaan itu?"

Jawapannya, ya dan tidak kenapa?

Bagi menjawab soalan ini, izinkan saya bercerita mengenai zaman silam semasa saya seorang ibu muda. Suatu hari saya terbaca sebuah artikel di mana penulis bercerita mengenai bagaimana jika kita sering memarahi anak-anak dan apa kesannya kepada anak-anak kita.
Mengikut penulis itu, dahulunya dia memang senang marah-marah kepada anak-anaknya. Suatu hari kerana tidak tahan dengan perangai diri sendiri yang suka marah-marah itu, dia telah meminta nasihat daripada seorang nenek tua.

Mengikutnya, nenek tua telah mengajarnya agar setiap kali dia marah berlebihan dan tanpa sebab munasabah kepada anak-anak,ambil sebatang paku dan menukulkanya pada sekeping papan, sehingga papan itu penuh.

Selepas penuh, dia berjumpa semula dengan nenek tua itu yang kemudian berkata, setiap kali dia memujuk kembali atau meminta maaf atau menahan marah pada anak-anak, maka dia disuruh mencabutlah kembali paku itu, sehinggalah habis paku-paku itu dicabut.

Dia berjumpa dengan nenek tua itu sekali lagi, membawa bersama papan yang sudah tiada paku. Gembira hatinya kerana itu bermaksud bahawa dia telah berjaya menjadi seorang yang tidak pemarah.



Nenek itu menyuruh dia melihat papan tadi dan apa yang telah terjadi kepada papan itu. Ternyata papan itu berlubang-lubang kesan dipaku. Nenek tua itu mengatakan kepadanya begitulah juga kesannya kepada anak-anak kecil yang dimarah, ia tetap memberikan kesan yang tidak kita hajati.

Apabila saya habis membaca cerita itu, saya lalu terkedu, kerana merasakan saya telah meninggalkan kesan yang tidak baik kepada anak-anak yang sangat saya kasihi.

Mereka adalah jantung hati saya. Namun adakalanya kerana tidak sabar saya memarahi mereka keterlaluan.

"Apa yang harus saya lakukan?" Saya bertanyakan soalan itu bertubi-tubi kepada diri sendiri.
Saya tahu, cerita itu membawa kiasan bahawa kemarahan yang keterlaluan dan tidak bertempat kepada anak-anak kecil terutamannya, membawa kesan yang buruk kepada diri mereka.

Imej diri dan keyakinan diri mereka akan tercalar, berlubang seperti papan tadi.

Lalu saya terfikir akan papan yang berlubang-lubang tadi. Apa yang boleh saya lakukan jika papan itu telah berlubang-lubang kesan paku yang telah dicabut?

Maka saya terfikir, mungkin saya boleh menutup lubang-lubang itu dengan melicinkan papan itu sehingga lubang itu hampir tertutup.

Selepas itu saya boleh memasukkan sesuatu ke dalam lubang itu agar permukaan papan itu tidak lagi berlubang. Akhirnya, saya boleh syelek papan itu sehingga ia cantik atau boleh dicatkan papan itu dan tutup lubang-lubang yang ada. Cat itu saya perlu lakukan berlapis-lapis.

Pemulihan yang saya lakukan kepada papan yang berlubang itu adalah ibarat ibarat kasih sayang yang saya curahkan tanpa henti.

Pertama, ialah untuk meminta maaf secara ikhlas kepada anak-anak akan keterlaluan cara saya menghukum mereka, seperti marah yang berlebihan dan sepertinya.

Kemudian, membentuk sikap bersabar yang kuat di hati dengan belajar mengenai skil keibubapaan termasuk skil berkomunikasi, skil memberi semangat dan banyak lagi.

Seterusnya, mendalami dan meluaskan lagi ilmu keibubapaan. Kita lakukan berkali-kali sehingga anak itu kelihatan sudah semakin yakin dengan dirinya.

Apabila kita melihat anak yang dahulunya degil atau nampak kurang keyakinan, menjadi lebih mendengar kata atau lebih berani mencuba, maka itu petanda hati mereka telah terubat.

Satu perkara yang hendak saya ingatkan juga di sini. Marah itu bukan semestinya tidak baik. Adakalanya kita mesti membetulkan anak-anak kita. Kita perlu marah.

Apa yang perlu kita tahu ialah bagaimana untuk marah dan dengan marah kita itu anak-anak kita itu menjadi lebih berkeyakinan diri dan berdaya tinggi. Ini yang akan kita bincangkan seterusnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140227/ke_04/Silap-didik-anak#ixzz2uoV04yPL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment: