Sunday, March 9, 2014

Bisness Online - Kena Daftar

daftar

KEBANYAKAN peniaga dalam talian, terutama melalui media sosial Facebook tidak tahu mereka perlu mendaftarkan perniagaan, tetapi ada juga yang sedar  mengenai peraturan tersebut namun tidak mengendahkannya.

Seorang peniaga atas talian yang enggan dikenali berkata, dia telah menjalankan perniagaan online sejak dua tahun melalui jualan di laman sosial Facebook tanpa mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, dia tidak pernah tahu pendaftaran diperlukan untuk perniagaan online khususnya yang menjual produk secara sambilan.

Sementara itu, seorang lagi penjual pakaian wanita berkata, dia hanya mendaftar sekali semasa mula-mula berniaga dan tidak mengemas kini  pendaftaran pada tahun seterusnyakerana menganggap bahawa pendaftaran itu hanya bertujuan untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk terus berurus niaga dengannya.

Lain pula dengan seorang lagi peniaga online yang tidak mendaftar kerana berpendapat dia hanya menjalankan peniagaan di Facebook dengan menjual produk-produk  kesihatan secara sambilan kepada rakan-rakan.

Katanya, hasil jualan juga tidaklah mengaut keuntungan yang banyak kerana hanya menjual produk kesihatan mengikut permintaan rakan-rakan dan keluarga yang dikenali.

Bagaimanapun, masih ada ramai peniaga online yang mematuhi peraturan ditetapkan SSM, contohnya pemilik kedai baju online Bigmomma Plus, Norshariza Moh Rozi.

Menurutnya, dia mendaftarkan perniagaannya untuk mengukuhkan jenamanya dalam jangka panjang.

“Ketika itu belum lagi kecoh mengenai perlunya untuk mendaftar di SSM. Saya yakin untuk terus kekal dalam perniagaan ini, saya perlu mendaftarkan kepada SSM untuk memudahkan kerajaan mengumpul maklumat serta memberikan keyakinan kepada pelanggan,” katanya yang telah menjalankan perniagaan online sejak tiga tahun lalu.

Manakala, Nadia Md Khalid yang menjalankan perniagaan inai menerusi Facebook juga berkata, adalah lebih baik bagi peniaga dan penjual untuk mendaftarkan perniagaan mereka untuk mengembangkan perniagaan secara sah.

“Selain senang berurusan, kerajaan juga dapat membantu golongan belia yang berdaftar dari segi pembiayaan dan dana,” katanya.

Sementara itu, pengasas Myra Bracelet, Nurliza Md Sanusi yang menjual produknya melalui laman sesawang berkata, pendaftaran di SSM akan memudahkan urusan seperti perbankan untuk membuat transaksi keluar masuk duit mahupun membayar cukai.


Sumber - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment