Monday, September 23, 2013

Berhenti PhD untuk berniaga


SYARIKAT milik Siti Hawa turut menjual cadar untuk kanak-kanak.


WANITA yang bernama Siti Hawa Ismail, 35, merupakan seorang yang peramah ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.

Siti Hawa sanggup bermula dari bawah untuk memajukan perniagaannya walaupun dia sebenarnya pemegang Sarjana Pengajian Aeroangkasa dari Universiti Angkasa Lepas Antarabangsa, Strasbourg, Perancis.

“Dari kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan kerana ayah saya, Ismail Muhammad, 68, dan ibu, Zaiton Jaafar, 58, dari Kampung Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Saya masih ingat lagi, ayah menjual ikan dengan menaiki beca bagi menampung keperluan kami sekeluarga. Malah, saya juga pernah membantu mereka menjalankan perniagaan setiap kali selepas pulang dari sekolah.

“Kami adik-beradik dibesarkan dengan menggunakan hasil jualan itu. Justeru, bidang perniagaan sudah sebati dengan jiwa saya,” ujarnya yang berkahwin dengan Ahmad Faisal Hisham, 41, pada tahun 2003.

Ada sahaja barang yang terdetik di dalam pemikiran wanita itu yang mahu dijualnya.

Dia yang merupakan pemilik syarikat Laurea Home Furnishing pernah ditawarkan untuk menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti tempatan.

“Sekembalinya saya ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di Perancis, saya ditawarkan menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Putra Malaysia tetapi ketika itu, minat untuk berniaga sudah membara di dalam diri.

“Saya menyambung pengajian ke peringat PhD dan pada masa yang sama, saya juga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kain pasang, kerongsang dan produk jualan langsung dari rumah.

“Alhamdulillah, keputusan yang paling baik yang dibuat saya adalah apabila saya nekad untuk berhenti melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Saya hanya sempat mengikuti pengajian selama satu tahun enam bulan bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perniagaan,” jelas wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang ini.

Pemenang anugerah

Menurutnya, dia dapat merasakan tidak akan memperoleh kejayaan sekiranya belajar dan menjalankan perniagaan secara serentak.

Siti Hawa berkata, keputusannya untuk berhenti belajar itu mendapat tentangan daripada keluarganya.

Namun, katanya, dia nekad memilih bidang perniagaan yang merupakan impiannya sejak kecil.
“Idea untuk menjual cadar itu diperoleh selepas saya terjumpa sebuah kios yang menjual barangan rumah. Bermula dari situlah, tercetusnya ilham untuk mengeluarkan produk sendiri.

“Saya memilih untuk menjual set cadar dan selimut bercorak Inggeris memandangkan ketika itu agak sukar untuk saya memperoleh set cadar tersebut di pasar raya.

“Saya mula membeli cadar secara borong dalam kuantiti yang sedikit bagi menguji pasaran produk itu. Ternyata sambutan yang saya terima amat menggalakkan,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.
Melihatkan set cadar itu mendapat permintaan yang tinggi, Siti Hawa memperoleh idea untuk menghasilkan set cadar menggunakan jenamanya sendiri.

“Pembelian secara borong ketika itu menggunakan duit simpanan. Saya kemudian mengeluarkan cadar sendiri.

“Konsep menjual secara borong amat menarik kerana dapat menjual cadar ini dengan kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat.

“Pelanggan juga dapat mengenali jenama Laurea dengan cepat.

“Semua proses pembuatan dilakukan di luar negara mengikut cita rasa dan kualiti yang saya dan suami mahukan,” tambahnya.

Menurutnya, set cadar moden rekaannya kini menjadi pilihan pelanggan.

Selain memasarkan set cadar dan selimut di laman web www.laureabedsheet.com, dia juga pernah menyertai pameran jualan di jabatan-jabatan kerajaan.

Siti Hawa memberitahu, nama Laurea diilhamkan oleh suaminya yang pernah menetap dan belajar di Perancis selama 10 tahun.

“Mengambil nama daripada perkataan Perancis iaitu Laureat yang membawa maksud pemenang anugerah yang kemudiannya diolah menjadi Laurea.

“Ada juga rakan-rakan yang mempersoalkan kenapa saya menjual cadar kerana tahap pendidikan yang saya miliki sudah membolehkan saya memegang jawatan yang lebih tinggi di dalam bidang tersebut,” ujarnya yang mengeluarkan lebih 50 jenis set cadar terbaharu pada setiap bulan.


SITI Hawa meletakkan sasaran untuk membuka 10 buah cawangan di seluruh Malaysia sebagai perancangannya pada masa depan.


Bekalan kapasiti besar

Siti Hawa berkata, dia mula membuka ruang pameran pertamanya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada tahun 2007.

“Kualiti kain, warna, kepadatan benang dan rekaan memainkan peranan yang penting dalam pemilihan cadar.

“Keunikan produk keluaran syarikat saya terletak pada kualitinya selain penggunaan 100 peratus kain kapas yang selesa, tidak cepat rosak dan warnanya juga tidak mudah luntur.

“Malah, harganya juga jauh lebih murah berbanding jenama dari syarikat lain. Semua rekaan set cadar itu merupakan eksklusif dan terkini selain rekaannya juga tidak sama dengan yang dijual di pasar raya dan pusat beli-belah,” katanya.

Siti Hawa berkata, pihaknya mengeluarkan set cadar yang mempunyai pelbagai corak.

“Kita mempunyai kapasiti yang besar dari segi bekalan dengan pelbagai pilihan corak dan rekaan terkini untuk dibekalkan kepada pengedar di seluruh negara.

“Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang berkat usaha saya dan suami.

“Kini, kita meletakkan sasaran untuk membuka 10 cawangan di seluruh Malaysia. Setakat kini, kita sudah mempunyai empat buah cawangan selain pembukaan sebuah cawangan lagi pada bulan Oktober ini di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

“Saya anggap persaingan sebagai salah satu cabaran untuk kita kekal bertahan di dalam industri ini,” ujarnya.

Justeru, Siti Hawa memberitahu, penyelidikan dan pembangunan perlu dilakukan supaya pelbagai bentuk cadar dapat dikeluarkan.

Pihaknya turut memasarkan set cadar Laurea dibawah jenama Roselle di 13 buah pasar besar Mydin di seluruh Malaysia bermula pada tahun 2009 sehingga kini.

Dia juga sedang dalam perancangan untuk membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi stokis Laurea di seluruh negara.

Menyentuh tentang para pekerjanya, Siti Hawa berkata: “Para kakitangan merupakan nadi kepada perniagaan dan saya melayan mereka ibarat keluarga. Malah, kebanyakan kakitangan yang diambil bekerja merupakan pasangan adik-beradik.

“Semua kakitangan kita dilatih mengenai produk keluaran syarikat bagi memudahkan mereka memberi maklumat dan cadangan kepada pelanggan.

“Saya dan suami amat terbuka ketika menerima pandangan selain bekerjasama dengan kakitangan bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan ini,” jelasnya yang mempunyai pengalaman di dalam bidang perniagaan selama lapan tahun.

No comments:

Post a Comment