 |
| Afif Zahiruddin diapit kedua ibu-bapanya, Haryanti Tasmiran danRohaizan Abdul Wahab |
Bill Gates sebagai Pengasas Microsoft Corporation, manakala Albert
Einstein, Isaac Newton yang pakar dalam teori fizik adalah antara tokoh
berjaya dalam bidang masing-masing, namun memiliki satu persamaan iaitu
pesakit autisme.
Apa itu autisme? Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia
(Nasom) mendefi nisikan autisme ialah satu kekurangan seumur hidup dan
menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan pertama seseorang bayi.
Komunikasi antara mereka terbantut dan tidak dapat berhubung dengan secara langsung.
Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku tetapi ada kelebihan intelek
yang luas. Kerap kali kanak-kanak istimewa ini menunjukkan kelebihan
dalam bidang matematik, mekanikal atau seni muzik. Namun begitu,
terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat hari ini bahawa golongan
pesakit autisme sukar berdikari berbanding insan normal.
Golongan itu dilihat serba kekurangan daripada segi mental, fi zikal
dan intelektual sehingga kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani
kehidupan normal ada kalanya turut dinafikan. Atas sebab berkenaan, Siti
Khadijah Md Zamin mengambil keputusan untuk menubuhkan pusat vokasional
iaitu Akademi Remaja Islam Autisma bagi memberi bimbingan dan latihan
kepada golongan yang menghidapi penyakit tersebut.
Menurutnya, Akademi Remaja Islam Autisma akan berperanan sebagai pusat sehenti khusus kepada golongan belia autisme.
“Pesakit autisme yang menginjak ke usia remaja perlu dilatih dengan
kemahiran kendiri dan vokasional supaya mereka dapat hidup berdikari.
“Akademi ini akan menjadi tempat mengasuh, memberikan pendidikan awal
dan latihan vokasional kepada mereka selain turut dilengkapi dengan
kemudahan lain,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Putrajaya,
baru-baru ini.
Beliau berkata, golongan yang menghidapi autisme berbeza dengan
individu yang mengalami sindrom lain seperti Sindrom Down, bisu, pekak
dan buta kerana mereka memerlukan pengajaran dan latihan yang lebih
berfokus.
“Ini adalah satu perkara yang memberangsangkan kerana mereka akan lebih
gembira berada bersama rakan dan guru yang sentiasa memberikan sokongan
kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, idea utama penubuhan Akademi Remaja Islam
Autisma disebabkan ketiadaan pusat vokasional yang berdekatan dengan
rumahnya bagi mengasuh anaknya yang kini berusia 20 tahun dan menghidap
autisme.
Kemahiran vokasional
Siti Khadijah berkata, objektif penubuhan akademi ini adalah untuk
membekalkan belia autisme dengan kemahiran kendiri seperti kemahiran
menguruskan diri, berinteraksi dengan persekitaran sekeliling dan
bersosial.
“Buat masa ini, kami mengajar di akademik peringkat asas seperti
membaca, menulis dan mengira. Kami juga mengajar konsep duit dan
membeli-belah,” katanya yang menyasarkan 20 belia di pusat ini.
Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk membekalkan belia autisme
dengan kemahiran vokasional seperti menjahit, kerja dobi, membuat roti
dan pastri, katering dan perkhidmatan seperti mengendalikan kaunter.
“Kami juga berhasrat untuk mengendalikan program center to workplace,
iaitu mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk belia autisme.
“Tujuannya ialah melatih mereka untuk menjalankan pekerjaan mereka di
tempat kerja dan melatih majikan dan rakan sekerja untuk menyediakan
sokongan kepada mereka,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga berharap akademi ini akan dapat
menghasilkan satu modul kemahiran kendiri dan vokasional yang efektif
untuk kegunaan negara.
“Bagi menjayakannya, kami mungkin akan menjalankan kerjasama dengan
tenaga akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjadi pusat
penyelidikan untuk program latihan belia autisme,” katanya.
Seterusnya, katanya, ia mampu menjadi projek perintis yang dapat
meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa, guru dan masyarakat khususnya
tentang keperluan latihan belia autisme.
Stabilkan perkhidmatan
Beliau berkata, buat masa ini, Akademi Remaja Islam Autisma hanya
mengambil golongan belia autisme lelaki yang berumur 15 hingga 20 tahun.
“Apabila umur sudah menginjak ke usia remaja, mereka sudah bernafsu.
Walaupun mental mereka kadang-kadang kurang matang, tetapi daripada segi tubuh badan ada yang sudah baligh.
“Jadi, bagi mengelakkan daripada terjadi sesuatu yang tidak baik, maka
kami tidak akan mencampurkan mereka sekali,” kata Siti Khadijah.
Menurutnya, buat masa ini, pihaknya akan membuat pengambilan pelajar
lelaki terlebih dahulu sebelum menstabilkan perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, katanya, Akademi Remaja Islam Autisma yang baru
ditubuhkan sejak dua bulan lalu kini beroperasi di premis sementara di
Ukay Perdana, Ampang.
“Sebagai sebuah akademi baru, kami amat mengalu-alukan sokongan dan sebarang bentuk kerjasama daripada orang ramai,” katanya.
Beliau menambah, bantuan dan sumbangan boleh diberikan sama ada dalam
bentuk tenaga kerja atau material. Dalam pada itu, beliau sempat
menasihatkan kepada ibu bapa agar tidak malu sekiranya mempunyai anak
autisme sebaliknya banyakkan membuat pembacaan mengenainya.
"Ibu bapa digalakkan menyertai sebarang persatuan atau kumpulan
sokongan supaya sebarang permasalahan boleh dikongsi bersama," katanya.
Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut, Akademi Remaja Islam Autisma
boleh dihubungi melalui e-mel arisma2012@gmail.com atau datang sendiri
di 23, Jalan UP3/5A, Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.
Sumber:
Sinar Harian
Norhidayyu Zainal
4 Julai 2012