TIADA siapa yang mampu menyelam duka di hati apabila anak dikasihi dianggap gila. Hati mana yang tidak pedih apabila jiran sendiri menganggap mereka sekeluarga tidak layak mendiami kawasan kejiranan itu gara-gara ketidakupayaan anak yang sering disalah anggap sebagai tidak siuman.
Lantaran keadaan itu, pasangan suami isteri ini juga sering dikatakan 'tidak pandai mengajar anak', hanya kerana anak mereka tidak mampu berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sebaya seperti remaja lain.
Tidak kurang kata-kata sinis saudara-mara terdekat yang menggelarkan anak mereka sebagai 'makhluk asing'.
Bagi pasangan Umi dan Hassan, segala pandangan serong masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar dialami anak bongsu mereka itu, tidak pernah merencatkan perancangan mereka untuk melihat masa depan anak yang lebih terjamin.
Keputusan SPM cemerlang
Lebih memberangsangkan, anaknya, Hafifi, yang menghidap sindrom Asperger, nyata tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapanya apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
"Tidak ramai yang memahami keadaan dirinya. Malah bagi Hafifi sendiri, asalnya dia dikenal pasti menghadapi masalah Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), tetapi pada usia 17 tahun, dia sendiri mencari punca masalahnya itu dan mengesyaki dirinya sebagai penghidap autisme jenis Asperger dengan membuat beberapa ujian dalam laman sosial untuk mengesahkannya.
"Baru-baru ini, selepas berjumpa pakar psikiatri, Hafifi disahkan menghidap Asperger dan dia dapat menerimanya dengan tenang," kata Umi ketika ditemui, baru-baru ini.
Penghidap sindrom Asperger dikategorikan sebagai penghidap autisme sederhana, yang mana antara ciri ketara penghidap sindrom ini adalah kemahiran sosial yang sangat rendah.
Sukar berkomunikasi
"Anak saya memang sukar berkomunikasi dan tidak berupaya bertembung mata apabila bercakap dengan orang lain. Hal ini menyebabkan dia digelar 'makhluk asing' oleh rakannya dan sesetengah kenalan rapat saya.
"Dia memang tidak pandai bergaul meskipun rajin bertegur sapa, malah keramahannya itu sering disalah anggap orang sekeliling yang tidak memahami keadaan dirinya," tambah Umi lagi.
Pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata ini melakukan pelbagai usaha, termasuk bertemu dengan pakar psikiatri untuk mengenal pasti masalah itu kerana bimbang ia akan menyukarkan anaknya mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang meskipun cemerlang dalam pembelajaran.
Terapi komunikasi
Hafifi gemar membaca bahan ilmiah dan menonton rancangan berbahasa Inggeris serta apa saja berkaitan dengan sains.
Beliau kini mengikuti program A-Level di Kolej Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Shah Alam bagi menyambung pelajaran ke United Kingdom.
"Tidak dinafikan beliau masih mengalami kesukaran untuk bersosial seperti remaja lain, namun dengan terapi komunikasi dan kemahiran sosial yang sedang diterimanya ketika ini, kami berharap dapat membantunya ketika di luar negara nanti," katanya.
'Bukan penyakit tetapi gangguan interaksi sosial'
Mereka bijak berkata-kata, tumbesaran sempurna dan kadangkala lebih cemerlang daripada individu normal yang lain, tetapi mereka ini tidak pandai bergaul dan gemar membuat kerja yang sama berulang kali.
Bukan itu saja, mereka juga mempunyai obsesi yang keterlaluan kepada sesuatu seperti suka mengumpul sejenis barangan dan pantang saja melihat barangan itu, mereka pasti akan mendapatkannya.
Bagi sesetengah orang, ia tidak menjadi masalah kerana pada pandangan mata kasar kelompok seperti ini sihat secara luaran, namun hakikatnya mereka mengalami gangguan neurobiologi dikenali sebagai sindrom Asperger.
Ada yang beranggapan, sindrom Asperger adalah satu penyakit yang berkaitan dengan masalah mental. Fakta sebenar, sindrom Asperger bukan penyakit sebaliknya gangguan dalam tumbesaran yang menjejaskan interaksi sosial.
Tertekan, murung
Dalam dunia yang kebanyakan penghuninya sihat dan normal, penghidap sindrom Asperger kerap kali tidak difahami hingga kadang-kala membuat mereka tertekan dan murung.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Abdul Jalil Hassan (gambar) berkata ada banyak kes kanak-kanak sindrom Asperger dianggap ganjil dan mengganggu tumpuan dalam kelas.
Beliau berkata, mereka diasingkan hingga menyebabkan mereka tertekan. Kegagalan guru dan rakan memahami mereka menambah lagi beban. Malah, beliau pernah berhadapan dengan remaja sindrom Asperger yang cuba membunuh diri.
"Selalunya kanak-kanak sindrom Aspeger hanya dikesan apabila masuk sekolah, pada usia antara tujuh tahun hingga sembilan tahun. Guru atau kawan melihat mereka sebagai pelik kerana suka bersendirian selain mengagumi sesuatu secara keterlaluan," katanya.
Dr Jalil berkata, sindrom Asperger cenderung dialami kanak-kanak lelaki dan ia termasuk satu daripada lima masalah dalam kumpulan gangguan tumbesaran dikenali sebagai pervasive developmental disorder (PDD), yang dicirikan dengan kelewatan pembangunan fungsi asas sosial dan komunikasi. Selain sindrom Asperger, masalah lain dalam PDD adalah autisme dan sindrom rett.
No comments:
Post a Comment