Sunday, July 20, 2014

7 Tanda Anak Anda Memerlukan Khidmat Sokongan Terapi Pertuturan dan Bahasa

1. ” Anak saya tak bercakap, anak saya susah nak faham percakapan orang lain dan tak boleh nak sambung perkataan untuk buat ayat”
  • Ini adalah tanda kepada masalah, gangguan atau kecelaruan bahasa (language disorder/impairment)
  • Masalah ini boleh memberikan kesan kepada kebolehan anak untuk mengingati semula percakapan orang lain (auditori memori), memahami maksud;  menamakan dan  mengenal perkataan. Secara tidak langsung, ia turut memberi kesan negatif kepada kebolehan anak untuk bercakap dan membina ayat.
  • Sesetengah budak pula boleh mengenali perkataan tersebut tetapi bila nak buat ayat, dia tidak boleh ‘recall’ atau mengingati perkataan tersebut, maka dia mungkin mempunyai masalah mencari perkataan yang sesuai (word finding difficulties).
2. “Saya dan orang lain susah nak faham apa yang anak saya cuba katakan”
  • Kanak-kanak akan mula menambah kebolehan menguasai bunyi-bunyi tertentu dari umur 2 hingga 6 tahun.
  • Kanak-kanak yang mempunyai percakapan atau pertuturan yang tidak jelas iaitu percakapan yang sukar difahami oleh ibubapa dan orang lain mungkin mempunyai masalah atau gangguan pertuturan (speech sounds disorder)
  • Kecelaruan dan gangguan pada pertuturan ( e.g. bunyi-bunyi yang digunakan untuk menyebut sesuatu perkataan) mungkin memberi kesan kepada kebolehan seseorang itu menyebut bunyi secara berasingan (articulation) atau menggunakan bunyi yang betul dalam sesuatu perkataan dan ayat (fonologi).
  • Sesetengah budak juga mungkin mempunyai masalah pendengaran bagi membezakan sesuatu bunyi kepada bunyi yang lain ( cth: bunyi /p/ vs. bunyi /b/) atau mempunyai masalah membuang atau mengasingkan suku kata dalam sesuatu perkataan
  • Terdapat juga yang memperolehi  ‘verbal dyspraxia’ iaitu masalah perancangan dan pengawalan otot oral mereka  yang mempengaruhi kebolehan mereka menyebut sesuatu bunyi atau perkataan dengan jelas dan betul ( cth: mereka tahu perlu menyebut bunyi /k/, /p/ dan /l/ dalam perkataan ‘kapal’ tetapi sebutannya salah dan tidak konsisten seperti [gapal] dan [paka])
  • Mereka juga mungkin mempunyai kelemahan otot di kawasan muka, lidah, bibir atau gerahang (dysarthia). Masalah ini juga berkait rapat dengan ‘cerebral palsy’, kondisi neurologikal dan ‘Traumatic brain Injury’.
3. “Kadang-kadang anak saya cuba nak bercakap tapi perkataan itu tersekat-sekat” 
  • Ini adalah signal bahawa anak anda mungkin menghadapi ‘developmental atau acquired stammering’ iaitu gagap.
  • Ayat yang cuba dibina tidak lancar, perkataan yang disebut tersekat, bunyi pertama dipanjangkan atau diulang, perkataan diulang-ulang  atau terdapat ‘pause’ atau nokhtah yang lama ketika hendak membina atau menyebut sesuatu ayat.
  • Masalah ini memberi kesan secara emosi dan psikologi kepada mereka sekiranya mereka dibuli atau digelakkan oleh rakan-rakan mereka.
4. “Bunyi suara anak saya pelik”
  • Anak anda boleh mengalami masalah suara sekiranya berlaku penyalahgunaan dan ketegangan vokal seperti menjerit dan menangis secara berlebihan. Perhatikan sekiranya terdapat perubahan pada suara anak anda iaitu suara mereka berubah menjadi lebih kasar, garau atau seperti berbisik.
  • Masalah vokal juga boleh berlaku sekiranya terdapat elemen-elemen trauma atau psikogenik yang menggangu emosi, keyakinan dan fikiran mereka (seperti trauma selepas kemalangan, kematian atau didera). Elemen psikogenik ini boleh menyebabkan ketegangan otot di sekitar peti suara yang menyebabkan kehilangan atau perubahan suara.
5. “Anak saya macam tak tahu nak berkawan dan bercakap dengan kanak-kanak lain” 
  • Ini adalah tanda bahawa anak anda mungkin mempunyai masalah untuk berkomunikasi secara sosial.
  • Berkomunikasi secara sosial melibatkan keinginan sesorang untuk berkongsi minat yang sama dengan menggunakan komunikasi 2 hala atau komunikasi tidak verbal seperti menunjuk, melihat, menggunakan ekspresi muka dan ‘body language’ yang menepati situasi sosial.
  • Beberapa kanak-kanak mungkin mempunyai masalah untuk mengguna dan mentafsir kue sosial yang disebutkan di atas, maka ia juga boleh memberi kesan kepada kebolehan mereka berkawan, berinteraksi dan bermain bersama rakan-rakan mereka.
  • Ciri-ciri ini kebiasaanya ada pada kanak-kanak autistik dan kanak-kanak yang memperolehi masalah kemahiran sosial dan pragmatik
6. “Anak saya selalu selsema dan kadang-kadang tak dengar bila saya bercakap dengannya”
  • Masalah pendengaran juga memberi kesan kepada pemerolehan bunyi dan bahasa
  • Kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah mempunyai risiko yang tinggi mengalami masalah pendengaran seperti ‘glue ear atau otitis media’. Kondisi ini boleh menyebabkan masalah pendengaran sementara dan boleh memberi kesan kepada perkembangan bunyi dan bahasa anak anda.
  • Kanak-kanak Sindrom Down, sumbing dan sindrom genetik yang lain turut berisiko memperolehi ‘otitis media’.
  • Ibu bapa perlu prihatin dalam memastikan anak anda mendapat pemeriksaan telinga sekiranya terdapat tanda-tanda masalah pendengaran.
7. “Anak saya dilahirkan sumbing”
  • Kondisi sumbing bibir atau sumbing lelangit (cleft lip and palate) kebiasaannya akan menerima rawatan pembedahan. Kondisi ini memberi kesan kepada intonasi dan pertuturan mereka yang juga boleh menyebabkan kelewatan bahasa.
  • Selepas pembedahan, rehabilitasi adalah perlu dalam memastikan pertuturan mereka jelas dan mudah difahami bagi mengelak masalah seperti sengau dan pelat.
Sekiranya anak anda mempunyai tanda-tanda di atas, seharusnya anda membawa anak anda berjumpa dengan pakar kanak-kanak serta ‘speech therapist’ berhampiran anda bagi mendapat penilaian awal. Penilaian awal boleh memberi kesan yang besar kepada kualiti hidup anak anda di masa hadapan.
Reference: RCSLT (2012) The 7 signs of speech, language and communication needs and swallowing difficulties: children and teenagers.

No comments:

Post a Comment