Thursday, March 10, 2011

Kanak-kanak Autistik Yang Dapat 5A UPSR

by KELAB ANAK AUTISME on Friday, March 11, 2011 at 5:41am

Pelajar istimewa pertama dapat 5A KUALA TERENGGANU: Penyakit autisme yang dihidapinya sejak berusia tiga tahun tidak sedikitpun menjadi halangan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran, di sini, Muhammad Danial Zainuddin, 13, untuk memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Malah, lebih menggembirakan ibu bapa kanak-kanak istimewa ini, selain Muhammad Danial yang menjadi murid istimewa pertama di negeri ini memperoleh kejayaan cemerlang dalam UPSR, adiknya, Nurul Diana, 12, yang juga belajar di sekolah sama turut meraih 5A dalam keputusan UPSR tahun ini.

Ibu dua murid cemerlang ini, Rozna Md Ikram, 43, berkata walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti kanak-kanak seusia lain, Muhammad Danial memang istimewa kerana mempunyai sikap suka bersaing dan sentiasa mahu mendahului orang lain, terutama adiknya khususnya dalam bidang pelajaran.

"Muhammad Danial disahkan menghidap autisme sejak berusia tiga tahun selepas membuat pemeriksaan di Jabatan Psikiatrik Kuala Terengganu dan hanya mula pandai bercakap sejak usianya tujuh tahun. Sejak disahkan menghidap penyakit itu, saya berhenti kerja untuk memberi sepenuh tumpuan kepadanya.

"Sebelum ini dia belajar di kelas khas di Sekolah Semangat Maju di Taiping, Perak. Tetapi sejak darjah tiga dia mula memasuki kelas di sekolah aliran perdana selepas perkembangannya semakin baik dan sesuai untuk bercampur dengan murid normal lain. Dia memang rajin belajar dan suka bersaing serta tidak suka melihat orang lebih daripadanya.

"Di rumah, dia jenis yang suka menyendiri dan suka membaca. Jika diberikan buku kepadanya sebelum tidur, dia tidak akan tidur selagi tidak habis membaca. Mungkin sikapnya yang sentiasa taksub terhadap sesuatu perkara membolehkan dia meraih kejayaan ini walaupun ada kekurangan dalam dirinya," katanya ketika ditemui selepas menemani dua anaknya mengambil keputusan UPSR di SK Padang Hiliran di sini, semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Padang Hiliran, Md Sidek Besar berkata, Muhammad Danial bukan saja menunjukkan prestasi akademik cemerlang sejak darjah empat dan menjadi antara pelajar terbaik di kelas, malah dilantik menjadi pengawas sekolah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

So kepada ibu bapa yang mempunyai kanak kanak autistik, janganlah tinggalkan mereka atau abaikan kehidupan mereka.. Kalau dididik dengan betul, insyaALLAH mereka juga akan berjaya. Yang penting kita harus berusaha untuk bersama sama dengan mereka membawa keluar dari alam permainan mereka ke alam hidup yang sebenar. wallahualam.

No comments:

Post a Comment