Friday, March 25, 2016

Mungkin Anak Anda Disleksia?

“Anak puan tidak boleh membaca”
“Anak puan tulis terbalik”
“Dia ada masalah ketika membuat ayat untuk karangan. Karangan nya tidak pernah lulus.”
“Perkembangan anak Encik tidak selari dengan umurnya. Dia lebih lemah dari kawan-kawan nya yang lain .”
“Dia tidak boleh memahami konsep asas dalam matematik”
“Anak puan tidak boleh faham arahan yang panjang.”

JANGAN PANIK!

Pernahkan ibu bapa menghadapi situasi mendapat aduan dari guru kelas anak-anak seperti diatas. Ramai ibu bapa menjadi panik apabila menerima aduan seperti ini daripada guru kelas anak-anak.
Lebih panik lagi apabila ibu bapa tidak tahu bagaimana mahu membantu anak-anak ini dan ada juga yang masih didalam ‘denial phase’ kerana anak-anak ini kelihatan normal seperti anak-anak lain.
Mereka hanya sedar dan tahu isu yang dihadapi oleh anak-anak setelah anak mereka memasuki alam persekolahan berikutan dari aduan guru yang mengajar mereka di sekolah.
Kebanyakan dari aduan yang diterima tentang mereka itu ialah dikalangan anak-anak yang dikategorikan sebagai :
1) Disleksia
2) Diskalkulia
3) Disgrafia
4) Dispraksia
Berbeza dengan Autism yang mana simptomnya dapat dilihat dari seawal 2 tahun, Disleksia, Diskalkulia, Disgrafia, Dispraksia hanya dapat dikenal pasti apabila mereka sudah memasuki alam persekolahan.
Ada juga ibu bapa yang tidak menyedari sehinggalah anak mereka ingin menduduki UPSR. Ini kerana mereka tidak menghadapi masalah dalam pertuturan mahupun komunikasi. Malah ramai dikalangan mereka yang sangat petah berkata-kata.
Anak-anak yang menghadapi isu ini biasanya dikategorikan sebagai pelajar ‘bermasalah’ dalam pembelajaran oleh guru-guru.
Namun hakikatnya, kita yang bermasalah kerana tidak memahami dan mengetahui pendekatan yang sesuai untuk mereka. Melalui pendekatan yang sesuai, mereka sebenarnya boleh belajar seperti anak-anak biasa.
Bagaimana mahu mengenal pasti mereka? Ibu bapa boleh mendapatkan kepastian dari doktor yang bertauliah untuk mengesahkan kategori mereka.
Namun secara generalnya kita boleh memahami mereka melalui karektor yang ditunjukkan.

DISLEKSIA.

Ketidakmampuan otak anak-anak untuk memahami maklumat berkaitan huruf. Dalam ertikata lain, otak mereka mengalami kesukaran mengenal pasti serta mengingati huruf. Mereka boleh bercakap, berkomunikasi dan mengingati pelbagai fakta dengan baik. Tetapi sangat sukar mengingati maklumat tentang huruf.
Disleksia terbahagi kepada beberapa kategori dan tahap juga. Paling ketara, apabila mereka sudah boleh mengenal huruf, mereka cenderung untuk menulis huruf tersebut secara terbalik. Mereka juga menghadapi kesukaran ketika belajar membaca.

DISKALKULIA.

Isu yang sama seperti disleksia, cuma bezanya otak mereka tidak dapat memahami maklumat berkaitan nombor. Ciri yang sama, mereka menghadapi kesukaran mengingati fakta berkaitan nombor dan apabila mereka sudah boleh mengenal nombor, mereka cenderung untuk menulis nombor tersebut secara terbalik. Mereka juga menghadapi kesukaran ketika belajar menyelesaikan soalan operasi dalam matematik.

DISGRAFIA.

Mereka yang di dalam kategori ini sudah boleh membaca namun mempunyai isu dalam penulisan. Ketika menulis, mereka sukar membezakan huruf besar dan kecil serta sering kelihatan celaru ketika menyalin ayat. Huruf kecil dan besar sering bercampur aduk ketika mereka menyalin. Mereka juga sering tertinggal huruf 1-2 ketika menyalin perkataan. Tiada jarak di antara perkataan yang di tulis sehingga kita sukar membacan tulisan mereka.

DISPRAKSIA.

Dispraksia berhubungan dengan kesukaran untuk mengatur gerak bahasa. Dispraksia kerap kali menunjukan masalah dengan susunan bahasa, baik secara lisan maupun penulisan. Susunan ayat mereka ketika berkomunikasi tidak matang dan tidak selari dengan usia mereka. Memori jangka pendek mereka yang kurang serta mereka sukar menjawab pertanyaan sederhana meskipun soalan mudah. Mereka juga sering keliru dan sukar memahami arahan.
Bagaimana mahu membantu mereka?
Faham. Bantu. Hargai.

FAHAM.

Cuba fahami perbezaan mereka dengan tidak membandingkan mereka dengan anak tipikal. Terutamanya dalam proses, cara serta sistem pembelajaran mereka. Mereka hanya berbeza dari cari penerimaan dan cara berfikir.

BANTU.

Bantu mereka dengan tidak memaksa mereka ikut cara kita. Sebaliknya bantu mereka dengan kita mencari metod dan pendekatan yang sesuai dengan mereka. Pendekatan yang sesuai dengan mereka antara faktor yang mempercepatkan usaha kita membantu mereka.

HARGAI.

Kebanyakan mereka mempunyai perasaan yang sangat sensitif dan akan menyimpan apa kata-kata negatif yang dilontarkan kepada mereka. Ini akan membuatkan mereka cenderung tiada keyakinan diri. Hargai mereka dengan melihat lebih banyak sisi kebaikan dan kelebihan mereka.
Percayalah, cara kita menerima mereka, menentukan setakat mana kita dapat membantu mereka. Perbezaan yang dimiliki mereka merupakan aset yang terpendam dan hanya akan menyerlah apabila kita merubah sudut pandang kita kepada mereka.
Dan kerana setiap anak itu adalah ujian, maka apakah perlu kita membiarkan amanah ini dibiarkan dengan label-label yang lebih mencederakan emosi mereka? Mereka adalah amanah, bukan beban. Untuk di cinta bukan di sisihkan.
Sumber - http://ohsemmama.com

No comments:

Post a Comment