Tuesday, June 10, 2014

Ibu bapa kurang peka

Sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk mendapat zuriat yang sempurna dan berkeupayaan mencapai kecemerlangan apabila mereka dewasa kelak. Tambahan pula dengan corak kehidupan masa kini yang banyak memberi penekanan terhadap pencapaian intelektual dan kemahiran yang tinggi bersesuaian dengan kehendak masyarakat menyebabkan ibu bapa bertungkus-lumus memberikan pendidikan yang sempurna buat anak-anak mereka.

Namun begitu, atas ketentuan takdir, tidak semua kanak-kanak dilahirkan normal. Terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kecacatan fizikal serta berhadapan dengan masalah pembelajaran.

Dalam hal ini, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak seharusnya berasa malu dan berperasaan rendah diri dengan keadaan anak-anak mereka sehingga perlu mengasingkan kanak-kanak itu untuk mengelak daripada diketahui oleh masyarakat.

Ibu bapa seharusnya perlu peka dengan perkembangan mental dan fizikal anak-anak berkenaan.

Menganggap bahawa perubahan positif akan berlaku apabila kanak-kanak ini meningkat remaja tanpa diperuntukan rawatan dan terapi yang khusus kepada golongan ini, adalah tanggapan salah sama sekali.

Jika begitu mudah caranya, tidaklah pula kerajaan dan pelbagai pihak menyediakan sukatan pendidikan khas di sekolah-sekolah terpilih dan pelbagai badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusaha menubuhkan pusat latihan untuk membantu anak-anak ini.

Bagi membantu perkembangan anak-anak ini, pendidikan khas adalah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan anak-anak istimewa sebagai seorang yang berkemahiran, berupaya untuk berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif.

Guru Besar Rumah Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Hulu Langat (PKKIHL), Anne Daniel berkata, kefahaman masyarakat di negara ini mengenai kepentingan pembelajaran anak-anak istimewa masih rendah.

“Perbuatan menyembunyikan anak-anak istimewa bukanlah keputusan yang betul, sebaliknya mungkin menyukarkan ibu bapa berkenaan yang terpaksa mengawal anak-anak mereka sepenuh masa sehingga menjejaskan keharmonian keluarga.

“Kanak-kanak ini harus diberi peluang mendapat pendidikan dan latihan yang sesuai agar kelak menjadi anggota masyarakat yang mampu berdikari seperti orang biasa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, tidak kira apa tanggapan masyarakat, ibu bapa harus yakin bahawa anak-anak ini masih boleh diasuh untuk berdikari.

“Perkembangan anak-anak ini mungkin bergerak perlahan namun tidak mustahil akan memberangsangkan jika ibu bapa mencari jalan dengan segera menghantar anak ke sekolah khas secepat mungkin," katanya yang hampir 19 tahun mengajar di PKKIHL.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment