Sunday, March 24, 2013

Taska anak2 Istimewa

Bilik sensori membantu meningkatkan kepekaan anak-anak autisme.

KONSEPNYA sama seperti taman asuhan kanak-kanak (Taska) cuma taska ini luar biasa kerana hanya menerima anak-anak istimewa.

Ibu bapa boleh meneruskan pekerjaan masing-masing dan menghantar anak ke Pusat Harian dan Rehabilitasi Ramah (Rumah Ramah) ketika mereka keluar mencari rezeki dan mengambil semula anak selepas mereka habis waktu bekerja.

Rumah Ramah diasaskan pada 20 Disember 2006 oleh Dr. Fathir Badri Alhadad. Nama ‘Ramah’ itu diambil bersempena nama Allahyarhamah ibunya, Ramah Alwi Alhadad.

“Rumah Ramah adalah sebuah pusat jagaan harian yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan latihan pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya fizikal dan mental.

“Rumah ini menekankan kepada proses pemulihan terhadap kanak-kanak istimewa yang berusia lingkungan satu hingga 14 tahun.

“Kedudukannya yang strategik, selamat dan jauh daripada kesesakan jalan raya menjadikan ia lokasi sesuai untuk insan istimewa ini," jelas beliau yang ditemui di Rumah Ramah bersempena sidang akhbar tayangan amal untuk mengumpul dana Rumah Ramah baru-baru ini.

Rumah Ramah terletak di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor itu mengambil pendekatan pengurusan berkonsepkan Islam.

Empat amalan yang diterapkan dalam perlaksanaannya bermula dengan pengurusan amanah, mesyuarah, adil dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Kami di Rumah Ramah melihat insan istimewa dan kecacatan mereka sebagai satu kesempurnaan kejadian daripada Yang Maha Pencipta.

“Kami bukan hanya ingin memulihkan kejadian itu semata-mata tetapi sebaliknya berhasrat untuk memberikan peningkatan nilai hidup kepada insan istimewa dan keluarga mereka.

“Sebab itu anak-anak yang dihantar ke Rumah Ramah akan berpeluang mendapat latihan pemulihan bersifat khusus untuk kesukaran yang dihadapi mereka.

“Pendekatan ini digunakan kerana setiap insan itu unik dan memerlukan kaedahn khusus dan sesuai untuk pembangunan diri mereka."

Dr. Fathir menambah, anak-anak yang dihantar ke Rumah Ramah terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit seperti Down sindrom, cerebral Palsy (CP), autisme, ADHD, dyslexia, hiperaktif termasuk kecacatan anggota lain.

“Ada juga anak di sini yang hanya terlantar kerana penyakit CP. Kami mempunyai pengasuh terlatih dan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang terapi pekerjaan di mana mereka tahu cara untuk mengendalikan pesakit seperti ini.

“Rumah Ramah juga mempunyai bilik sensor untuk tujuan terapi kanak-kanak yang mengalami masalah autisme dan hiper. Itu antara kemudahan tambahan yang kami ada di tingkat satu.

“Sebab itu Rumah Ramah perlu menjalankan penilaian awal kepada pelajar untuk menentukan jenis dan tahap program yang akan mereka lalui.

“Adakalanya ibu bapa perlu turut sama dalam program supaya kefahaman ibu bapa akan lebih jelas tentang masalah anak mereka.

“Maklum balas ibu bapa tentang sikap anak istimewa mereka penting agar Rumah Ramah dapat mengendalikan dan membangunkan kanak-kanak itu secara holistik," katanya.

Selain itu menurut Dr. Fathir, Rumah Ramah juga menyediakan perkhidmatan motivasi, psikologi, pemulihan cara kerja dan perkhidmatan latihan dan pembelajaran terapi berterusan.

Membebankan
Bayangkan kalau di taska biasa adakalanya ibu bapa perlu membayar hingga ribuan ringgit untuk seorang anak, namun di Rumah Ramah kos untuk seorang anak hanya RM420 tidak kira apa jua masalah yang dialami mereka.

Namun Rumah Ramah hanya boleh menempatkan 18 pelajar dalam satu masa.

“Kami mempunyai senarai menunggu yang panjang. kutipan yuran daripada ibu bapa yang menghantar anak ke Rumah Ramah ini hanya merangkumi 35 peratus daripada kos keseluruhan perbelanjaan pengurusan bulanan," kata Dr. Fathir.
 
““Kini telah hampir enam tahun rumah ini dibuka dan telah melatih 113 kanak-kanak istimewa untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan dan dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Lebih membanggakan kami apabila ada di antara mereka yang diterima masuk ke Sekolah Pendidikan Khas.
“Projek ini sebenarnya satu manifestasi pengurusan pembangunan berteraskan Islam. Ia sebagai salah satu cara insan membuktikan ketaatannya terhadap penyaksian kepada hamba Allah SWT," katanya mengakhiri bicara.

- NOOR FAZRINA KAMAL

No comments:

Post a Comment