Senario ini perlu diubah dan keluarga kanak-kanak mesti memerhatikan tingkah laku anak mereka jika ada sebarang perubahan. Ini kerana kanak-kanak ialah insan yang perlu dilindungi daripada segala bentuk kekerasan atau keganasan yang memudaratkan fizikal, mental dan emosinya.
Mengikut statistik pihak berkuasa yang dibentangkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datin Chew Mei Fun ketika merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Kanak-Kanak 2017, di Air Keroh, Melaka, April lalu, sebanyak 21,244 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak membabitkan kesalahan rogol, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh tahun sejak 2010.
Apa yang dimaksudkan gangguan seksual kanak-kanak ? Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Malaya (UM) dan pakar psikologi, Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, gangguan seksual kanak-kanak didefinisikan perlakuan individu iaitu pemangsa memaksa atau cuba mempengaruhi serta mengugut mangsa sama ada melakukan hubungan seksual atau gangguan seksual banyak cara termasuk memasukkan objek dalam mulut, tubuh, dubur dan kesakitan fizikal.
Dr. Mariani memberitahu, perbuatan mengusap-usap kadang-kadang mengelirukan kanak-kanak kerana mereka menganggap itu sentuhan sayang.
“Dalam kes ini, pelaku akan memujuk mangsa. Misalnya memaksa mangsa menanggal baju atau melakukan seks oral. Oleh itu, kanak-kanak perlukan bimbingan kerana perbuatan tersebut bukan perkara normal. Perlu diingat, perkara ini boleh menjadi serius hingga menyebabkan gangguan emosi mereka dan mengakibatkan kemurungan,” katanya.
Dr . Mariani menjelaskan, kanak-kanak sering menjadi mangsa gangguan seksual kerana pada peringkat umur ini, mereka mudah menerima keputusan orang dewasa seperti pemangsa. Berbeza dengan remaja, mereka ada persetujuan dengan orang yang di sekeliling mereka.
“Ugutan mengakibatkan kanak-kanak keliru walaupun perbuatan itu salah. Tanpa bertanya kenapa atau apa, mereka akan menurut kata pemangsa,” jelasnya.
Di sebalik kejadian ini, kanak-kanak akan meninggalkan ingatan atau kenangan dalam memori mereka apabila dewasa kelak.
Terdapat tiga peringkat umur kanak-kanak iaitu awal (empat tahun ke bawah), pertengahan (empat hingga tujuh tahun) dan lewat kanak-kanak (tujuh hingga 11 tahun).
“Bawah empat tahun, kanak-kanak biasa mengalami emosi dan perasaan tidak stabil. Selain itu, fizikal juga tidak sesuai untuk menjalinkan hubungan seks kerana fizikal masih lagi kecil. Penderaan seks juga akan mengakibatkan sakit seperti koyakan pada alat sulit. Peristiwa ini akan meninggalkan kesan perasaan seperti takut kepada kanak-kanak tersebut,” jelasnya.
Bahkan, perbuatan berulang mengakibatkan kanak-kanak menjadi trauma. Kes seperti ini akan membantutkan perhubungan sosial iaitu kanak-kanak yang ceria bertukar menjadi takut.
Hubungan dengan kanak-kanak sebaya turut terjejas termasuk pemikiran dan menjadikan perkembangan menjadi tidak normal kerana tidak sama dengan kanak-kanak lain yang tidak mengalami gangguan seperti mereka. Ini akan memberi kesan daripada segi perasaan dan emosi untuk jangka masa panjang dan pendek.
Antara langkah awal pencegahan, kanak-kanak setahun ke atas sama ada lelaki dan perempuan juga perlu dididik bahawa alat sulit tidak boleh dipegang oleh sesiapa kecuali ibu bapa. Maka, di sinilah kebijaksanaan ibu itu sendiri selain perlu dan prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka.
Justeru itu, ibu bapa jiran dan masyarakat perlu peka terhadap perkara di sekeliling mereka. Jika perkara ini terjadi dalam kalangan ahli keluarga, mereka perlu tahu saluran mana nak pergi dulu.
“Antara saluran yang boleh digunakan termasuk pertubuhan wanita, tele dera atau pusat krisis wanita untuk mengadu kes penderaan seksual. Selain itu, ibu bapa perlu bertenang dan jangan panik. Mangsa juga memerlukan sokongan keluarga,” katanya.