Monday, January 31, 2011

Naluri keibuan terhadap anak istimewa

Naluri keibuan Fadhilah Yakin
Oleh NUR AISHAH MOHD. AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my


TIADA sedikit pun rasa kesal dalam diri wanita yang mencecah umur awal 60-an itu apabila memilih untuk melakukan kerja-kerja amal sekali gus meninggalkan tugas sebagai Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia selama dua dekad.

Sebaliknya, Fadhilah Mohd. Yakin, yang memilih bersara awal sekitar 1993 adalah untuk mencari kepuasan sebenar dalam hidup di dunia dan akhirat.

Berjuang untuk anak-anak istimewa adalah satu kepuasan bagi ibu kepada tiga orang anak lelaki itu.

“Kita tidak tahu apakah hala tuju akhir hidup kita. Kalau kita gembira tapi ada insan lain yang tidak gembira itu juga tidak adil,” bicara Fadhilah ketika ditemui.

Fadhilah merupakan Presiden Pertubuhan Orang Yang Amat Cacat Akal Selangor & Wilayah Persekutuan yang diasaskan oleh Tan Sri Lim Kok Weng.

Sebelum dilantik menjadi presiden pertubuhan itu, Fadhilah pernah menjadi Timbalan Pengarah Pengurusan dan Presiden Fund Charity McDonald’s dari 1993 hingga 2002.


PERTUBUHAN Orang Yang Amat Cacat Akal Selangor & Wilayah Persekutuan memerlukan dana sekurang-kurangnya RM20 ribu sebulan.

Tugas Fadhilah di McDonald’s masih berkaitan dengan kanak-kanak istimewa. Dia bertugas mengumpul dana untuk tabung anak-anak kurang bernasib baik yang di pilih oleh McDonald’s.

“Saya datang ke pertubuhan ini bukan sekadar simpati, sebaliknya naluri sebagai ibu sangat kuat terhadap kanak-kanak istimewa ini. Saya mungkin tidak mampu beri kesenangan kepada mereka dari segi wang.

“Tapi saya sedia membantu mereka berdikari, menggembirakan mereka dan juga diri saya,” kata Fadhilah yang menjadikan bekas Menteri Kebajikan, Tun Dr. Fatimah Hashim sebagai sumber inspirasi hidupnya.

Demi anak-anak cacat yang berdaftar dengan pertubuhan itu, Fadhilah memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 sebulan.

Dana itu digunakan untuk membiayai kos tenaga pengajar dan terapi semasa kanak-kanak itu berada di pusat jagaan tersebut.

Anak-anak amat cacat itu ialah mereka yang hilang semua upaya. Cacat tubuh badan, cacat akal, pekak dan bisu sekali gus.

Tugas Fadhilah tidak mudah, bagaimanapun dia bersyukur kerana anak-anak lelakinya tidak pernah putus-putus memberi sokongan kepadanya.

Malah ada yang membantu mencari sumbangan untuk pertubuhan kelolaannya ketika ini.

“Tidak ada yang ikut saya buat kerja macam ini, tapi mereka selalu beri sokongan dan bantuan jika saya memerlukan,” kata Fadhilah sambil memberitahu ketiga-tiga anak lelakinya bekerja di syarikat swasta di ibu negara.


KASIH seorang ibu. Law Bowie, 4, antara kanak-kanak istimewa yang mendapat perhatian daripada Fadhilah.

Dilahirkan pada 19 Mei 1950, Fadhilah dilihat mempunyai personaliti diri yang menarik walaupun pada usia 60 tahun. Katanya, tip untuk tampil menarik dia selalu mendisiplinkan diri dengan pengurusan masa.

Menurut Fadhilah, apabila tiada pengurusan masa yang baik, kehidupan akan menjadi kucar-kacir dan menyebabkan seri wajah hilang sekali gus kelihatan seperti orang tidak bermaya.

“Kerja macam saya ini terpaksa jumpa dengan ramai orang untuk mengumpul dana. Kalau saya sendiri kelihatan tidak elok macam mana orang hendak percaya dan bantu kita,” kata Fadhilah yang tiba di rumah penjagaan anak-anak amat cacat tepat pukul 11 pagi seperti yang dijanjikan.

Kecergasan tubuh

Selain rutin kerja, masa untuk keluarga juga tidak diketepikan.

Fadhilah akan memastikan dia berada di rumah pukul 3 petang untuk aktiviti bersama cucu, keluarga dan beribadah.

“Pada waktu petang saya akan bawa cucu berjalan-jalan, bersolat jemaah Maghrib di surau dan selepas itu saya memasak untuk keluarga,” ujar Fadhilah yang mahir memasak menu Barat.

Selain itu untuk penjagaan kesihatan, Fadhilah menetapkan masa satu jam setiap hari untuk latihan kecergasan di pusat kecergasan di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Tidak membataskan waktu pagi, tengah hari atau petang, aktiviti dilakukan untuk menjaga bentuk tubuh dan sebagai hiburan bersama rakan-rakan.


NOR ATIKAH ARIFIN (kanan) antara kanak-kanak yang mendapat perhatian daripada kakitangan Pertubuhan Orang Yang Amat Cacat Akal Selangor & Wilayah Persekutuan.

“Sambil jaga kesihatan, sambil berhibur. Jadi sibuk membuatkan anda kelihatan cergas,” ujar Fadhilah sambil memberitahu aktiviti di pusat kecergasan juga menjadikan dia lebih yakin untuk tampil di khalayak.

Melihat jauh raut wajah Fadhilah, beliau kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apakah rahsianya?

Sambil ketawa kecil Fadhilah memberitahu, kecantikan yang dimilikinya adalah semula jadi. Dia tidak mempunyai sebarang pantang larang untuk kelihatan cantik.

Cukup sekadar menjalani rawatan di pusat kecantikan dua minggu sekali. Itupun hanya untuk merehatkan tubuh dan minda selepas sibuk dengan tugasan harian.

“Semua saya minum. Air sejuk, kopi semua saya minum. Cuma saya tidak ambil minuman berkarbonat,” ujar Fadhilah.

Amalan paling asas untuk mendapatkan kesihatan dan kecantikan semula jadi kata Fadhilah ialah sentiasa berfikiran positif.

Kata Fadhilah : “Jika tiada kesungguhan, apa jua tugas yang dilakukan tidak akan berjaya.”

Sementara itu, Fadhilah memberitahu dia sedang berusaha menghasilkan sebuah buku. Buku itu menceritakan pengalaman seorang tukang masak yang pernah berkhidmat dengan Perdana Menteri pertama hinggalah Tun Dr. Mahathir.

“Saya temui wanita itu di Johor. Dia akan berkongsi pengalaman sebagai tukang masak pertama kepada pemimpin negara. Masakan kegemaran para pemimpin kita juga akan diceritakan dalam buku itu nanti,” akhiri Fadhilah.

No comments:

Post a Comment