Saturday, December 3, 2016

PESAKIT AUTISME MAMPU BERJAYA JIKA DIRAWAT SEGERA


KUBANG KERIAN, 10 April 2016 – Dunia baru sahaja melewati Hari Kesedaran Autisme ‘World Autism Awareness Day’ yang jatuh pada 2 April setiap tahun dan pelbagai kemajuan teknologi masa kini boleh digunakan untuk mengenali, mendiagnosis, serta menentukan cara rawatan yang betul.
Autisme merupakan penyakit yang melibatkan perkembangan saraf yang mempengaruhi otak di mana gejalanya mulai dikesan seawal usia dua tahun serta mempengaruhi kemampuan seseorang untuk berkomunikasi, menjalin hubungan dengan orang lain dan memberi tindakbalas terhadap dunia luar dengan baik.
Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maruzairi Husain berkata, kanak-kanak yang menunjukkan simptom menghidapi penyakit autisme harus diberi rawatan segera.
“Rawatan awal dikenali ‘Autism Spectrum Disorder’ (ASD) harus diberi secepat mungkin kepada kanak-kanak yang mempunyai petanda awal menghidap autisme bagi membolehkan rawatan susulan dilakukan.
“Ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang menunjukkan simptom autisme harus merujuk kepada pakar secepat mungkin bagi membolehkan rawatan khusus diberikan bagi tujuan pemulihan serta memberi rawatan khas kepada kanak-kanak tersebut,” katanya.
Maruzairi berkata, penyakit autisme dapat dirawat sekiranya dapat dikesan awal dan pesakit autisme juga mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya dalam hidup seperti anak-anak lain.“Terdapat anak-anak autisme yang cerdik dan mampu berjaya seperti kanak-kanak biasa kerana mempunyai daya intektual yang tinggi. Namun, ciri-ciri penghidap autisme tetap kekal dalam dirinya sampai bila-bila.
“Pesakit autisme boleh dilatih untuk menjadi baik dengan pelbagai pendekatan iaitu kaedah pemulihan, carakerja, pendidikan, terapi pertuturan dan banyak lagi,” ujarnya lagi.
Tambah Maruzairi, kadar pesakit autisme semakin meningkat di Malaysia akhir-akhir ini dan kajian menunjukkan kemungkinan anak lelaki untuk menghidap autisme adalah empat kali ganda berbanding anak perempuan.
“Terdapat dua ciri-ciri anak yang menghidap autisme iaitu pertama dari segi komunikasi dan interaksi sosial di mana kanak-kanak dalam kategori ini didapati kurang mahir dalam penggunaan bahasa, pertuturan yang berulang serta lemah bahasa badan sementara ciri kedua pula ialah tingkah laku yang berulang dan terhad di mana pesakit dalam kategori ini suka mengulangi sesuatu perbuatan yang sama, melakukan pergerakan yang sama, minat yang terhad dan mempunyai tingkah laku yang terhad,” jelasnya.
Maruzairi berkata, antara faktor yang menyebabkan kanak-kanak mudah terdedah kepada autisme ialah pengaruh persekitaran dan kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa sendiri.
“Pendedahan secara langsung daripada gajet terhadap kanak-kanak adalah sebahagian faktor yang dikhuatiri penyebab kepada pertambahan kanak-kanak yang berisiko mendapat autisme serta meninggalkan para doktor di bidang ini dalam dilema.
“Biasanya kami akan mengenalpasti tanda-tanda yang menjurus kepada risiko penyakit autisme dan menjalankan rawatan sepatutnya ke atas kanak-kanak tersebut serta memantau perkembangan positif selepas menerima rawatan sebelum dikategorikan sebagai pesakit autisme,” ujarnya lagi.
Katanya, terdapat pelbagai permainan atau hiburan yang boleh didedahkan kepada anak-anak tanpa menggunakan bantuan gajet dan sesi bermain yang terbaik untuk anak-anak apabila ia melibatkan peranan ibu bapa itu sendiri.
Maruzairi turut menyeru para ibu bapa supaya lebih peka terhadap perkembangan tumbesaran anak-anak dan sekiranya melihat sebarang keabnormalan dalam kelakuan tersebut hendaklah segera merujuk kepada pusat rawatan yang berdekatan bagi melakukan ujian tertentu. 

Sumber - https://news.usm.my

No comments:

Post a Comment