Tahukah kita semua bahawa bulan April setiap tahun adalah merupakan
Bulan Kesedaran Autisme? Dari segi sejarahnya, inisiatif ini telah
dimulakan secara bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sebuah
persatuan kebangsaan autisme di Amerika Syarikat yang telah mengiktiraf
bulan ini sebagai satu bulan yang khusus memfokuskan topik autisme
semenjak dari tahun 1970 lagi. Senarionya ialah ia telah menjadi satu
sambutan di peringkat global dan disambut di mana-mana sahaja di seluruh
dunia, termasuklah di negara kita sendiri. Namun bagi sesetengah
masyarakat di negara ini, ia mungkin sesuatu yang amat asing dan tidak
pernah didengari sama sekali sebelum ini. Namun ketahuilah bahawa kes
berkaitan autisme semakin meningkat saban hari dan tahun di serata
dunia, termasuklah negara Malaysia.
Berhubung insiden ini, pada
tahun 2004, data yang ada di negara maju seperti Amerika Syarikat
menunjukkan dalam setiap 10,000 orang kanak-kanak, di antara 1 hingga 20
dari mereka adalah penghidap autisme. Data terkini menunjukkan dalam
setiap 1, 000 orang kanak-kanak, antara 2 hingga 7 orang adalah
penghidap autisme. Manakala di negara Eropah pula, dalam setiap 1, 000
orang kanak-kanak, 12 orang adalah penghidap autisme. Di negara Malaysia
pula, adalah dianggarkan oleh NASOM (Persatuan Kebangsaan Autisme
Malaysia di peringkat NGO) bahawa terdapat sekurang-kurangnya 47, 000
orang kanak-kanak yang menghidapi autisme sehingga kini.
Bagi
memahami hakikat sebenar, terdapat beberapa perkara dan isu yang
berkaitan dengan autisme di sebalik kewujudan bulan April sebagai bulan
kesedaran autisme. Apa yang masyarakat perlu miliki ialah tahap
kesedaran yang tinggi terhadap autisme, memahami apakah keperluan yang
berkaitan yang perlu dikuasai oleh individu autisme, serta mengetahui
apa yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki kehidupan dan
meningkatkan potensi individu yang memiliki ciri-ciri autisme. Mereka
juga perlu menyedari bahawa autisme adalah sebahagian daripada kehidupan
mereka dan menerima ia sebagai satu anugerah dan kurnia dari Tuhan.
Pemahaman yang tepat akan mendorong penerimaan dengan hati terbuka dan
menghalang sikap diskriminasi, stigma dan penyisihan dalam masyarakat.
Autisme
adalah merupakan sejenis gangguan perkembangan saraf otak yang berlaku
di kalangan individu manusia yang bermula seawal usia antara 1 hinggsa 3
tahun dan diklasifikasikan sebagai gangguan neuropsikiatri. Autisme,
seperti juga Asperger, adalah sebahagian daripada beberapa gugusan
gangguan yang lebik kompleks lagi dikenali sebagai Autisme Spectrum
Disorder atau ASD. Gangguan ini telah mula mendapat perhatian dalam
dunia sains perubatan sejak pada tahun 1943 apabila seorang pakar
psikiatri kanak-kanak dari negara Austria yang dikenali sebagai Leo
Kanner telah cuba memberi satu diagnosis dan rawatan terhadap masalah
berkaitan perkembangan tingkahlaku dan komunikasi di kalangan pesakit
kanak-kanak.
Secara umumnya, autisme ini dapat dikenali
berdasarkan kepada beberapa kriteria yang paling utama seperti gangguan
pada fungsi komunikasi dan pertuturan serta ada masalah dalam interaksi
sosial, memiliki kesukaran dalam mentafsir reaksi emosi, gangguan
pemikiran serta memiliki ciri-ciri spektrum tingkahlaku dan perangai
yang amat terhad, dan berulang-ulang atau streotype. Mereka akan
dianggap sebagai seseorang yang terasing atau hidup dalam dunia mereka
yang tersendiri. Seterusnya, di kalangan mereka juga mempunyai tahap
atau darjah keterukan yang tersendiri dan berbeza dengan individu lain
walaupun masih dalam kategori autisme. Di kalangan mereka, ada yang
mempunyai tahap autisme yang teruk, sederhana ataupun ringan. Oleh yang
demikian, terdapat di kalangan mereka yang masih boleh bersekolah dan
menjadi golongan terpelajar, seterusnya berkerjaya dan juga berkeluarga.
Dari segi fizikal pula, mereka tiada sebarang masalah, malah masih
kelihatan normal, sama seperti kanak-kanak normal yang lain. Maka itu,
masyarakat umum tidak akan nampak wujudnya sebarang kelainan atau
kecacatan pada diri mereka.
Keadaan ini pada akhirnya akan
menambahkan kerumitan, bukan sahaja kepada penghidap, tetapi juga kepada
ibubapa dan keluarga serta anggota masyarakat yang lain. Kerumitan yang
ada akan menyebabkan kekeliruan, malah mereka yang tidak memahami akan
terus menganggap si penghidap sebagai seorang yang degil, pemalas,
lembab dan sebagainya. Seterusnya, ia akan menyebabkan si penghidap
terbiar tanpa sebarang usaha untuk dirujuk kepada golongan pakar bagi
tujuan rawatan dan intervensi yang sewajarnya. Akhirnya, mereka akan
berterusan ketinggalan dalam dunia mereka yang penuh kekeliruan dan
keterasingan. Lebih malang apabila mereka mula memasuki alam
persekolahan. Ada di antara penghidap yang keliru mengapa mereka perlu
pergi ke sekolah. Keadaan menjadi bertambah parah apabila diri mereka
turut tidak difahami warga sekolah, tidak diterima dan akhirnya
disisihkan.
Di samping itu, isu utama berkaitan autisme setelah
memahami ciri-ciri dan keupayaan mereka ialah mengenalpasti segala
bentuk keperluan mereka dan seterusnya melaksanakan agar keperluan
mereka dapat dicapai. Individu yang memiliki ciri-ciri autisme
sebenarnya adalah golongan individu yang mempunyai pelbagai keperluan
yang khusus dan tersendiri. Ini bergantung kepada tahap perkembangan dan
kesukaran yang mereka miliki. Oleh itu, ibubapa, keluarga dan
masyarakat perlu memahami bahawa individu ini juga berhak untuk menerima
pelajaran dan latihan yang bersesuaian agar mereka akan menjadi lebih
berdikari nanti. Bagi memenuhi keperluan ini, satu kaedah pendidikan
yang sistematik untuk mereka perlu diwujudkan, khususnya di peringkat
kementerian dan kebangsaan. Memang betul kini telah ada sistem
pendidikan khas dalam kementerian, tetapi kesesuaian dan keberkesanannya
untuk golongan ini perlu dikaji.
Golongan istimewa dari kategori
autisme ini bukan sahaja memerlukan pendidikan akademik, tetapi juga
pendidikan yang mengajar mereka kemahiran untuk berkomunikasi dan
bersosial dengan cara yang sepatutnya. Itulah keperluan mereka yang
perlu digilap kerana penyakit autisme yang mereka alami amat
menyukarkan mereka untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial.
Namun masalah yang ada ialah apabila sistem persekolahan lebih
menumpukan kepada aspek akademik sahaja. Hakikatnya memang itulah
matlamat persekolahan sejak dulu lagi, namun kewujudan bahagian
pelajaran khas dalam kementerian dan di sekolah boleh dan amat perlu
untuk dipertingkatkan lagi bagi memenuhi keperluan golongan individu
autisme. Sudahkah kajian keberkesanan pendidikan khas berkaitan autisme
ini dilakukan oleh pihak berkaitan dan jika ada apakah hasilnya?
Masyarakat, khususnya para ibubapa amat memerlukan hasil dan dapatan
kajian seperti itu.
Begitu juga, satu jawatankuasa, agensi atau
jabatan di peringkat kementerian dan pemerintah yang berkaitan khusus
bagi mengemaskini dan memantau kebajikan bagi individu autisme perlu
diwujudkan. Ia boleh bertindak dalam menganalisa keperluan pendidikan
dan latihan serta kerjaya, kebajikan, maklumat terkini berkaitan kajian
dan penyelidikan serta kemaskini pengkalan data untuk kemaslahatan
mereka dapat dilakukan secara sistematik, yang mana ia belum lagi wujud
buat masa ini.
Sumber - IKIM
No comments:
Post a Comment