PUTRAJAYA - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak lagi akan terpinggir
daripada menerima pendidikan awal apabila projek perintis Taska OKU
diwujudkan bagi merealisasikan matlamat berkenaan.
Beberapa pihak berkepentingan melihat pelaksanaan projek perintis Taska
OKU yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa
membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept lepas sebagai 'buah tangan'
terbaik bagi golongan itu mendapat sistem pendidikan efektif dan ideal.
Langkah itu juga dilihat sebagai satu mekanisme dan komitmen kerajaan
untuk melahirkan modal insan berkualiti ke arah Malaysia mencapai status
negara maju dan berpendapatan tinggi dan Wawasan 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng
Seai Kie berkata pelaksanaan projek perintis taska OKU itu secara
percuma dalam tempoh setahun akan dilancarkan pada Disember merupakan
satu pendekatan komprehensif bagi mencari sukatan kurikulum bersesuaian
dengan keperluan kanak-kanak OKU di negara ini.
Beliau yang menyifatkan penubuhan enam taska OKU itu mencipta 'sejarah'
baharu golongan berkenaan berkata Taska OKU dapat membantu
mengurangkan kos dan masa, malah memenuhi keperluan semasa bagi tujuan
perkembangan awal kanak-kanak OKU.
"Kanak-kanak OKU akan diberikan pengasuhan berkualiti malah setiap
pengasuh atau pengusaha taska adalah tertakluk kepada Akta Taska 1984,"
katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Heng, yang juga Naib Pengerusi Wanita MCA berkata enam Taska OKU itu
merangkumi sindrom down, autisme, penglihatan, pekak, fizikal dan
masalah pembelajaran.
Beliau berkata setiap taska OKU ini akan menempatkan antara 35 dan 40
kanak-kanak OKU berusia bawah empat tahun dengan sukatan pengasuhan
khusus bersesuaian dengan kekurangan keupayaan masing-masing.
"Penempatan kanak-kanak OKU di taska ini merupakan satu program
intervensi awal dalam membantu mempertingkatkan pertumbuhan dan
perkembangan kanak-kanak OKU.
"Kita percaya jika diberi bimbingan dan pendidikan yang sewajarnya
mereka dapat dipulihkan dan menjadi kanak-kanak normal malah dapat
diintegrasikan dalam masyarakat apabila mereka dewasa nanti," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga bekerjasama dengan beberapa badan bukan
kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan kemahiran bagi tujuan
operasi dan membentuk modul sukatan pengajaran.
"Antaranya, ialah Persatuan Sindrom Down Malaysia, Persatuan Austisme
Kebangsaan Malaysia, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Majlis Kebangsaan
Bagi Persatuan-Persatuan Untuk Kanak-kanak Spastik Malaysia, Pertubuhan
Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan Persatuan Dyslexia Malaysia,"
katanya sambil mengalu-alukan penyertaan sektor swasta untuk bekerjasama
menjayakan projek berkenaan.
Heng berkata kementerian turut mengadakan perbincangan bersama
persatuan dan agensi berkaitan berhubung projek tersebut, yang rata-rata
menyambut baik usaha penubuhan Taska OKU ini.
Mengulas lanjut, Heng berkata pada peringkat awal, lokasi Taska OKU
akan tertumpu di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan lokasi
bersesuaian dikenal pasti menerusi bantuan serta cadangan pihak
berkepentingan.
Peruntukan bagi mewujudkan enam Taska OKU adalah RM3 juta dengan kos maksimum untuk setiap taska ini adalah RM500,000, katanya.
"Daripada RM500,000 ini, geran pelancaran adalah berjumlah RM350,000
sebagai kos penubuhan dan geran subsidi berjumlah RM150,000 setahun bagi
tujuan kos operasi taska tersebut," kata Heng.
Mengenai pendaftaran OKU, beliau berkata melalui kempen pendaftaran OKU
yang dijalankan kementerian sejak 2007, bilangan OKU berdaftar dengan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah 450,000 orang.
Daripada jumlah berkenaan, kanak-kanak OKU di bawah umur enam tahun adalah sebanyak 11.1 peratus.
"Kita percaya bahawa mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa setiap negara
sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus jumlah penduduknya adalah
golongan OKU.
"Jadi berdasarkan jumlah penduduk semasa di Malaysia yang berjumlah
28.6 juta orang ini bermaksud mengikut piawaian PBB, jumlah OKU yang
harus berdaftar dengan JKM adalah kira-kira 2.8 juta orang tetapi
melihat statistik JKM hanya 450,000 ini memberikan gambaran bahawa masih
terdapat golongan OKU yang tidak berdaftar dengan JKM," katanya.
Heng berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan ibu bapa yang
mempunyai anak-anak OKU enggan mendaftarkan anak-anak mereka kepada JKM,
termasuk kemungkinan ada di kalangan ibu bapa yang tidak menyedari
bahawa anak-anak mereka adalah tergolong dalam status OKU.
"Contohnya kanak-kanak autisme dia mungkin boleh disalahtafsirkan
sebagai kanak-kanak yang nakal atau hiperaktif atau kanak-kanak yang
menghadapi masalah pembelajaran. Bagi ibu bapa, mereka tidak terfikir
bahawa anak-anak mereka ini sebenarnya boleh didaftarkan sebagai
kanak-kanak OKU bagi mendapatkan bantuan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata terdapat juga segelintir ibu bapa yang malu untuk
mendedahkan identiti anak-anak OKU kepada masyarakat umum atau tidak
dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka adalah tergolong dalam warga
OKU.
"Saya ingin menyeru kepada semua ibu bapa atau ahli keluarga yang
mempunyai anak-anak OKU supaya segera mendaftarkan mereka dengan JKM
kerana melalui statistik atau data yang lengkap membolehkan kerajaan
membuat perancangan menyeluruh daripada segi kemudahan dan kebajikan
warga OKU ini," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment