PENGLIBATAN ibu bapa dengan pembelajaran
anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia
membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak.
Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa
2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana penglibatan ibu bapa
menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya.
Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid
dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti berbanding hanya 15 peratus
masanya berada di sekolah.
Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan masa murid berumur tujuh
hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan purata 5.5 jam
di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa
tidur lapan jam sehari.
Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan
(GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam
pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka GTP pada 24 Julai
2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi
faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik
yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang
lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.
Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan
keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur
sekolah untuk mendapatkan program bantu sekiranya diperlukan.
Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di
rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan
memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji.
Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan
membantu anak-anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.
Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar
kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya.
Pastikan bunyi televisyen atau radio direndahkan untuk mengurangkan
gangguan.
Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu
dengan membacakan buku kepadanya kerana ia merupakan satu aktiviti yang
dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai kecintaan terhadap
buku dan ilmu.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan
anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan
sesuatu masalah atau isu secara sepakat.
Berbincang dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui
perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya, membimbingnya
merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui perbincangan
juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak
dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.
Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran
anak, mulai 2013, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan
dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan
antara ibu bapa untuk saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi
membantu pembelajaran anak, membantu apabila berlaku krisis, mengukuhkan
tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan latihan
untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.
KISB juga bermatlamat membantu dalam berurusan dengan agensi-agensi
pendidikan, perubatan dan lain-lain di samping berkongsi maklumat,
pandangan serta sumber.
Untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai cara meningkatkan
penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, sila e-mel kepada
saranaibubapa@gmail.com.
No comments:
Post a Comment