Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah
mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut
tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah
belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia
peperiksaan.
Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar
yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas,
masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh
membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang
telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap
membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca
buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia
memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran.
Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan
sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi
untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar
pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan
menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda
mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa
membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda
merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda
tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas,
ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap
aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual
belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak
suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika
anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai
terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk
setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai
kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang
memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan
membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam
peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada
buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa
dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca
akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn
dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca
biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda
membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan
cemerlang.
Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan
guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan
anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan
menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau
abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda
dalam hal ini.
Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah
Jika anda
lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih
untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan
abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian
yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan
bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak
ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang
mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa
yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan
penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan
mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran
masing-masing.
Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah
Jadikan diri anda sebagai
contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa
dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.”
Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda
untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi
panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda
berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian
pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik.
Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa
ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam
lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak
dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri
Jangan
membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi
peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda
mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda
mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan
datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.
Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata
untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda
hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak
anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda
kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan
nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang
membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku,
kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam
peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang
merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan.
Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh
okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif
timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas
peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan
suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).
Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga
Jika anda pada tahun
peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik
anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan
sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki
peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban
kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain
akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan
ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan ,
anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap
soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan
mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal
mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan
dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini
sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang
terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan
untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar
pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi
penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar
menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan
anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda ,
“biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana
saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan belas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda
Jika
anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka
cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya
membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan
lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda
tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda
akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan
mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata
dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda
bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah.
Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus
atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan
berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda
berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang
anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca
majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda
tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah
anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk
belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda
membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna
pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda
mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai
seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa
kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai
prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.
Sumber: http://adikcerdik.com
No comments:
Post a Comment